PAS teruskan gerakan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Ketika PRN Sarawak, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAS diserang dengan hebat dari pelbagai penjuru. Serangan dari kawan yang masih bertahaluf pun tidak kurang juga hebatnya, maklumlah dah dapat rakan baru yang kononnya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS.

Hari ini, PAS dan Presiden PAS dijadikan "punching bag" dengan pelbagai tuduhan kurang enak terutamanya fitnah yang paling banyak diulang iaitu kononnya nak kerjasama dengan Umno dan makan dedak Umno.

Meskipun diserang, hari ini nampaknya ramai pula mengharapkan kerjasama bersama PAS.

Bukankah pelik untuk meminta kerjasama dengan sebuah parti yang dituduh makan dedak Umno?

Pertandingan dalam pilihan raya bukan hanya sekadar ada calon sahaja. Jentera parti mesti wujud bagi menjalankan kerja sepanjang kempen dan selepasnya. Kempen pilihan raya bukan sekadar menonjolkan calon yang kononnya diiktiraf berwibawa dan boleh menang ketika pilihan raya mendekati tetapi juga persediaan jentera dan petugas. Ada parti yang ada calon tapi jentera dan petugas langsung tak nampak batang hidung.

Lebih malang, ada parti yang melonggokkan poster calon dan bendera di pejabat dan markas PAS meminta petugas PAS yang menguruskannya.

Kalau parti setahun dua ditubuhkan, PAS sentiasa membantu dan memaafkan kekurangan. Tetapi parti lama yang jenis yang hanya muncul di musim pilihan raya dan berucap bergegar-gegar, maaflah.

Sebenarnya, keadaan inilah yang akan mencetuskan perebutan kerusi untuk dipertandingkan. Calon yang mempunyai jentera bekerja di bawah tidak diberi kerusi manakala calon yang diberi kerusi tiada jentera.

Begitulah realiti politik Malaysia.

Memahami realiti ini, PAS terus melangkah ke hadapan dengan matlamat membawa rahmat kepada semua dengan Islam. Sebagai parti yang lama yang mempunyai banyak pengalaman dalam kerjasama politik, PAS boleh mengenal ribut yang perlu diharungi melalui istiqamahnya, membaca dan mengenal keikhalasan kawan atau kawan yang hanya ingin menumpang kekuatan yang ada pada PAS, menghidu musuh dan kepura-puraan musuh yang ingin berkawan dan juga menyedari ia tidak boleh lari dari kesilapan tapi sentiasa istiqamah dalam memperbaiki kesilapan dan mengatasi kekurangan.

PAS kini perlu memperkasakan muafakat dengan rakan yang sedia menerima dasar yang dibawa oleh PAS. PAS sedang membina kekuatan blok Gagasan Sejahtera walaupun pelbagai cemuhan dibuat. Bagi PAS, ia lebih senang berpakat dengan yang jujur dari yang hanya ingin mengambil kesempatan dalam muafakat.

Perjuangan PAS bukan hanya ingin menjatuhkan seorang pemimpin dan mengekalkan sistem yang korup, rasuah yang merompak jati diri rakyat Malaysia.

Perubahan sistem bukan hanya berlegar kepada sistem sekular yang sama, yang hanya menukar nama. PAS inginkan perubahan kepada sistem yang beraksi kepada kebenaran dan keadilan sebagaimana yang diwahyukan Allah.

Ada orang sinis dengan gagasan ini apa lagi bila dikaitkan dengan Islam atau nilai Rabbani. Ia merasa akal manusia lebih hebat dari apa yang diturunkan oleh Allah. Pedulikan pandangan naif ini kerana kemanisan madu tidak akan dapat dinikmati, melainkan orang yang meminumnya.

Kini, fokus rakyat tertumpu kepada pilihan raya. Rakyat perlu menilai kerja berterusan parti membantu rakyat waktu senang dan susah. Wakil rakyat bukan hanya dilihat muncul waktu keraian, kematian atau perayaan sahaja tetapi rakyat perlu melihat kesungguhan mereka membawa isu rakyat di Parlimen atau Dewan Negeri dan bangkit berhujah dan membela nasib rakyat.

Wakil rakyat perlu sedar ia adalah jawatan adalah amanah berat yang akan dihisab di akhirat. Pertimbangan kerja berasaskan nilai ukhrawi menyebabkan mereka sedar beratnya tanggungjawab, bukan mengambil kesempatan membolot kekayaan dan bermegah dengan pelbagai gelaran lalu menekan dan menzalimi rakyat marhaen di saat mempunyai kuasa dan kemaruk mempertahankan kuasa. Jawatan tidak boleh dilihat sebagai peluang membolot kekayaan peribadi dan kroni.

Perubahan kesedaran politik perlu dipertingkatkan. Era mengambil kesempatan di musim pilihan raya perlu dikikis. Mengekalkan sistem yang korup akan hanya melahirkan negara yang bankrap. Bankrap jiwa dan harga diri menyebabkan rakyat menjadi pengemis di negara sendiri sebagaimana pepatah "ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan".

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
28 September 2016 - HARAKAHDAILY 28/9/2016

Share on Myspace