Nasihat tarbawi buat Pemuda PAS (I)

IZWAN ABDUL HALIM | .

KULIAH Subuh pada Ijtimak Tarbawi 5.0 yang disampaikan Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim sarat dengan suntikan tarbawi buat para peserta. Alirkan titipan butiran disampaikannya pada Bahagian Pertama yang disunting semula oleh Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari kuliah disampaikan di Balai Islam Pernu, Telok Mas Melaka pada 16 Oktober 2016 baru-baru ini.

Sabar Dalam Tarbiyah
 
Beliau memetik kisah Nabi Musa a.s mengikuti kembara Nabi Khidhir a.s dari ayat 66 hingga 68 surah al-Khafi dengan menegaskan mengenai perlunya kesabaran dalam mengikuti agenda tarbiyah secara istiqamah menempuh segala cabaran dan fitnah yang menusuk tajam pada diri.

Katanya, Rasulullah telah menunjukkan model untuk mencapai kemenangan dan pemerintahan iaitulah berpegang teguh dengan al-Quranul karim dan sunnah Baginda yang semua itu adalah jati diri perlu ada pada perjuangan PAS walaupun terpaksa keluar dari Pakatan Rakyat yang menghampiri Putrajaya.

“Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia,” ujarnya memetik hadis Rasulullah.
 
Dua perkara itu jelasnya, merujuk sifat meninggalkan al-Quran dan mengabaikan Sunnah Nabawiyyah di mana panduan dikurniakan ini wajib diambil untuk memandu perjalanan perjuangan dengan membuang sifat sombong dalam mencari kebenaran dan tidak mengabaikan manusia dengan mendekati seluruh lapisan masyarakat.
 
Menurut beliau, walaupun dituduh PAS mengasingkan diri daripada manusia, namun hakikatnya semakin mendekati, merapati dan penuh keterbukaan antaranya ditunjukkan kepada Pertubuhan Persatuan Hokkien Malaysia yang mengumpulkan sejuta tandatangan membantah RUU Pindaan Akta 355.
 
“Oleh sebab itu, kita tidak abaikan panduan daripada Nabi. Dua perkara ini dengan tujuan untuk kita membunuh takabbur, membunuh keegoan dalam diri kita, ia dilahirkan melalui tarbiyah.

“Pewaris Nabi, kita tidak akan gopoh, dengan tarbiyah yang terus diasak ke dalam seluruh anak muda, kita bukan golongan yang gelojoh dan gopoh dalam bisikan untuk kita meraih kemenangan memerintah sehingga menyebabkan kita rasa tamak.

“Sehingga menyebabkan kita terlibat di dalam fitnah yang terus berleluasa, desas-desus yang memfitnah, kita mendapat habuan-habuan duniawi. Semua perkara ini telah pun dilalui oleh generasi Salafussoleh yang terdahulu,” tuturnya.

Mencetak Warisan Islam Dalam Diri

Ustaz Hishammuddin mengambil kisah kumpulan manusia yang berkunjung menziarah Fudhail bin 'Iyadh, sedang beliau melihat keadaan mereka dalam suasana fitnah dalam hari tersebut.

Lalu Fudhail bin 'Iyadh menangis membasahi janggut dan seluruh mukanya pada waktu itu dan mereka memohonnya nasihat sebagai panduan menghadapi cabaran pada masa itu, lalu Fudhail berkata:

“Nasihat aku kepada kamu, hendaklah kamu berpegang teguh dengan Al-Quranul Karim, hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnah Nabawiyyah, hendaklah kamu menjaga solat dengan sesempurna yang mungkin.

“Celakalah kamu, ini merupakan zaman, bukan untuk waktu kita banyak bercakap, ini adalah zaman bukan masanya kita bercakap banyak, tetapi ia adalah suatu zaman kamu mesti jaga tutur bicara kamu, kamu mesti sembunyikan kelibat kamu.

“Sempurnakanlah rawatan ini pada waktu malam dengan mendekatkan diri kepada Allah. Kamu mesti ambil perkara-perkara yang makruf, dan kamu mesti tinggalkan perkara yang munkar,” ujarnya mengungkap kata-kata itu.

Kebangkitan Pemuda PAS

Kerana itulah katanya, Pemuda PAS bukan sekadar untuk membawa pemuda-pemuda jinak dengan politik semata-mata atau hendak menang di dalam berpilihan raya menawan hati-hati pengundi muda yang dominan di dalam senarai daftar pemilih semata-mata, tetapi membawa anak-anak muda PAS berpegang teguh dengan Quran dan Sunnah.

Juga ujarnya, berpegang teguh menjaga pemeliharan solat seperti yang dianjurkan saban waktu melalui program-program PAS di mana waktu tersebut bukan masa untuk banyak berbicara.
 
Oleh itu jelas beliau, hari ini Pemuda PAS bukan banyak berteori, sebaliknya mengotakan kata-kata dengan menjaga lisan dan tidak terlibat di dalam fitnah yang bukan-bukan.

Sebaliknya seru beliau, bertanggungjawab untuk mencegah kemungkaran dan membawa kemakrufan, serta membawa mesej parti.

