Imbau Pindaan Akta Mahkamah Syariah pada 1984

SYED AHMAD FADHLI | .

Catatan Khas: Imbauan Sejarah Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada tahun 1984

Malam tadi, saya meneliti kembali Penyata Rasmi (Handsard) Parlimen bagi Sidang Dewan Rakyat bertarikh 10-12 Oktober 1984, iaitu 32 tahun yang lalu.

Menarik juga apabila dapat membaca teks tersebut yang mencatat apa jua yang berlaku dalam sidang dewan ketika itu.

Penggal Parlimen ini merupakan era awal pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berikut adalah catatan berkaitan perbahasan Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965

1. Pada jam 4.48 petang Rabu, 10 Oktober 1984 RUU ini telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mohamad Yusof bin Haji Mohamad Noor dan disokong oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tuan Radzi bin Sheikh Ahmad.

2. Setelah 19 tahun akta tersebut digunapakai, Kerajaan mencadangkan untuk memperluaskan lagi bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi RM5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya.
Asalnya,akta pada tahun 1965 itu menghadkan kepada penjara 6 bulan atau dengan denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

3. Timbalan Menteri JPM berkata, salah satu daripada cara untuk menghalang orang-orang Islam daripada terlibat dengan lebih banyak lagi kepada perbuatan-perbuatan jenayah maka pihak Kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih positif dan berkesan iaitu dengan meminda Akta tersebut.
Tujuan peruntukan yang membolehkan Mahkamah Syariah mengenakan hukuman yang lebih berat ini bukanlah dengan tujuan untuk menzalimi orang-orang Islam akan tetapi untuk menjadi peringatan dan amaran kepada umum serta gesaan untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan jenayah.

4. Pindaan tersebut dibuat dengan membawa taraf Mahkamah-mahkamah Syariah agar setanding dengan Mahkamah Majistret selaras dengan dasar Kerajaan pimpinan PM Mahathir ketika itu yang memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran.
Di samping itu, Akta Mahkamah Syariah dipinda bagi membolehkan Rang Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam yang baru diluluskan ketika itu dapat dikuatkuasakan dan dilaksanakan di peringkat negeri.

5. Seramai 11 orang Ahli Parlimen yang membahaskan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
Mereka adalah;
- Tuan Haji Seroji bin Haji Haron (Baling)
- Datin Paduka Zaleha binti Ismail (Tanjong Karang)
- Wan Mohd. Najib bin Wan Mohamad (Pasir Puteh)
- Tuan Hassan bin Haji Mohamed (Rantau Panjang)
- Dato' Haji Saidin bin Haji Mat Piah (Padang Rengas)
- Tuan Ismail bin Arshad (Jerai)
- Tuan Ibrahim Azmi bin Hassan (Kuala Nerus)
- Tuan Bahari bin Haron (Labis)
- Tuan Haji Azharul Abidin bin Haji Abdul Rahim (Batang Padang)
- Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat (Pengkalan Chepa)
- Tuan Mohamed Razlan bin Haji Abdul Hamid (Matang)

6. Menarik untuk kita ketahui di sini, Ahli Parlimen PAS yang membahaskan pindaan Akta Mahkamah Syariah pada 32 tahun yang lalu ialah Almarhum Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada ketika itu.

7. Kesemua 11 orang Ahli Parlimen yang bangun membahaskan pindaan tersebut adalah yang beragama Islam kerana mereka sedar dan tahu bahawa Akta ini adalah yang berkait dengan Mahkamah Syariah yang melibatkan orang Islam sahaja.
Namun, dalam Handsard Parlimen turut mencatatkan Ahli Parlimen DAP bagi kawasan Kepong, Dr Tan Seng Giaw bangun, tetapi beliau bukan membahaskan pindaan tetapi berkaitan dengan hal tindakan beliau yang sedang mengemas barang YB Kota Melaka lalu ditegur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

8. Antara intipati perbahasan Ahli Parlimen ketika membahaskan pindaan akta tersebut ialah cadangan menyediakan tenaga pakar bagi meningkatkan mutu dan taraf profesion Kadi-kadi yang menjadi Hakim Mahkamah Syariah, penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyemak, mengkaji dan mencadangkan pindaan-pindaan bagi menyelaraskan perundangan- perundangan Islam di semua negeri, cadangan menaiktaraf kemudahan di Mahkamah Syariah agar setanding dengan Mahkamah Majistret, penyediaan panduan prosedur tatacara kes Mahkamah Syariah sepertimana di Mahkamah Sivil yang perlu mematuhi Criminal Prosedure Code ataupun Kanun Acara Jenayah, dan seruan agar memartabatkan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia.

