Menegakkan syiar mentauhidkan Allah dengan syariat

Ahmad Hakimi Othman | .

Sunnah Para Nabi Dalam Gambaran Surah Al A’raf

Umat Islam di Malaysia hari ini begitu teruja dengan sosok tubuh yang sedang dilihat membawa obor syariat Islam dengan cubaan membuka wasilah dan pintu perlembagaan kepada kemerdekaan orang islam bersyariat mengikut manhaj aqidah tauhid yang sebenar. Seluruh mata memandang setiap langkah sosok tersebut iaitu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sama ada yang mengharapkan kejayaan ataupun yang mahu melihat kegagalan.

Aqidah yang benar ialah mengikut sahaja apa yang diperintahkan oleh Allah walaupun dirasakan kecil dan tidak relevan. Maka perbuatan mengikut menepati aqidah tauhid dikenali sebagai Ibadat ataupun syariat. Oleh itu, akidah dan syariat tidak akan terpisah dalam kehidupan mereka yang Islam dan beriman kepada Allah dan kerajaannya.

Sebagai pemuda yang mencintai Islam dan mahu dipimpin oleh mereka yang beriman dan bersungguh sungguh mencari jalan untuk memuliakan kalimah Allah, pastinya susuk tubuh sedemikian akan kami kasihi sepenuh hati kerana Allah SWT. Mencintai Allah dan mencintai orang yang diredhai Allah adalah sikap yang mahu kami zahirkan dalam perjalanan mencapai redha Allah SWT. Al Quran sebagai sumber hidayah telah menunjukkan kami kebenaran dan orang yang bersama kebenaran. Maka, izinkan kami berkongsi cita rasa kami yang kami perolehi dari panduan Allah iaitu Al Quran.

Al A’raf: Gambaran Cabaran Perjuangan Melaksanakan Perintah Allah

Perjuangan menegakkan syariat Islam di zaman ini tidak ada beza halangan dan dugaan berbanding apa yang telah dihadapi oleh orang orang beriman terdahulu. Mereka telah diuji dan berjaya, maka pastinya kita juga diuji dan mengharap berjaya seperti orang orang terdahulu yang beriman. Perjuangan menyambung lidah Rasulullah SAW ini boleh dilihat dengan gambaran menyeluruh dari surah Al A’raf. Surah yang memulakan seruan supaya melaksanakan apa yang diwahyukan oleh Allah.

Alif, Laam, Miim, Saad. (1) (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar) dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman. (2) (Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (3)

Allah memerintahkan kita yang menerima Al Quran yang telah disampai oleh Nabi kita Muhammad SAW dengan tidak perlu bimbang dan terus memberi peringatan dan berjuang menegakkan kalimahnya. Pesan Allah juga jangan ikut bimbingan dan pimpinan selain daripada Allah nyatakan dan tidak memberi kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka yang memusuhi Islam secara jelas ataupun tersembunyi. Namun, amat sedikit yang mengambil peringatan Allah ini. Maka, kita berharap sebagai pemuda pemuda Islam, kitalah yang golongan sedikit bersama mereka yang dikasihi Allah dalam menegakkan Syariat Allah.

Permulaan perjuangan menegakkan kalimah Allah ini bermula dengan syariat mudah seawal kejadian "Adam dan Hawa" sebagai bapa dan ibu seluruh manusia hari ini. Syariat yang digambarkan dengan mudah sekadar tunduk hormat kepada Adam yang diperintahkan kepada malaikat dan mahkluk langit. Namun perintah yang semudah itu diingkari Iblis yang mencipta alasan bahawa dia lebih baik daripada Adam. Lebih baik kerana dicipta dari Api sedangkan Adam dicipta dari gumpalan tanah. Sifat Iblis yang melanggar syariat Allah adalah kerana rasa mulia dan mencari alasan untuk menjustifikasikan kenapa tidak perlu baginya mengikut perintah yang berupa syariat Allah.

