Tegas bukan bererti sombong

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

"Jika matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, sekali-kali aku tidak akan meninggalkan usaha dakwah ini sehingga Allah berikan kemenangan atau aku binasa kerananya."

Begitulah ungkapan maksud Rasulullah SAW bilamana diminta untuk meninggalkan berdakwah demi menjaga hati kaum kerabatnya di Mekah. Menyakiti hati manusia bukanlah satu tujuan dakwah namun ia adalah anjalan dari hati manusia yang tidak bersetuju dengannya.

Kita tidak mampu menolaknya, kerana jika mampu, pastinya Rasulullah SAW juga mampu melakukannya, namun sehingga wafatnya Rasulullah SAW sekalipun masih ada golongan pembencinya.

Penegasan Rasulullah SAW adalah bertepatan dengan tujuan Allah SWT mengutuskannya di atas muka bumi sebagai utusan-Nya yang meletakkan Islam sebagai agenda yang lebih utama mengatasi dari memelihara hati manusia.

Prinsip dakwah sememangnya akan sentiasa tegang bila bertarikan dengan sesuatu yang mencanggahinya, ada ketikanya akan terputus hubungan sebagaimana putusnya hubungan Rasulullah SAW dengan kaum kerabatnya di Mekah.

Tegas bukan bererti sombong, sombong itu ialah apabila manusia mendustai nikmat yang Allah kurniakan padanya. Islam adalah antara nikmat terbesar dari Allah SWT kepada manusia.

Manusia yang bersyukur dengan nikmat Islam pasti akan meletakkan ia sebagai yang paling bernilai mengatasi segala bentuk kekayaan di atas muka bumi, sama sekali tidak boleh ditukar ganti.

Orang yang mensyukurinya pasti menjadikan ia sebagai matlamat perjuangannya. Semua dikorbankan sama ada tenaga, harta hingga nyawa sekalipun akan diserahkan demi Islam yang sangat berharga.

Rasulullah SAW menolak pelawaan dan tawaran, ini bukan bermaksud sombong. Tetapi inilah ketegasan di dalam memelihara amanah Allah SWT kepadanya dan inilah juga tanda kesyukuran atas nikmat terbesar kurniaan Allah iaitu Islam.

Inilah juga prinsip yang PAS perjuangkan, PAS menolak pelawaan bukan bererti sombong, tapi PAS tidak mahu berlaku sombong dengan Allah SWT. Di dalam hadis qudsi Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman (maksudnya): "Takabbur itu adalah selendang Ku dan kesombongan itu adalah kain Ku, barang siapa yang mengambil salah satu dari keduanya, Aku akan campakkan ia ke dalam neraka jahannam dan tiada Aku peduli".

Lagipun tukaran yang hendak diberikan kepada PAS tidak berpadanan, mana mungkin Islam boleh ditukar dengan sesuatu yang tidak seharganya, kalau tukar juga, rugi dunia dan rugi akhirat. - HARAKAHDAILY 17/10/2016

Share on Myspace