Perkasa fungsi kebajikan masjid setempat

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Allah berfirman (maksudnya): "Di rumah-rumah yang diizinkan oleh Allah untuk ditinggi dan disebut padanya nama-Nya, sentiasa bertasbih di dalamnya di waktu pagi dan petang, lelaki-lelaki yang tidak dilekakan oleh perniagaan dan oleh jual beli daripada mengingati Allah, menegakkan solat dan menunaikan zakat; mereka takut pada satu hari di mana hati-hati dan penglihatan menjadi goncang." (Surah an-Nur: ayat 36-37)

Islam telah menyediakan sistem pemusatan komuniti yang sangat menarik menerusi institusi surau dan masjid. Ia adalah institusi awal yang dihidupkan oleh Rasulullah saw sebaik sahaja hijrah baginda ke Madinah sebagai pusat membina sumber manusia dan kecemerlangan ilmu masyarakat menerusi pembinaan Masjid Nabawi.

Institusi ini menjadi medan pertemuan masyarakat Islam yang bersifat harian menerusi solat berjamaah lima kali sehari semalam dan bersifat mingguan menerusi solat jumaat. Solat berjemaah merupakan fardhu kifayah ke atas masyarakat Islam setempat. Solat Jumaat pula menjadi himpunan perdana mingguan yang bersifat fardhu ain kepada setiap lelaki muslim.

Surau dan masjid di samping fungsinya sebagai pusat ilmu dan ibadah, ia juga perlu dihidupkan dengan peranan sebagai institusi yang menaungi kebajikan masyarakat setempat. Ia sangat sesuai kerana selalunya institusi ini mendapat kepercayaan masyarakat untuk mengumpul zakat dan sumbangan daripada mereka yang berkemampuan.

Sangat wajar unit kebajikan diaktifkan dalam jawatankuasa setiap surau masjid bagi memberi tumpuan kepada kebajikan khususnya orang-orang miskin setempat. Sebahagian orang miskin ini memerlukan tempat perlindungan. Sebahagian mereka memerlukan bantuan keperluan makanan seharian. Ada pula yang memerlukan bantuan dari sudut keperluan pendidikan.

Peranan masjid boleh bersifat bantuan segera bagi mengelakkan kerenah birokrasi pentadbiran kerajaan dalam mendapatkan bantuan. Seorang yang memerlukan bantuan segera bagi anak kecil yang sedang kelaparan tidak memungkinkan mereka untuk ke pejabat-pejabat kerajaan mengisi borang mengharapkan bantuan yang tidak diketahui entah bila akan diluluskan.

Tentu sahaja jawatankuasa masjid setempat lebih memahami, mengetahui dan mengenali serta boleh mengesahkan status sebenar ahli qaryah mereka yang sememangnya memerlukan bantuan. Berbeza dengan pegawai dari jabatan kerajaan yang memerlukan masa untuk menyelidiki dan mengesahkan keperluan sebenar seorang miskin kerana pegawai itu bukan seorang anggota masyarakt setempat dengan orang yang memerlukan bantuan.

Maka, saya ingin mencadangkan agar kerajaan-kerajaan negeri menerusi majlis agama Islam mereka segera menghidupkan fungsi masjid dan surau sebagai pusat kebajikan umat.

Share on Myspace