Istiqamah kembalikan hidup berlandas al-Quran, sunnah

Ahmad Hakimi Othman | .

Kita semua telah memasuki tahun baru hijrah yang bermakna telah berlaku 1438 tahun dahulu mengikut perkiraan Qamariah Nabi Muhammad Saw berhijrah Ke Yathrib dan memulakan kehidupan yang merdeka dengan Islam. Penghijrahan yang menjadi tanda aras penting bagi Kesempurnaan syariat akhir zaman yang mengikut panduan wahyu dan sunnah kehidupan Rasulullah SAW. Maka, untuk kita yang menyambut tahun baru hijrah ke 1438 ini, marilah sama sama menghayati semangat perubahan Hijrah yang kembali kepada kemerdekaan hidup hanya di bawah naungan Allah Azza wa jalla.

Penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah, adalah perubahan daripada cengkaman Musyrikin Mekah yang menolak untuk kembali kepada syariat Allah kepada sebuah tempat bernama Yathrib, yang sebahagiannya telah mengangkat Nabi sebagai pemimpin mereka dan mereka bebas dari segala cengkaman dan halangan lain. Kebebasan yang ada itu, digunakan oleh Rasulullah SAW membuka sejarah baru Islam yang telah membangunkan masyarakat Islam daripada hidup kekeluargaan kepada pembangunan tamadun berdasarkan syariat Islam.

Permulaan kemerdekaan yang bertandakan peristiwa hijrah adalah Nabi dan orang beriman bebas berbuat apa yang diperintahkan oleh Allah mengikut fitrah kejadian dan keinginan manusia. Maka, antara tanda kemerdekaan itu ialah membina Masjid Nabi sebagai Pusat Orang Islam dan Juga Memeterai Perjanjian Piagam Madinah sebagai pintu kepada membenarkan Islam dilaksanakan dan diamalkan oleh orang Islam tanpa digugat dan campurtangan selain daripada orang beriman yang berada di Yathrib.

Piagam Madinah yang termeterai seawal tahun pertama hijrah bersamaan 622 Masihi adalah 600 tahun lebih awal daripada Perjanjian Magna Carta British antara Raja British dan Kota Kota yang mendukungnya sekitar abad ke-13 Masihi. Sejarah British dan pemeteraian Magna Carta 1215 adalah era permulaan sistem Common Law yang dibawa oleh Dinasti Diraja British yang kemudiannya apabila berkembang di zaman Renaissance, ia dibawa ke negara negara yang dijajah British termasuk Tanah Melayu.

Negara kita menerima kesan penjajahan British dan yang paling mengesankan kepada cara hidup Islam dan iman kita adalah sekatan kepada undang-undang dan aturan Islam. Ini diakui sendiri oleh pegawai British yang pernah menjajah kita, RJ wilkinson yang menulis laporannya dalam, The Papers on Malay Subject (cetakan 1937) menyatakan seperti berikut:
"There can be no doubt that Muslim law would have ended by becoming the law of the Malays had not British law stepped to check it”.

Membuktikan kepada kita bahawa sememangnya penjajah berhajat menyekat umat Islam untuk hidup bersyariat Islam sempurna. Kesannya, walaupun telah dibebas oleh penjajah dengan pengisytiharan kemerdekaan 1957, penjajah tidak meninggalkan begitu sahaja, sebaiknya meninggal peninggalan Perlembagaan Perseketuan yang banyak mewarisi penjajah. Mungkin kerana awlawiyat ketika itu merdeka dan melepaskan diri daripada penjajah, kita tetap menghargai jasa jasa orang terdahulu.

Namun begitu, kita sudah merdeka sekian lama, penjajah telah lama hijrah dari bumi kita sekian lama, maka sepatutnya kemerdekaan kita ditandai dengan kebebasan kita beramal dengan Islam yang kita anuti dan bebas mentafsirkan perlembagaan mengikut kebebasan kita sebagai hak rakyat yang merdeka.

Maka, kesempatan sambutan tahun baru Hijrah ini, marilah kita menanam dan membina semula semangat bebas merdeka dengan Islam sebagaimana Nabi Muhammad dan orang-orang beriman yang berhijrah bersamanya ke Yathrib 1438 tahun dahulu. Kebebasan yang ditandai dengan memuliakan Islam dalam perlembagaan seperti Piagam Madinah.

Oleh kerana itu, usaha-usaha semasa memartabatkan Islam melalui jalan demokrasi dan menepati perlembagaan negara kita hendaklah disokong oleh kita yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Menyokong usaha memartabatkan syiar Islam dan membuka pintu Perlembagaan untuk kebebasan orang Islam dan beriman adalah manifestasi akidah sempurna.

Presiden PAS, yang juga ahli Parlimen Marang, TG Haji Abdul Hadi Awang telah membuka jalan kepada kita. Maka, marilah kita semua bersama sama menyokong usaha ini dan berharap inilah usaha niat Hijrah kita yang menepati syariat.

Tiada lagi Hijrah seperti Mekah ke Madinah selepas pembukaan Kota Mekah, namun hijrah yang masih ada adalah niat ke arah Islam dan berjuang memartabatkan Islam.

Ayuh anak muda dan Islam! Istiqamah meneruskan hijrah kemerdekaan Islam! - HARAKAHDAILY 3/10/2016

Penulis ialah Pengarah Jabatan Penerangan DPPNS.

Share on Myspace