Pondok ancaman kepada Umno?

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Apa masalahnya dengan sistem pondok? Sehingga Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri suruh mengkaji sistem pondok untuk mengelak lahirnya golongan radikal  dan pelampau ketika beliau berucap di Mesyuarat Agung ke-39 Guru-Guru Agama Malaysia Barat di Kota Bharu.

Kita hendak tanya berapa orang yang terlibat dengan kumpulan radikal seperti Daesh, IS keluaran pondok? Ada juga mereka yang terlibat dengan kumpulan radikal ini yang tidak belajar di pondok dan pendidikan agama. Kenapa hendak kambinghitamkan pondok?

Sepatutnya kerajaan kena membantu sistem pondok sebagai tanda pendemokrasian dalam pendidikan. Bantu cukuplah, jangan pula untuk campur tangan dalam urusan pondok dan ubah kurikulum pondok.

Krikulum pondok berjaya melahirkan ulamak yang berwibawa dan mantap dari segi keilmuan untuk menyelesaikan masalah semasa seperti perbankan Islam. Semuanya terpaksa merujuk kepada kitab turath (asal). Mereka yang pernah melalui pengajian pondok amat diperlukan untuk memahami nas asal syarak.

Kerajaan sepatutnya berterima masih kepada pengajian pondok yang berusaha untuk membina modal insan di negara ini. Ketika masyarakat yang dilanda dengan krisis moral dan akhlak. Guru yang mengajar dengan ikhlas, pengajian tanpa yuran yang bukan bersifat perniagaan. Ini yang patut kerajaan berbangga.

Apakah Dr Asyraf marah kerana majoriti pondok menolak Umno sehingga ia menjadi ancaman kepada Umno, bukan ancaman kepada negara. Majoriti pondok menyokong PAS, walaupun ini bukan pondok PAS. Apa yang diajar dipondok sealiran dengan perjuangan PAS.

Nasihat saya Dr Asyraf jangan gopoh untuk membuat tuduhan. Jika ada kes yang melibatkan pelajar pondok di dalam kegiatan ini, ia hanya kes yang terpencil. Sebagaimana juga mereka yang belajar di universiti terlibat dengan anasir ini, maka tidak boleh kita menyalahkan universiti.

Semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat dihentikan. Semata-mata SAR menjadi ancaman kepada Umno. - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace