Culas: Masjid mati dulu

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Projek awal Nabi Muhammad SAW sampai di Madinah ialah membina masjid. Di sinilah tempat membangunkan modal insan yang takut kepada Allah SWT. Negara akan hancur jika perkara ini tidak diambil berat. Bangunan yang dibina akan runtuh, khazanah negara habis disapu, akhlak dan moral lintang pukang apabila modal insan diabaikan.

Imarahlah masjid yang berhampiran dengan kediaman kita. Kebanyakan ahli masjid hatinya hidup. Senang untuk menerima pengajaran dan nasihat agama. Mereka yang jinak dengan masjid kebiasaanya mudah untuk disedarkan tentang tanggungjawab kepada agama dan negara.

Masjid yang ditadbir oleh ahli yang berminat dengan masjid, sentiasa maju dan makmur dengan programnya. Sebaliknya jikalau ia ditadbir oleh orang yang culas ke masjid tetapi hendak pegang jawatan dalam masjid. Maka masjid itu mati dahulu sebelum ahli kariah mati.
 
Cuba perhati masjid yang berada di sekeliling kita. Masjid yang diimarahkan sentiasa sibuk dengan program yang memberi manfaat kepada penduduknya. Kewangan makin bertambah, jamaah semakin ramai. Kelas pengajian hidup sepanjang masa. Masŷarakat hidup dengan persekitaran agama.

Majoriti orang yang rapat dengan masjid ialah orang baik dan soleh. Dengan tidak nafikan ada segelintir mereka yang jahat, mempunyai niat yang tidak baik. Keseluruhannya pengunjungnya orang baik. Mereka yang ada secebis iman tidak tergamak melakukan perkara tidak baik seperti curi duit masjid atau tipu duit masjid.

Pendakwah kena rapat dengan masjid dan ahli masjid. Macam mana kita hendak mengajak orang kepada perjuangan Islam, jika diri sendiri tidak mahu rapat dengan masjid. Ia merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh seorang da'i. Dakwah rugi apabila da'i jauh daripada masjid.

Share on Myspace