Minda Al-Mursyidul Am PAS (I)

IZWAN ABDUL HALIM | .

AL-MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin pertama kali menemui media selepas perlantikannya adalah pada 13 Oktober lalu. Banyak perkara dijawabnya daripada soalan-soalan dikemukakan. Ikuti Bahagian Pertama butiran penting pada temubual tersebut yang disunting semula oleh Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM.

Taklifan Jawatan

Menurut beliau, Majlis Syura Ulamak PAS meletakkan taklifan berat kepadanya setelah mengambil kira permintaan dibuat oleh Timbalan al-Mursyid Am Datuk Ahmad Yaakob yang akan menumpu kepada pentadbiran negeri dan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan. Beliau terkejut dengan pelantikan itu tapi Majlis Syura Ulamak memikirkan bahawa tugas jemaah ini satu yang besar dan berat.

“Saya dapat jaminan daripada Presiden dan Ahli-ahli Syura bahawa mereka akan membantu saya dalam melaksanakan tugas ini,” ujarnya.

Ikut Cara Dr Haron Din?

Tuan Guru Hashim mengiktiraf Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dengan aura dan caranya tersendiri yang tidak mampu diikuti rentak cemerlangnya oleh beliau.

“Tapi kita kena ingat bahawa dalam PAS ini, kita ada dasar-dasar pokok yang siapa pun memegang jawatan (Mursyidul Am) ini, dia tak boleh lari daripada laksanakannya. Kita tak boleh nak reka slogan sendiri. Kalau kita tengok dulu, dalam BN-Umno, Pak Lah guna slogan dia.

“Mari Najib, slogan Pak Lah dah dilupakan dah. Najib letak slogan baru dan kalau ada pengganti Najib, dia akan bawa slogan baru. Maka dia berbeza dengan PAS. Siapa saja yang memegang jawatan ini, kita dah ajar, haluan dia berdasarkan kepada Perkara 7 Perlembagaan PAS.

“(Iaitu) Hukum dan kekuasaan, adapun hukum yang tertinggi sekali dalam perundangan PAS ialah kitabullah dan sunnah rasulullah serta ijmak ulamak dan qias. Jadi, ‘stail’ apa pun yang dibawa oleh mereka yang diamanahkan untuk memegang jawatan, tak boleh lari daripada sini,” tegasnya

Kerana itulah jelasnya, biarpun jawatan tersebut pernah dipegang oleh individu berbeza, namun PAS tetap dilandasan perjuangan berdasarkan ketetapan hukum dan kekuasaan tersebut.

Terangnya, ia berbeza dari parti-parti sekular yang mengikut pemikiran pemimpin mereka, tetapi PAS sungguh-sungguh terikat dan tidak boleh bertentangan dari kerangka syarak itu.

Tegas Tuan Guru, beliau bersama dengan Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di mana tugasnya tidak dipikul berseorangan termasuk oleh sesiapa sahaja atau mana-mana entiti dalam PAS.

Katanya, baik Majlis Syura Ulamak mahupun Jawatankuasa Kerja PAS Pusat perlu ganding tenaga untuk melaksanakan dasar ataupun aktiviti agar selari dengan hukum yang empat digaris Perlembagaan PAS.

Laksana Kewajipan

Jelas beliau, sebagai Jamaah Islam, PAS bertanggungjawab melaksanakan perintah Allah.

Adapun katanya, tidak boleh laksana disebabkan halangan, itu perkara lain yang sudah menjadi tarbiyah di dalam PAS bahawa usaha mesti dilakukan, tetapi kejayaan adalah ketentuan Allah.

“Sama juga dengan kita tanam pokok. Tugas kita, tanam baja siram, jaga, penyakit. Nak keluar buah bukan kerja kita. Sebab itu dalam Islam, bertanam itu sendiri ada pahala. Melibatkan diri dengan apa yang Tuhan suruh adalah, dapat pahalanya.