Ternyata apabila kita berjuang mencari jalan menegakkan jalan syariat hari ini, perangai yang pernah ditunjukkan iblis yang mencipta alasan ini berulang di zaman kita. Kita lihat betapa ramai yang menentang dan menghalang usaha membuka pintu syariat dibantah dengan pelbagai alasan yang dicipta dan kesombongan menolak usaha yang cukup mudah difahami, semata-mata ikut perintah Allah tanpa banyak soal. Namun kisah Iblis hanya permulaan penentangan terhadap syariat dalam surah Al A’raf.

Dibentang selepas kisah iblis menyombongi Allah dan Adam AS, adalah kisah para nabi seperti Nuh, Hud, Salleh, Syuaib dan Musa as. Perjuangan para nabi untuk menegakkan apa yang telah diwahyukan kepadanya daripada kitab-kitab. Kisah kisah ini sebagai sokongan kekuatan dan motivasi kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW yang menjadi rasul ikutan kita hari ini.

Maka, Quran menjelaskan kepada kita yang beriman menegakkan syariat Allah ini, sikap sikap lawan dan mereka yang menghalang perjuangan Nabi nabi terdahulu. Mereka mendustai ajaran nabi-nabi terdahulu dengan suatu yang persamaan yang tidak berubah. Mereka menolak dakwah nabi dengan alasan mereka merasakan yang berdakwah kepada mereka bodoh, hina dan tidak setaraf. Mereka langsung tidak memikirkan wahyu wahyu Allah yang disampaikan kepada mereka. Mereka langsung tidak memikirkan kekuatan Allah yang boleh mendatangkan apa-apa bala dan sengsara ketika mereka sedang tidur ataupun jaga.

Sikap penentangan mereka terhadap Islam berupa seperti Allah gambarkan dalam ayat ini:

Orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami. (51)

Gambaran tersebut kita juga boleh lihat hari ini. Bagaimana agama Islam tidak mereka jadikan sandaran pedoman, sebagai Islam yang main main yang mereka boleh ambil kesempatan untuk mendapat tempat dalam masyarakat. Bila di puncak, Islam yang perlu ditegakkan telah dijual dengan kepentingan kepentingan yang sedikit.

Bersabar dan Istiqamah teruskan Perjuangan Menegakkan Syariat

Umat umat yang sedikit mengikut Nabi terus bersabar dalam urusan mereka membawa amanah iman dan aqidah mereka. Maka, usaha mereka tidak disia siakan oleh Allah SWT. Allah akan mengira setiap usaha yang dilakukan walau sebesar zarah sekalipun. umat yang beriman ini diingatkan juga bahawa yang memusuhi mereka tidak akan senang berhadapan dengan mereka. Sekiranya dilawan, mereka tetap lapar menjelir mencari perhatian.

Sekiranya ditinggalkan dan tidak dihiraukan, mereka tetap cuba mengganggu supaya usaha usaha kita digagalkan. Pada mereka ini, Allah juga sifatkan seperti binatang ternakan, ada hati tetapi tidak mengguna untuk berfikir, ada mata tetapi tidak digunakan untuk melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar, sehingga menjadikan mereka lebih teruk daripada binatang peliharaan.

Sahabat sahabat pejuang yang dimuliakan Allah, sesungguhnya gambaran dari Al A’raf ini boleh membantu kita teguh dan istiqamah dalam meneruskan usaha usaha agama di zaman kita ini. Gambaran yang benar kepada kita yang melihat dengan mata kepala sendiri dengan halangan dan cabaran yang kita hadapi hari ini. Maka, jangan pelik bila melihat Tuan Guru Presiden PAS tidak runsing dan tenang dalam perjuangan ini. Apa yang perlu kita runsingkan sekiranya tanda tanda kita menepati sifat dan sikap dalam Al Quran begitu jelas dalam memastikan Agama Allah ditegakkan di zaman kita ini.

Istiaqamah Bersama Islam
"Menderap Jalan Istiqamah"

Ahmad Hakimi Othman
Jabatan Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
19 Okt 2016 | 18 Muharram 1438 - HARAKAHDAILY 19/10/2016

Share on Myspace