9. Saya petik juga di sini sebahagian ucapan perbahasan oleh Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa:
"Islam itu telah mengadakan kaedah- kaedah untuk menjaga keselamatan kita manusia. Di antara kaedah-kaedah dan peraturan yang diciptanya ialah denda dan hukuman yang mesti dikenakan ke atas hamba-hambaNya yang bersalah. Bersalah mengikut nilai dan kaca mata ajaran Allah dan syariatnya. Mengikut Islam maka denda dan pembalasan yang dikena ke atas pesaiah itu adalah dibahagi dua.
Satu diberi nama "al-hudud", yang kedua diberi nama "al-takzirat".
"Tuan Yang di-Pertua, mengikut apa yang diketahui umum bahawa mana-mana kesalahan atau jenayah itu tidak akan dapat disekat dan tidak akan dapat dihapuskan dengan hanya penggunaan undang-undang sahaja kecuali serentak dengan itu disertakan sama usaha-usaha untuk menyekat dan menghapus semua sumber-sumber yang dikira boleh menjadi punca bagi berlakunya kesalahan dan jenayah tadi kerana Islam itu sendiri bergerak secara "syumul" sepertimana yang kita lakukan ke atas penghisap-penghisap dadah, dengan erti bukan sahaja orang yang menghisap dadah itu kita kenakan hukuman berat sampai mati, tetapi kita kenakan juga ke atas yang mengedar dan memproses dadah ataupun sebagainya, mereka pun kita kenakan hukuman berat juga sampai mati."

10. Jelas, apa yang sedang diperjuangkan oleh Tuan Guru Presiden PAS di Parlimen pada ketika ini adalah sama seperti yang diperjuangkan oleh Almarhum Mursyidul Am PAS pada 32 tahun yang lalu di dewan Parlimen yang sama. Mereka menerangkan berkenaan keindahan, kesempurnaan dan keadilan syariat Islam.
Lihat, betapa istiqamah dan teguhnya prinsip perjuangan PAS bagi menegakkan Islam.

11. Dalam ucapan penggulungan oleh Timbalan Menteri JPM, beliau menyatakan bahawa;
a) Kerajaan melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Kedudukan Mahkamah-mahkamah Syariah dan taraf Kadi-kadi seluruh Malaysia
b) persiapan bagi struktur 3 peringkat Mahkamah Syariah
c) penubuhan satu Panel Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah
yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja yang ditempatkan di Kuala
Lumpur atas tanggungan Kerajaan Persekutuan.
d) mengadakan satu skim perkhidmatan yang dipanggil
Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah bagi pegawai-pegawai Mahkamah Syariah iaitu Hakim, Pendakwa dan Pendaftar
dengan penyandangnya berkelulusan ijazah dalam bidang syariah dan diploma lanjutan dan juga mempunyai profesion yang tertentu—yang khusus.
e) menubuhkan Majlis Peguam Syarie bagi memelihara
kepentingan dan disiplin Peguam- peguam Syariah.
f) satu peraturan lengkap sedang disusun untuk
mempastikan supaya prosedur perbicaraan di Mahkamah Syariah setanding dengan prosedur perbicaraan di Mahkamah-mahkamah sivil. Peraturan tersebut telah berada di peringkat draf terakhir yang dikenal dengan Prosedur Mahkamah Syariah.
g) latihan dan kemahiran yang cukup akan diberi kepada kadi-kadi supaya kes-kes yang diputus akan dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak.
h) Universiti Islam Antarabangsa telah bersetuju untuk mengadakan Kursus Diploma lanjutan Undang-undang dan Kehakiman Islam untuk kadi-kadi seluruh Malaysia bermula tahun 1985.
i) laporan penyusunan semula Majlis dan juga Jabatan
Agama Islam Negeri dengan memberikan peruntukan supaya
Mahkamah Syariah Negeri-negeri akan diberi pejabat yang berasingan dan dilengkapkan dengan alat dan kelengkapan yang moden setanding dengan Mahkamah Sivil.
j) Undang-undang Jenayah Islam ini bukanlah untuk menggantikan Undang-undang Jenayah Mahkamah Sivil.

12. Akhirnya, Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah diluluskan pada petang Jumaat, 12 Oktober 1984.

Sungguhpun, catatan Penyata Rasmi Parlimen ini adalah mengenai apa yang telah berlaku 32 tahun yang lalu tetapi ia masih kekal relevan untuk kita rujuk, teliti dan bandingkan dengan realiti semasa.

Mereka boleh bersepakat dan bersetuju untuk meminda Akta yang berusia 19 tahun ketika itu, jadi mengapa pula setelah 32 tahun ia langsung tidak dipinda, kita tidak boleh mengambil persepakatan yang sama dalam hal memartabatkan syariat Allah?

Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
20 September 2016

Share on Myspace