Perlukah tunggu Imam Mahdi?

HARAKAHDAILY | .

SELAIN dari kemunculan Dajjal daripada bangsa Yahudi dan akan memimpin tentera Yahudi, Allah juga akan membangkitkan Imam Mahdi. Ini adalah kepercayaan umat Islam sama ada Sunni mahupun Syiah walaupun ada khilaf berhubung siapa dan bagaimana ciri-ciri Imam Mahdi antara Sunni dan Syiah, antara Sunni sesama Sunni dan antara Syiah sesama Syiah.

Pada akhir zaman ketika Mekah dalam keadaan huru-hara, keturunan raja berperang sesama sendiri setelah raja mati, negara lain juga huru-hara diserang tentera Dajjal. Umat Islam tiada pemimpin.

Dalam keadaan itu, akhirnya umat Islam melantik Muhammad bin Abdullah daripada Madinah sebagai Imam/pemimpin orang Islam. Namun beliau melarikan diri tidak mahukan jawatan tersebut. Dia akan dibawa ke tengah antara Makam Ibrahim dan Kaabah dan dibaiah.

Imam Mahdi tidak mengaku dirinya Imam Mahdi. Kalau ada yang mengaku hari ini itu otak mereka tak berapa betul. Macam-macam orang mengaku hari ini. Di Syria, di Yaman, di Kuala Lumpur pun ada. Di Indonesia, Di India juga ada yang mengaku.

Pada mulanya Imam Mahdi akan dibaiah oleh hanya 313 orang sahaja termasuk kalangan Sunni dan Syiah. Kebanyakan orang sama ada dari Sunni mahupun Syiah masih tidak percaya itu adalah al-Mahdi. Sehinggalah ada bala tentera lengkap beruniform datang dari negara Syam ingin menyerang Kaabah, tempat Imam Mahdi. Lalu Allah binasakan mereka semua. Barulah umat Islam percaya itu adalah al-Mahdi yang sebenar.

Sabda Rasulullah SAW:

"يغزو جيش الكعبة، فإذا كانوا ببيداء من الأرض يُخسف بأولهم، وآخرهم"

Akan datang bala tentera yang menyerang Kaabah. Maka tatkala mereka berada di Baida' akan dibinasakan tentera tersebut dari awal hingga ke akhirnya.

Imam Mahdi akan berjuang melawan tentera Dajjal, sehingga suatu hari ia pergi ke sebuah masjid bermenara putih di Damsyik, lalu ia dikepung oleh musuh. Sebelum mendirikan solat Subuh, Allah turunkan Nabi Isa membantu Imam Mahdi. Sabda Rasulullah SAW:

"كيف أنتم إذا نزل ابن مريم فيكم وإمامكم منكم "

Bagaimana keadaan kamu, jika Ibnu Maryam (Nabi Isa) turun kepada kamu dalam keadaan pemimpin kamu adalah dari kalangan kamu sendiri (al-Mahdi).

Nabi Isa meminta Imam Mahdi memimpin solat mereka, sebagai pengiktirafan kepada umat ini. Setelah selesai, Nabi Isa membuka pintu masjid. Dajjal berundur ke belakang dan berkata "matilah aku kali ini." Dia sendiri tahu bahawa dia akan dibunuh oleh Nabi Isa.

Lalu berlakulah peperangan terakhir yang akan membunuh semua orang-orang Yahudi. Ini berlaku selepas Malhamah Kubra. Bila tahunnya, hanya Allah yang tahu. Bukan kerja kita menentukan waktu berlaku. Kerja kita adalah beramal untuk akhirat. Selagi mana kita hidup, berjuanglah untuk menegakkan Islam. Di mana bumi kita berpijak, di situlah kita berjuang demi Islam.

Jangan jadi seperti sebahagian orang yang hanya menunggu Imam Mahdi tanpa berbuat apa-apa. Mereka merasakan tiada apa-apa harapan lagi buat Islam selain menunggu al-Mahdi. Apa mereka tak mahu pahalakah?

Kena ingat perjuangan Islam ini diberi pahala. Jangan kira soal menang atau kalah. Kita akan sentiasa menang di akhirat kelak. - HARAKAHDAILY 23/9/2016

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 21 Zulhijjah 1437/23 September 2016 disusun oleh Alang Ibn Shukrimun.

Share on Myspace