TG Datuk Dr Haron Din: Kaulah Malaysia Impian

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Kita mati-mati mahukan hidup yang bahagia. Tetapi nantinya nanti, kitakan sedar bahawa yang paling kita dambakan adalah mati yang bahagia. Hidup kita 70 tahun lamanya, tetapi mati kita hanyalah sesaat itu. Tiada lewat atau cepat walau sesaatpun.

Beruntunglah memiliki bahagia sesaat di hela nafas terakhir kerana ia kan membawa bahagia yang kekal abadi di akhirat nanti. Mati mulia hakikatnya adalah adegan nyawa sejengkal bersambung nyawa saujana nan abadi.

Jasa terakhir Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat buat umat adalah petunjuknya yang penuh cahaya agar kita kekal istiqamah bersama PAS berjuang dan bekerja demi agama-Nya. Petunjuknya mengukuhkan PAS bagai sebuah kota yang kebal yang takkan hancur.

Jasa terakhir Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Din adalah keberanian dan ketenangannya menerjang badai jahat yang melanda PAS dari dalam dan luar. Jika tidak kerana ketenangan yang hebat daripadanya, kita pasti goncang dan sukar menghadapi kekalutan dan keributan dengan keyakinan dan istiqamah.

Jika saya ditanya, apa yang paling istimewa saya perolehi saat berguru dan bersimpuh di sisi susuk gagah Allahyarham Tuan Guru Datuk Haron Din, saya akan menjawab, "Pada senyumnya, tenangnya, yakinnya dan harapannya yang hebat buat diri saya dan kami anak muda. Itulah hikmat kehidupan yang hilang".

Pesannya berulang-ulang. PAS pasti sampai ke Putrajaya dengan Islam.

Pergilah dalam tenangmu. Langkah pergimu adalah impian semua pencinta akhirat. Semoga Allah memberkati perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 22/9/2016

* Gambar adalah semasa lawatan saya ke kediaman Allahyarham beberapa hari sebelum beliau berangkat ke Amerika untuk menemui Penciptanya yang Maha Besar.

Share on Myspace