Islam premature dan Islam modified

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

ISLAM meraikan trend, tapi bukan mengikut trend. Islam membenarkan hiburan, tapi Islam bukan bermanhaj hiburan. Islam punya unsur liberal, tapi Islam bukan agama liberalisme.

Islam ada memperjuangkan dasar sosial, tapi Islam bersalahan dengan sosialisme. Islam mengharuskan populariti, namun Islam bukan bukan untuk mereka yang gila populariti dan publisiti.
Hatta Islam sangat dekat dengan politik, namun politik bukan segala-galanya dalam Islam.

Inilah antara perkara yang ramai penganut dan pejuang Islam terlajak. Apabila kenal Islam melalui satu sisi sahaja, terus mereka anggap itulah 'Islam' secara keseluruhannya. Tidak mendapat tasawwur Islam yang menyeluruh kerana terlalu ghairah dengan sedikit yang diketahui.

Tasawwur Islam sebenar adalah seluruh ajaran Islam. Dari surah al-Fatihah hingga an-Nas. Dari Gua Hira hingga ke ribaan Siti Aisyah. Tidak boleh menolak walau satu hurufpun dari al-Quran. Tidak boleh tinggal walau satu detikpun dari Sunnah hidup baginda.

Kerana itu jangan pelik kalau Tuhan perintah orang beriman untuk masuk Islam semula. Bukan kerana iman mereka terbatal, tapi kerana ramai umat akhir zaman ini tidak mengikut Islam secara keseluruhan, mengikut tasawwur yang benar.

Manhaj Islam sebenar adalah syumul/menyeluruh. Justeru jika didapati ada yang mendakwa Islam tapi mengambil sisi tertentu sahaja, maka dengan jelasnya itulah jejak langkah syaitan yang wajib dijauhi.

Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah:208]

Dua langkah yang musuh Islam ambil untuk pesongkan ajaran Islam:
1. Mengambil sebahagian ajaran Islam dan meninggalkan/menafikan yang lain. Contoh menerima konsep ekonomi Islam tapi menolak konsep perundangan Islam. Ini Islam pramatang.

2. Mengimport masuk sebarang unsur luar ajaran Islam dan menghalalkannya atas alasan Islam memiliki unsurnya. Contoh mengimport semua konsep kapitalisme atas alasan Islam menggalakkan kemajuan ekonomi. Ini pula Islam yang telah dimodified.

Jaga-jaga dengan jenama Islam liberal, Islam-sosial, Islam-progresif, Islam Hadhari, Islam Demokrat, Post-Islamism dan apa jua tokok tambahnya. Kerana Islam sebenar hanyalah 'Islam'. – HARAKAHDAILY 15/9/2016

Share on Myspace