Surat terbuka kepada PM: Bajet 2017 untuk rakyat

SYAHIR SULAIMAN | .

“Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan.” (Yusuf: 47)
 
Datuk Seri,
 
Malaysia berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar.
 
Pertumbuhan KDNK diunjur malar (4%-4.5%), inflasi terus menjalar (2%-3%), pengangguran semakin menular (3.5%), dan ringgit hilang kadar (RM4.00). Malah merangka Bajet 2017 pastinya sukar dalam keadaan defisit kian melebar (3.5%) dan hutang kerajaan makin mengakar (54%).
 
Rakyat juga berhadapan dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kesan kenaikan cukai dan kenaikan harga yang perlu dibayar, menyebabkan tabungan semakin sukar dan hutang isi rumah kian melebar.
 
Datuk Seri,
 
Kerajaan dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi cabaran ini, iaitu - cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan.
 
GST menjadi senjata utama, atau dalam erti kata lain, poket rakyat yang menjadi mangsa. Tanpa segan, kerajaan mengatakan GST telah menyelamatkan ekonomi negara. Ternyata, rakyat telah menjadi mangsa untuk menanggung kegagalan para menteri mengurus kewangan negara.
 
Tidak cukup dengan itu, rakyat perlu membayar lebih untuk meneruskan kehidupan, kesan subsidi yang dikurangkan. Dengan alasan rasionalisasi perbelanjaan, yang terjejas adalah rakyat miskin dan golongan pertengahan. Setiap hari duit belanja kami dicatu, berbeza dengan para menteri yang ada elaun untuk menampungnya.
 
Sewajarnya, dalam keadaan rakyat terpaksa berjimat, kerajaan perlu lebih berhemat. Selain dikaji saiz kabinet yang terlalu besar, setiap Menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan 20% gaji bulanan, serta memulangkan elaun tol, minyak, percutian, dan keraian, supaya kalian dapat merasai bebanan golongan bawahan.
 
Datuk Seri,
 
Matlamat utama bajet kerajaan adalah untuk memberi nilai-tambah (value-added) dan impak berganda (multiplier-effect) dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ini adalah penting supaya ‘kek ekonomi’ terus berkembang untuk dinikmati oleh segenap lapisan rakyat dengan seadilnya.
 
Formula memberi nilai-tambah ini adalah elemen utama dalam prinsip keberkatan, yang ditakrifkan sebagai Ziyadatul-Khair, yang bermaksud bertambah-tambah kebaikan. Ini dapat dihasilkan melalui empat (4) kaedah berikut yang boleh digarap di dalam bajet negara:
 
Pertama, menambah-nilai melalui Pertambahan. Ini dapat dicapai dengan memberikan lebih penumpuan terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan hidup rakyat. Sektor pendidikan perlu terus diberi keutamaan, dengan penekanan terhadap akses pelajar, kualiti pembelajaran dan kebajikan pendidik. Sektor kesihatan perlu diberi perhatian, dengan memfokuskan terhadap gaya hidup sihat dan pengawalan wabak yang memudaratkan. Di samping itu, lebih banyak rumah mampu milik perlu disegerakan, bagi memastikan generasi muda mampu untuk berumah di bumi sendiri.
 
Kedua, menambah-nilai melalui Pengurangan. Ini dapat dicapai dengan mengurangkan karenah birokrasi dalam urusan kerajaan, yang membuka ruang kepada amalan rasuah dalam negara. Di samping itu, kerajaan perlu menghentikan segala bentuk pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan, sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Selain itu, gejala rasuah dan salahguna kuasa wajib dihapuskan, dan sewajarnya budaya integriti tinggi ini perlu dihayati oleh Malaysian Official 1 (MO-1).
 
Ketiga, menambah-nilai melalui Penggandaan. Ini dapat dicapai dengan dengan melipatgandakan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan budaya inovasi dalam negara. Sektor keusahawanan belia, rekacipta dan pertanian moden wajar dibangunkan dengan inovasi baru sebagai pemacu kemajuan negara, bagi menjadikan Malaysia mampu bersaing di tahap yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa.
 
Keempat, menambah-nilai melalui Pembahagian. Ini dapat dicapai dengan dengan memastikan agihan kekayaan negara tidak hanya dimonopoli oleh golongan kaya (T20), tetapi turut diagih secara adil kepada golongan miskin (B40) dan pertengahan (M40). Kekayaan hasil bumi perlu diagih secara adil di antara bandar dan luar bandar, serta dibahagi kepada negeri-negeri agar nikmat pembangunan dapat dikecapi bersama. Tidaklah wajar Kelantan terus dipinggirkan, sebagaimana nasib yang sama turut menimpa Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan daripada arus pemodenan.
 
Datuk Seri,
 
Keutamaan yang perlu ada dalam penggubalan sesebuah bajet adalah kebijaksanaan untuk menambah apa yang perlu dan mengurangkan apa yang tidak perlu.
 
Cukuplah dengan formula bajet yang telah gagal selama ini, yang menyaksikan kerajaan menambah pada perkara yang tidak perlu dan mengurangkan perkara yang rakyat perlu.
 
Justeru besarlah harapan agar Bajet 2017 dirangka dengan teliti, agar Malaysia dilimpahi ekonomi yang diberkati, berpandukan kepada neraca wasatiyyah dan ajaran Ilahi.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
4 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 4/10/2016

Share on Myspace