Tiga watak antagonis sepanjang zaman

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

APABILA ada dalam kalangan hamba Allah bangun untuk menegakkan agama-Nya, pasti pula akan bangun watak-watak penentangnya. Watak-watak ini akan muncul seiring dengan penegak agama Allah SWT mencetuskan tribulasi perjuangan sehingga ke akhir zaman.

Pembawa risalah Rasulullah SAW pasti akan berhadapan dengan watak-watak seperti Abu Lahab yang keras, watak licik pendusta yang melakonkan watak Islam seperti Abdullah bin Ubay juga watak pembawa dan pencipta agama palsu seperti Musailamah Al-Khazzab.

Serangan dari segenap penjuru, pembawa agama yang satu berhadapan tentangan ideologi yang pelbagai. Sosok tubuh penyambung tugasan Nabi dihujani peluru fitnah bagi memasungnya agar tidak dapat bergerak untuk terus menyebarkan Islam.

Namun Islam tidak memborak dengan jangkitan kudis fitnah yang dilontarkan kepadanya. Malah di celah-celah itulah dia bangun. Sedikit demi sedikit akhirnya pasti akan membukit longgokan hati-hati manusia yang menjadikannya sebagai wadah perjuangan.

Islam seumpama cahaya, cahaya itu sifatnya menerangi dan menyuburkan, tiada makhluk yang mampu mengubah sifatnya dan tiada seorang jua manusia yang mampu memadamkannya. Tidak mungkin terpadam cahaya Islam kerana ia adalah sinaran Ilahi.

Orang yang benci dan menjauhi sinar cahayanya pasti akan semakin layu. Orang yang cuba memadamkannya pasti akan putus asa dan kecewa, akhirnya dilanda dengan sakit jiwa, gila dalam sedar, tidak berjalan mengikut fitrah, mengundur kepada kehidupan jahiliyyah.

Islam adalah suluhan jalan ke akhirat, cahayanya menunjuki jalan ke syurga. Jangan berpatah dan lari daripada suluhannya, jangan memilih jalan yang tiada suluhan ilahi, kegelapan pasti menyesatkan.

Sentiasalah berada di lembayung suluhannya. Tiada sesat manusia yang menumpang cahaya-Nya. Ia adalah cahaya kebahagiaan dunia dan akhirat. Rempuh semua benteng dan watak penghalang, Istiqamahlah Hingga Kemenangan, sama ada kemenangan dunia mahupun akhirat. – HARAKAHDAILY 19/10/2016

Share on Myspace