Persiapan Karnival Dun Jabi berjalan lancar

DR AZMAN IBRAHIM | .

Dataran PGU Jabi merupakan satu kawasan tanah lapang seluas 4 ekar terletak di lokasi strategik di tengah-tengah Pekan Jabi di laluan jalan utama Jerteh - Kuala Terengganu.

Tanah milik keluarga Almarhum Haji Daud Samad, bekas Menteri Besar Terengganu di zaman Kerajaan PAS Terengganu tahun 1959 mula digunakan untuk penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU) pada 2012 lalu yang menyaksikan puluhan ribu manusia berhimpun dalam satu program gilang gemilang yang telah dirasmikan oleh Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS.

Bersempena dengan penganjuran Program PGU tersebut, maka kawasan tanah lapang ini dinamakan DATARAN PGU JABI. Kini Dataran PGU Jabi dilengkapi dengan sebuah binaan pentas kekal, bekalan lektrik, bekalan air termasuk kemudahan tandas dan bilik air. Ia menjadi pusat untuk penganjuran program-program PAS Jabi dari 2012 sehingga sekarang.

Kini kenangan bagaimana Dataran PGU Jabi dikunjungi puluhan ribu manusia pada 2012 kita cuba gamit kembali dengan penganjuran KARNIVAL DUN JABI. Suatu acara yang julung kali akan diadakan. Persiapan ke arah itu sedang rancak dilakukan untuk menerima kehadiran pengunjung.

Bakal membuka tirai karnival pada hari Khamis 22 September 2016, jam 9.30 malam ialah program bual bicara bersama Ustaz Azhar Idrus & Ijam Medicine.

Sementara pagi Jumaat, 23 September 2016 akan diisi dengan acara sukan, langkah karnival, cabutan bertuah, sukaneka dan sumbangan kebajikan. Acara sukaneka dan persembahan silat akan bersambung pada petangnya.

Mengisi slot kuliah maghrib  pada malamnya ialah Kiyai Dr Hj Ahmad Najib Afendi yang diundang khas dari Pesantren al Hikmah Jawa Tengah, Indonesia. Pak Kiyai yang berkelulusan dari Baghdad dan memiliki ijazah PhD dari Morocco adalah teman sepengajian Pengarah Dun Jabi sendiri.

Selepas solat isyak, acara Malam Kesenian Islam akan memeriahkan tapak karnival. Nantikan penampilan Kumpulan Dikir dakwah, Xuar XPDC, Kumpulan Nasyid ar Rasy dan Kumpulan Sidrain.

Pagi Sabtu 24 September 2016 pula dikhususkan untuk acara muslimat dengan pelbagai acara menarik. Ahli Parlimen Rantau Panjang Kelantan, YB Hajah Siti Zailah Mohd Yusof akan menyampaikan ceramah motivasi.

Pada petang Sabtu 24 September, slot ceramah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan akan mengisi ruang program.

Pengunjung juga berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan dengan pasukan doktor yang akan berada di tapak karnival sepanjang program.

Bagi yang berminat dengan perubatan Islam, perawat as Syifa' juga akan menyumbangkan khidmat rawatan kepada anda.

Dalam masa yang sama, pengunjung berpeluang berbakti dalam kempen derma darah. Tabung Darah dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akan berada di tapak karnival pada pagi Sabtu 24 September 2016. Bersama kita berbakti dengan menderma darah.

Akhir sekali pada malamnya, program ceramah penutup akan menutup tirai karnival. Ceramah ini menampilkan YB Dato' Nik Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, Pesuruhjaya PAS Terengganu dan  Ustaz Dr Riduan Mohd Noor, AJK PAS Pusat.

Program ini terbuka dan semua lapisan masyarakat dijemput hadir.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi
19 September 2016 - HARAKAHDAILY 19/9/2016

Share on Myspace