2016: Cukup 100 tahun Arab serang Mekah

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SERANGAN pemikiran dilakukan oleh musuh Islam kepada umat Islam seluruh dunia. Mereka berusaha menjauhkan umat ini daripada ajaran al-Quran. Semua bangsa tidak terkecuali sama ada Melayu, India, Turki malah orang Arab sekalipun.

Hari ini kita melihat orang Arab berbalah dan berperang sesama sendiri. Punca dia kerana meninggalkan al-Quran. Walaupun dia bangsa Nabi, tapi mereka bangsa Nabi yang sudah tidak ikut Nabi.

Kita pula asal Arab sikit habis nak ikut. Sampai makanan pakaian pun ikut. Roti arablah, baju arablah. Habis semua nak arab.

Dalam satu Hadis, sedang Nabi tidur di rumah Siti Zainab, Allah wahyukan sesuatu dalam mimpinya. Selepas itu terus Nabi bangkit dan berkata: "Binasalah orang-orang Arab dengan kejahatan yang semakin menghampiri."

Dalam satu hadis yang lain, Nabi pernah ditanya: "Adakah kita juga akan binasa walaupun terdapat orang Soleh dalam kalangan kita?" Jawab baginda SAW: "Ya, sekiranya maksiat terlalu banyak."

Orang-orang Arab hari ini tenggelam dalam maksiat. Puncanya kerana duit banyak. Mereka kaya dengan hasil minyak yang melimpah ruah sehingga jadi lalai.

Seorang diplomat barat bernama Lawrence al-Arab bersama pengikut-pengikutnya telah berjaya menipu orang arab supaya berlawan dengan Turki. Ketika perang dunia pertama, Uthmaniah Turki bersama Jerman telah berperang dengan British, Perancis dan Rusia. Belanja perang yang banyak memaksa Uthmaniah memungut cukai daripada rakyat. Ini menyebabkan rakyat marah. Selain itu sebahagian pemerintah Turki turut berlaku zalim. Mereka juga tebal semangat kebangsaan sehingga memaksa orang-orang arab turut menggunakan bahasa Turki.

Orang arab berbincang sesama mereka. Akhirnya mereka sepakat untuk menukar khilafah, tidak lagi bangsa Turki. British mengapi-apikan lagi dengan menawarkan bantuan persenjataan.

Tahun 1916, berlaku serangan pertama terhadap Khilafah Uthmaniah. Tembakan pertama dilepaskan di Mekah. Orang-orang arab lain turut bangkit berperang. Mereka namakan sebagai Revolusi Agung Arab menentang Turki Uthmaniah.

Syarif Husain, Raja Hijaz telah dihasut oleh barat memimpin orang Arab untuk memerangi Turki. Beliau telah dijanjikan British untuk ditabalkan sebagai Raja Tanah Arab.

Akhirnya setelah wilayah Arab dan lainnya bebas daripada kekuasaan Turki, tentera British, Perancis dan lain-lain datang dan memenuhi wilayah Arab itu. Bani Saud yang memerintah wilayah Najd pula mengambil peluang menakluk kota Hijaz atas kesibukan Syarif Husain. Apabila Syarif Husain minta pertolongan daripada British, mereka tidak mengendahkannya menyebabkan beliau menarik diri daripada menjadi calon raja.

Tanah Arab diserahkan British kepada Bani Saud, dinamakan sebagai Arab Saudi. Anak Syarif Husain, Abdullah dipilih sebagai Raja negeri baru yang dipecahkan dari wilayah Syam bernama Jordan, dan seorang lagi anaknya Faisal dipilih sebagai Raja Iraq. Syria dan Lubnan diberi kepada Perancis.

Raja-raja ini telah mengikat perjanjian untuk menyerahkan negara mereka ditadbir oleh penjajah. Mereka hanya memungut harta hadiah penjajah hasil mengaut dan menggali minyak orang arab. Raja-raja ini hanya duduk saja. Nak duit diberi duit, nak senjata diberi senjata. Nak kereta kebal dapat kereta kebal.

Orang-orang arab suka sangat dapat macam-macam. Sebenarnya yang diberi hanya senjata lemah, senjata terpakai yang tidak mampu menyaingi barat. Tahun 1948 sewaktu berlaku perang antara Arab dan Israel, Arab kalah teruk. Mana taknya, senjata Israel boleh tembak 100km, Arab punya hanya 50km.

Arab kini masih tak sedar mereka ditipu. Semua ini berpunca kerana meninggalkan al-Quran. Kita jangan ikut mereka walaupun mereka bangsa Arab.

Tahun ini 2016. Sejak 1916, kini cukup 100 tahun peperangan Arab-Turki itu. Jaga-jaga dengan apa akan berlaku lepas ini. Tanamlah ubi banyak-banyak. Saya cakap betul ni. Tengoklah sikit masa lagi apa kan berlaku. Dunia sedang huru-hara sekarang. – HARAKAHDAILY 19/10/2016

Rencana ini ialah petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Share on Myspace