Istimewanya penyelesaian ekonomi Islam

SYAHIR SULAIMAN | .

JIKALAU sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Pendekatan Ekonomi Negara Berkebajikan

Dunia telah menyaksikan keruntuhan blok ekonomi komunisma yang menolak nilai agama dan ketuhanan, dan kini kita sedang menyaksikan kejatuhan sistem ekonomi kapitalis di blok kuasa Amerika dan Eropah yang bertuhankan kebendaan dan menghalalkan riba secara berleluasa.

Kiblat ekonomi sebegini hanya membarahkan lagi keadaan ekonomi yang mana kekayaan hanya berlegar di kalangan kelompok tertentu, seterusnya melahirkan pemimpin dan peniaga yang tiada integriti, menerima rasuah, rakus mengumpul kekayaan secara manipulasi, monopoli dan riba.

Justeru, gagasan pendekatan ekonomi Negara Berkebajikan yang pernah dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Ucapan Dasar beliau bersempena Muktamar PAS 2012 dahulu adalah sangat tepat dan berwawasan jauh sebagai jalan penyelesaian kemelut ekonomi yang sedang melanda negara dan dunia secara keseluruhannya.

Penegasan beliau bahawa tanggungjawab pemerintahan dan memakmurkan bumi ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan, bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan, bahkan pada kemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab kepada Allah SWT, jelas membuktikan iltizam ekonomi yang menjamin nilai keadilan sosial ditegakkan dalam urusan bernegara.

Sebagai kerangka dasar ke arah membetulkan kegagalan sistem ekonomi yang sedang melanda sekarang, TG Abdul Hadi telah mengemukakan empat langkah utama seperti berikut:

1.Membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan pertumbuhan ekonomi melalui dasar fiskal dan monetari yang menjamin keadilan sosial secara mampan.

2.Membetulkan pelaksanaan dasar ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mendidik mampu mencegah, dan seterusnya menghalang elemen pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta rasuah.

3.Membuat penilaian menyeluruh terhadap kekuatan hasil mahsul negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat dan generasi masa depan.

4.Menolak diskriminasi, di mana dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik, negeri, dan wilayah, dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar. Ini sekaligus menolak amalan kronisma nepotisma, dan manipulasi dan monopoli pasaran, melalui pelaksanaan undang-undang yang membela kebajikan rakyat keseluruhannya.

Prinsip Penyelesaian Ekonomi Islam

Sebagaimana yang dinukilkan oleh As-Syeikh Profesor Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya ‘Indahnya Islam: Sumber Penyelesaian Segala Masalah’:

“Kebanyakan orang menyangka bahawa Islam tidak menitikberatkan aspek ekonomi dalam kehidupan. Dikatakan bahawa agama dan ekonomi merupakan dua perkara yang bertentangan yang tidak akan bertemu. Ekonomi memberi makna aspek kebendaan dalam kehidupan, manakala agama memberi makna aspek rohani dalam kehidupan. Katakanlah sangkaan ini tepat pada agama lain, tetapi tidak tepat pada agama Islam.” Al-Quran telah mengiktiraf harta sebagai tunggak kehidupan ketika Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

“Dan janganlah kamu berikan harta kamu (yang Allah jadikan tunggak bagi kehidupan kamu) kepada orang-orang yang kurang cerdik (dalam menguruskan harta).” (An-Nisa’: 5).

Seterusnya Dr Yusuf al-Qaradawi telah menggariskan 10 jalan penyelesaian ekonomi Islam, yang merupakan sebahagian daripada ciri-ciri penyelesaian Islam itu sendiri, iaitu:

1.Memberi peluang pekerjaan yang sesuai kepada semua penduduk yang berupaya bekerja (job creation). Islam menganggap pekerjaan adalah hak penduduk dan kerajaan wajib menyediakannya dengan peluang latihan kemahiran yang mencukupi. Dengan itu, semua orang yang berupaya bekerja akan memperoleh pekerjaan dan dapat menyara kehidupan dirinya sendiri.

2.Memberi ganjaran saksama (fair compensation) kepada semua pekerja berpadanan dengan kerja yang dilakukan dan mencukupi perbelanjaan yang sepatutnya. Ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang telah membahagikan harta rampasan perang dengan kadar satu bahagian kepada tentera pejalan kaki dan dua atau tiga bahagian kepada tentera berkuda. Selain itu, Baginda telah membahagikan harta al-fai’ satu bahagian kepada tentera yang masih bujang dan dua bahagian kepada tentera yang telah berkahwin.

3.Memungut zakat dari semua jenis harta kekayaan, ternakan, pertanian dan pendapatan, untuk dibahagikan kepada lapan golongan penerima zakat (income distribution). Dengan itu, zakat dapat mengumpul dana dan melaksanakan takaful keadilan sosial, memerangi pembolotan harta, membasmi amalan riba, menyelamatkan orang yang berhutang daripada kehinaan hutang selain menggiatkan gerakan dakwah Islam untuk golongan ‘yang dijinakkan hati kepada Islam’ dan ‘untuk jalan Allah’.

4.Menyediakan pembiayaan kepada mereka yang tidak berupaya melakukan kerja dengan kadar yang dapat memenuhi keperluan asasi mereka (safety net), antaranya golongan OKU, mangsa kemalangan dan kelemahan kekal.

5.Merampas semua harta yang terhasil melalui jalan yang haram seperti merompak, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Segala hasil rampasan ini hendaklah dibelanjakan kepada kegunaan umum atau untuk kumpulan yang tidak berupaya.

6.Menjalankan hisbah (audit) kepada pegawai tinggi negara yang memiliki harta melalui jalan yang tidak dibenarkan. Ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menyiasat Ibnu al-Latbiyah dan mengikut amalan Saidina Umar yang menjalankan audit ke atas wakil-wakilnya yang mentadbir di wilayah lain.

7.Memerangi pembaziran dan bermewah di dalam masyarakat, dan mendekatkan jurang ekonomi (inequality of income) di antara individu dan kelompok masyarakat. Ini diambil dengan menyekat kerakusan orang kaya, mempertingkatkan taraf kehidupan orang miskin, dan menghapuskan kezaliman yang menindas orang lain dengan cara yang batil.

8.Memperdekatkan kampung dan bandar supaya penduduk luar bandar tidak dibiarkan ketinggalan. Kerajaan hendaklah memberikan perhatian untuk meningkatkan taraf kesihatan, pendidikan, sosial dan ekonomi luar bandar, bagi mengecapi nikmat pembangunan bersama.

9.Membersihkan semua institusi kewangan daripada najis riba dan segala bentuk muamalah yang bercanggah dengan syariat Islam. Kerajaan hendaklah menubuhkan bank Islam yang melaksanakan muamalah tanpa riba dan menutup semua bank yang melaksanakan muamalah riba. Di sana ada peluang yang luas untuk mempraktikkan segala teori ekonomi Islam kepada alam realiti bagi sesiapa yang mempunyai keazaman yang kuat.

10.Membuat perancangan berlandaskan ilmu dan kajian untuk menambah pendapatan, kekayaan dan kekuatan ummah. Umat Islam hendaklah memanfaatkan kerjasama ekonomi di antara negara-negara Islam untuk mendorong kemajuan pembangunan, seterusnya membebaskan diri daripada bergantung kepada kuasa besar dunia yang lain. – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace