Bagaimana jadi hati dapat nikmat dengan solat

USTAZ MOHD NOR HAMZAH | .

Tiga perkara kesukaan Rasulullah SAW ialah solat, wanita dan wangian. Paling istimewa bagi baginda ialah solat yang menjadi penyejuk mata dan hati baginda. Bagaimana kita mahu jadikan hati kita sebagaimana hati Rasulullah SAW yang mendapat kenikmatan melalui solat?

Kata Ibnu Qayyim, perkara yang mesti diambil berat dalam semua konteks bagi mencapai nikmat ini ialah ilmu. Melalui ilmu, semua makhluk mencari kenikmatan jiwa mereka seperti ilmu mencari makan, membawa kepada nikmat makan. Ilmu bercucuk tanam akan memberi kelazatan jiwa kepada pengamalnya. Begitu juga jika kita bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu solat atau agama, maka kenikmatan jiwa manusia itu akan tercapai melalui solat.

Kita menikmati kelazatan itu kerana kita percaya amalan yang kita sukai itu memberikan kebaikan atau manfaat dalam hidup kita. Apa manfaat solat kepada kita? Kerana kita yakin ia akan membawa kebaikan dalam hidup kita dunia dan akhirat. Jika kita keliru dan tidak tahu apa kebaikannya, mana mungkin kita dapat mencapai kenikmatan itu. Lazat juga mesti kita fahami melalui teori diikuti pengamalan bukan hanya teori. Inilah alasan sahabat-sahabat Rasulullah sanggup mati berjuang kerana mereka sangat faham dan menghayati kematian syahid itu adalah puncak kenikmatan jiwa mereka.

Namun akan sentiasa ada gangguan kepada kenikmatan ini iaitu hal yang berlawanan dengan kelazatan ini. Contoh bagi solat, gangguannya ialah syaitan, nafsu dan lain-lain. Di sinilah perlunya ilmu bagi melarikan diri dari gangguan ini. Melawan hasutan syaitan bukan perkara yang mudah kerana syaitan bukan sahaja bertindak mengikut peringkat keimanan kita malah berterusan menghasut sehingga kita hampir mati. Jika kita kurang ilmu dan amalan bagi melawan hasutan ini, maka kelazatan dan kenikmatan bagi solat itu akan hilang.

Kita mesti jauhkan diri dari jalan-jalan syaitan barulah kita akan dapat memenuhi kenikmatan dalam beribadat ini dengan cara kita memenuhi keperluan ilmu, kena beramal dengan ilmu itu.

Contoh ahli suffah, mereka merasakan kelazatan hidup mereka apabila meninggalkan dunia. Ahli suffah hidup mereka hanyalah menuntut ilmu dengan Rasulullah SAW di beranda Masjid Nabi. Berlawanan dengan kita yang memeluk erat dunia kerana tidak mahu melepaskan dunia yang menipu ini.

Dalam melaksanakan solat kita, perkara-perkara asas ini mesti kita jaga bagi mencapai kesempurnaannya iaitu ikhlas, benar, ikut sunnah Rasulullah SAW, kena ada rasa berdosa atau kurang diri ketika solat kerana berdiri di hadapan Raja segala raja. Ia akan membantu menyempurnakan kualiti solat.

Marilah kita sama-sama berusaha menjadikan solat itu adalah penyejuk hati kita, rehlah bagi jiwa. Hassan al-Basri bertanya, perkara apakah yang paling penting dalam hidup kamu? Maka jika solat tidak menjadi kepentingan dalam hidup kamu, maka tiada apa lagi yang tinggal.

Oleh itu, semestinya kita melatih diri serta anak keturunan kita bagi menjadikan solat sebagai teras kehidupan kita semua. Ajaklah anak kepada solat berjemaah untuk solat fardhu. Jangan jadikan rumah kita seperti kubur iaitu tidak bersolat di rumah, maka ajaklah keluarga kita sentiasa bersolat sunat seperti tahajjud di rumah kita.

Solat menghalang kekejian, menjadi makanan kepada jiwa, gembirakan jiwa, hilangkan malas, menolak bala, menambah berkat dan mendekatkan kita kepada Allah. Semoga kita dan keturunan kita menjadi golongan yang sentiasa menjaga solat kita. Wallahua'lam.

Tulisan di atas adalah ringkasan Kuliah Maghrib penulis selaku Adun Bukit Payong, Marang yang diadakan di Surau Kg Surau Haji Mat Zain.

Share on Myspace