Sejarah Majlis Syura Ulamak dan perjawatan mursyidul am

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

TRANSFORMASI kepimpinan PAS pada tahun 1982 menyaksikan Haji Yusuf Rawa memangku jawatan Presiden PAS dan antara perkara penting yang berlaku semasa era Yusuf Rawa ialah mewujudkan Majlis Syura Ulamak. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengusulkan tentang penubuhan Majlis Syura Ulama dan diangkat ke Mesyuarat PAS Pusat. Memandangkan keberkesanan ulamak dalam membimbing dan sebagai simbol penyatuan fikrah dalam PAS, maka semasa dipimpin oleh Haji Yusof Rawa, PAS telah menubuhkan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura telah ditubuhkan untuk memastikan ulama benar-benar membuat keputusan dalam menentukan halatuju perjuangan dan bukan gimik untuk berubah kepada sesuatu yang baru semata-mata. Majlis Syura Ulamak adalah badan tertinggi dengan mengamalkan konsep syura. Walaupun dahulu Dewan Ulama memainkan peranannya tetapi kebanyakan keputusan hanyalah meminta Dewan Harian Pusat. Kini dengan pendekatan syura, Haji Yusof Rawa telah memperkenalkan Majlis Syura yang lebih berwibawa menentukan keputusan-keputusan parti.

Majlis Syura Ulamak telah diberikan beberapa kuasa penting di dalam parti seperti menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

Badan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan parti dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawal serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan PAS dipatuhi samada di dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. Majlis Syura Ulama juga mestilah memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib ahli PAS dan melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan PAS.

Pemilihan ahli majlis begitu sekali cermat dan PAS meletakkan piawaian yang tinggi. Perlembagaan PAS telah menggariskan syarat-syarat yang perlu ada kepada semua ahli Majlis Syura.

Sepertimana yang dicatatkan dalam Perlembagaan PAS Fasal Tujuh (4) ada menyebut bahawa seseorang yang ingin dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama perlu memiliki ciri-ciri berikut.

Pertama, ia hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam Syariat Islam dan hukum-hukum atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.

Kedua, ia hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya, dan ketiganya hendaklah ia seorang ahli PAS.

Kedudukan ulama yang sebelum ini dipisahkan telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.

Ini merupakan asas perubahan yang begitu drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS. Ia dianggotai oleh ulama yang berwibawa dan struktur ini berbeza dengan orang lain.

Dalam sejarah Majlis Syura Ulama, Haji Yusuf Rawa ialah Mursyidul Am PAS yang pertama, diikuti dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Haron Din menjadi Mursyidul Am PAS yang ketiga dengan pelbagai ujian yang sedang dialami oleh PAS sehingga munculnya kumpulan serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Beliau telah diserang daripada pelbagai penjuru oleh musuh-musuh PAS, ini adalah kerana ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip perjuangan PAS.

Kini Majlis Syura Ulamak telah melantik Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, seorang penggerak pendidikan Islam di Perlis sebagai Mursyidul Am dengan kembalinya Dr Haron Din kerahmatullah. Mantan alumni Universiti Baghdad ini adalah kader perjuangan Islam semenjak meremaja di Maahad 'Alawiyyah Perlis dan juga kader dakwah yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di bumi Baghdad.

Keupayaan intelektual, kematangan pengalaman dengan paduan dokongan ahli-ahli Majlis Syura Ulama, insyaallah Musyidul Am keempat ini akan memacu jamaah dengan segenap keupayaan. Moga Allah mmberkahi harakatul ummah ini! – HARAKAHDAILY 14/10/2016

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Share on Myspace