Bara Perjuangan

ROSLI ABDUL JABAR | .

PERUTUSAN IDUL ADHA

SESUNGGUHNYA perjuangan Islam terlalu memerlukan pengorbanan. Perjalanan menuju matlamatnya tidak mungkin terhampar permaidani melainkan kerikil fitnah tajam yang ditaburkan diatasnya.

Sejarah membuktikan bahawa tidak pernah Islam itu sunyi dari peluru jahat dari musuhnya. Sentiasa ada manusia menyimpan kesumat, ada yang zahir menghalakan muncung laras kebenciannya dan ada pula menyorok senjata di belakang untuk bila-bila masa menikamnya dari penjuru yang tidak disedari.

Setiap saat ada sahaja suara memekakkan, memecahkan gegendang dan menipiskannya. Cuba merobek hati pejuang-pejuang Islam agar tersayat luka, kesakitan sehingga meninggalkannya. Betis-betis para amilin cuba dipatahkan dengan besi fitnah agar terjelepok lumpuh.

Aqidah menjadi pil yang sentiasa menyihatkan perjuangan, al-Qur'an dan Hadis adalah dos terbaik untuk diamalkan, ia menyihatkan hati dan menyerikan wajah pengambilnya, tidak tenang orang meninggalkannya dan tidak resah orang yang mengamalkannya.

Sehari dua ini, umat Islam di seluruh dunia berbicara tentang kekasih Allah SWT iaitu Nabi Ibrahim Alaihissalam. Ikon taqwa sepanjang zaman yang telah terjemahkan ketaqwaannya kepada Allah SWT melalui pengorbanannya yang sangat hebat dan menyayat hati.

Sehingga beliau dianugerahkan sebagai tokoh Imam kepada manusia untuk mengambil contoh-contoh pengorbanannya untuk menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Tiada siapa yang mampu korbankan dunia yang disayangi termasuk insan yang menjadi pengarang jantung dan belahan jiwa. Ibu bapa, Isteri dan anak-anak tidak sedikitpun menjadi sebab penghalang baginya untuk mentaati Allah SWT. Di samping itu juga Nabi Ibrahim Alaihissalam juga terus memacu perjuangan berhadapan dengan kuasa pemerintah Namrud sehingga Nabi Ibrahim berhadapan dengan tindakan seberat dicampakkan ke dalam api.

Semua ini adalah contoh manifestasi keimanan kepada Allah SWT yang tidak boleh tidak mesti turut dilalui oleh manusia yang ingin mencapai darjat ketaqwaan kepada Allah SWT, seumpama memisahkan emas dari batunya, tiada cara untuk mencairkan emas supaya terpisah dari batu yang tidak berguna melainkan dibakar api, begitulah perjuangan.

PAS telah melalui detik-detik masa berliku ini sejak ia ditubuhkan. Hanya orang yang pernah bermusafir di jalannya tahu akan rasa bahang panas dan sakitnya. Semakin jauh perjalanannya semakin pula banyak warna warni fitnah yang timbul, dihias dengan bunga-bunga plastik yang palsu semata, ahli PAS terpaksa tegar menahan godaan dan persona musuh untuk mengajak para amilin meninggalkannya.

Namun al-Qur'an yang merupakan Kalamullah dan Hadis Nabi SAW yang menjadi dasar perjuangan PAS menjadikan ahli-ahli PAS yang ikhlas dalam berjuang tetap bertapak di jalan perjuangan. Kisah Nabi Ibrahim ini dijadikan Ibrah yang memberi erti sebuah "perjuangan kerana Allah". Kerana tiadalah perjuangan itu kerana Allah melainkan dengan tujuan untuk meninggikan agama Allah SWT.

PAS Pahang mengucapkan selamat menyambut hari raya Idul Adha kepada seluruh umat Islam didunia dan umat Islam di Malaysia khususnya. Semoga Idul Adha ini disambut dengan penuh penghayatan sehingga mencetuskan semangat dan kesediaan untuk berkorban demi Islam, sanggup berhadapan dengan ribuan jaringan ibtila yang menghalang dan "Istiqamah Hingga Kemenangan". – HARAKAHDAILY 9/9/2016

Share on Myspace