“Sekarang Tuhan suruh buat hudud, tak boleh buat lagi. Tak apa kita buat RUU 355, memperkasakan Mahkamah Syariah. Tak boleh buat semua jangan tinggal semua. Ini dasar yang kita pegang dan Nabi berpesan “Apabila aku arah kamu melakukan sesuatu, lakukan semampunya,” terangnya.

Katanya, usaha itu telah PAS dan pemimpinnya lakukan sejak lama dahulu atas tuntutan dakwah Islam dan ia tidak pernah berubah di mana semua usaha itu semata-mata untuk dipersembahkan kepada Allah.

“Moga-moga Allah terima. Ini kejayaan PAS yang saya rasa mungkin orang tak nampak, kita rasa banyak. Sebab itu bila pilihan raya kita tak pernah takut kalah. Yang risau kita tidak ada sumbangan ke arah nak menegakkan hukum Allah di negara kita. Itu yang kita bimbang,” ujar beliau memperincikan banyak usaha dakwah PAS lakukan untuk ummah termasuk luar dari Malaysia.

Penyatuan Parti-parti Politik

Menjawab perpecahan yang berlaku pada parti-parti politik negara, Tuan Guru Hashim menjelaskan betapa perlunya perkara tersebut dirujuk kepada al-Quran.

Katanya, Allah mahukan kepelbagaian yang ada pada manusia disatukan dengan berkenalan dan berkasih sayang, malangnya terjadi kini adalah permusuhan.

Menurutnya, PAS telah membuktikan perkara itu antaranya mewujudkan sayap baharu iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada orang bukan Islam.

Jelasnya, semua pihak diajak untuk melakukan perkara yang akan membawa rahmat dan keselamatan dalam masyarakat.

Perkara sama terang beliau, telah dilaksanakan dalam pemerintahan Islam di mana suatu masa dahulu walaupun berperang dengan Rom dan Parsi, tetapi penganut agama lain disantuni dan dilindungi.

Tegas Tuan Guru Hashim, perpecahan di kalangan parti-parti politik juga hanya dapat diselesaikan dengan berpegang kepada agama Allah sebagaimana pada maksud ayat surah Ali Imran dibacanya itu.

“Patutnya bila PAS boleh sedar itu, parti lain kena sedar juga. Asyik ajak kita bersatu atas dasar tumbang BN, kita jadi Perdana Menteri, apakah itu yang tuhan suruh? Setakat itu?

“Kerana setakat matlamat dunia ni bimbang Allah tak terima kita, apabila kita hadapi. Tetapi apabila matlamat kita mencari keredaan Allah, apa yang tuhan kata tu,” bingkasnya.

PAS Bersama Umno?

“Ini saya suka nak sebut sikit, bahawa kita dalam PAS ini sebenarnya ada tujuan ada matlamat. Dasar kita nak ubah sesuatu yang tak baik itu bukan ubah pemimpin. Kalaulah Najib punca, bawa turun Najib, nak yang baru tapi macam Najib juga, masalah akan jadi sama juga.

“Kita (PAS) mahu dasar, sistem diubah, tak kira siapa. Nabi dulu pun, ada raja-raja yang peluk agama Islam, Nabi hantar surat ajak dia peluk Islam, dia peluk Islam. Jadi raja juga dan sistem dasar ikut al-Quran.

“Kita bukan nak tamak jadi Perdana Menteri, biarlah orang tu dah tentu jadi Perdana Menteri tu tak apalah, kita hormat. Tapi kita dalam bab itu kita nak ubah sistem, kembali kepada sistem Islam. Walaupun sikit itu adalah amanah,” jelas beliau.

Terangnya, PAS mahu membina rakyat dan pemerintah hingga ke tahap ihsan iaitu melakukan sesuatu dengan merasa seolah-olah Allah sedang melihat mereka.

Beliau turut menjawab tuduhan bersama Umno itu sebenarnya adalah dari gagasan yang diputuskan dari tiga pendekatan melibatkan sama ada tahaluf, ta’awun atau isti’anah. – HARAKAHDAILY 20/10/2016

Share on Myspace