Kos sara hidup meningkat tanggungjawab kerajaan

USTAZ IDRIS AHMAD | .

DS Zahid Hamidi berkata jangan marah pada kerajaan sahaja kerana kenaikan kos hidup. Ia di luar kemampuan kerajaan untuk kawal. Beliau berkata negara pengeluar minyak yang lain pun menghadapi masalah yang sama. Jangan pula macam cerita Pak Pandir anak orang lain juga mati, bukan anak kita sahaja yang mati.

Kerajaan tidak boleh lepas diri daripada tanggungjawab ini. Ia tidak boleh tutup dengan BRIM  sahaja. Sekarang ini pun rakyat sudah pandai menjawab BRIM setahun sekali, GST setiap hari. Kononnya kos sara hidup tidak meningkat apabila GST diperkenalkan hanya khayalan semata-mata. Realitinya rakyat cukup terkesan.

Kerajaan kena fikirkan langkah drastik untuk mengatasi perkara ini. Gaji yang rakyat bayar kepada Menteri supaya memikirkan untuk kesenangan rakyat. Bukan memikir untuk kesenangan kroni

Janganlah ambil contoh negara yang tidak boleh diteladani. Ambillah contoh negara yang baik. Perlu ambil contoh negara serantau yang dekat dengan negara kita seperti Singapura, Thailand, Indonesia. Kenapa negara ini tidak seteruk negara kita. Pada hal khazanah alam di negara kita melebihi daripada negara mereka. Minyak, balak, bauksit, emas, mutiara, bijih timah, bijih besi semuanya pakej lengkap anugerah Allah kepada negara kita.

Stail kepimpinan negara selalu banding dengan negara yang lebih teruk. Apabila kita kritik soal kebebasan demokrasi maka mereka suruh rakyat banding dengan Zimbabwe.

Isu kebejatan ekonomi menjadi punca dan tata kelola yang tidak betul menyebabkan ekonomi menjadi seperti ini.  Masalah 1MDB, derma RM2.6 bilion, pendedahan DOJ semuanya menjadi ramuan untuk menjadikan ekonomi negara kita tidak menentu. Nasib malang menimpa rakyat bawahan. Harga getah tidak naik. Sedangkan kos operasi semakin meningkat kerana GST dan kejatuhan mata wang.

Sehingga 31 Disember 2015 hutang negara RM630 bilion atau 54.5  % daripada KDNK. Negara masih beruntung kerana masih ada lagi kantong emas daripada dalam negara seperti KWSP, Amanah Pencen, Tabung Haji, Lembaga Tabung Amanah Tentera. Tetapi sampai bila kantung ini akan bernafas, kalau asyik-asyik dihisap tanpa ada penambahan. Dulu ada Felda dan Petronas, sekarang tidak lagi boleh menjadi balang oksigen. – HARAKAHDAILY 14/10/2016

Share on Myspace