“Tiba-tiba pemimpin kita telah membawa satu signal cukup hebat, dalam suasana fitnah yang cukup dahsyat, katalah apa pun kepada kami, hari ini kami menampilkan satu budaya baru, Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

“Kami membawa mesej yang cukup jelas kepada seluruh rakyat, bukan masa untuk beretorik. Kami ingin menyelesaikan isu-isu rakyat secara praktikal, jika sekiranya diberikan mandat untuk memerintah. Anak muda perlu menyambut perkara ini, dan kita berusaha menyelesaikan perkara ini,” ujarnya mengutara gagasan.

Bina Kesetiaan Pada Perjuangan

Dalam kuliahnya itu, beliau mengajak peserta merenung pergolakan yang pernah berlaku di dalam PAS hingga sebilangan keluar daripada jemaah.

Namun tegasnya, pedulikan mereka itu kerana hari ini yang paling baik adalah menentukan kesetiaan diri kepada jemaah di mana itulah pendorong kemenangan.

Mereka yang telah pergi katanya, biarkan pergi dan jika ingin kembali, maka pada waktu tersebut mereka perlu melakukan perubahan diri sendiri, setia dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik kepada jemaah.
 
Itulah yang telah dibawa dan mendorong Saidina Umar Al-Khattab Radhiallahuanh dengan membawa slogannya yang telah membawa suatu kata semangatnya untuk dijadikan tanda aras kedudukan muslim yang terlibat di dalam perjuangan.
 
Lalu dipetiknya kisah pertemuan 'Adi bin Hatim dan Umar Al-Khattab dengan menitipkan dialog:

"Kenalkah kamu kepada aku ini wahai Amirul Mukminin?” soal ‘Adi
 
“Bahkan, ya, aku kenal kamu. Kamu telah memeluk agama Islam ketika mana masing-masing daripada kalangan mereka kufur. Kamu telah datang kepada kami dalam keadaan mereka masing-masing berpaling daripada kami.

“Dan kamu setia bersama dengan kami dalam keadaan masing-masing daripada kalangan mereka khianat kepada kami. Dan kamu telah melakukan perkara yang baik, sedangkan mereka masing-masing masih lagi melakukan perkara yang mungkar,” jawab Umar.
 
Lalu ‘Adi Bin Hatim menyatakan, “Kalau begitu, aku tidak peduli, tidak dikenali nama pun tidak mengapa, cukuplah aku dikenali dengan sifat-sifat seperti ini.”

Empat Asas Pegangan

Umar r.a jelas Ustaz Hishammuddin, telah membawa slogan yang perlu diterjemahkan kepada anak muda iaitu bukan soal berjawatan atau bercita-cita memegang teraju, tetapi teguh dengan Islam, berjuang, setia serta berbuat baik ketika orang lain kufur, berpaling, khianat serta melakukan kemungkaran.

“Cukup dengan empat perkara ini, anak muda akan berpegang teguh tanpa nama kita naik, tanpa kita meletakkan kemasyhuran, tanpa untuk menjadi seorang exco walaupun untuk kita meletakkan cita-cita, menjadi mereka yang ternama di atas muka bumi ini.
 
“Saudara, nasihat ini cukup hebat daripada Saidina Umar. Kamu berjaya kerana empat perkara ini. Usahlah kita memasang cita-cita yang terlalu tinggi, Islam tidak syorkan perkara ini. Pasanglah cita-cita untuk melakukan kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah, siapa pun kita.

“Dalam keadaan kita istiqamah dengan Islam, orang lain berpaling daripada Islam, dalam keadaan kita datang kepada perjuangan Islam yang difitnah bertubi-tubi, mereka yang lain keluar daripada perjuangan, kita datang kepada perjuangan Islam dengan penuh kesetiaan.

“Mereka yang datang dengan penuh khianat, masuk dalam perjuangan Islam, memiliki matlamat yang lain, ingin menghancurkan daripada dalam, kita tidak melakukan perkara demikian, kita setia dengan perjuangan dan kita akan melakukan kebaikan sepanjang kita berada di dalam perjuangan ini,” hurai beliau.

Ketinggian Dakwah dan Ketaatan
 
Beliau menyoroti zaman Ikhwanul Muslimin pimpinan al-Imam Hassan Al-Banna di mana berlaku kekacauan hampir menyamai situasi dilalui PAS pada hari ini apabila masing-masing mengadu domba dan melakukan tuduhan demi tuduhan.

Lalu katanya, seorang tokoh Ikhwanul Muslimin, Syeikh Hamid Askariyah, telah memberikan penegasan:
 
“Mereka ini tidak ada kebaikan di kalangan mereka, kumpulan seperti ini. Telah hilanglah daripada diri mereka menghayati ketinggian nilai dakwah. Telah hilang juga kepercayaan di dalam diri mereka untuk mentaati pucuk kepimpinan.”
 
Terangnya, Syeikh Hamid Askariyyah menegaskan sesiapa yang punya dua sikap itu ia tidak harus berada dalam saf perjuangan.

Kerana menurutnya, Syeikh Hamid menegaskan bukan tujuan meminggirkan orang, tapi tiada guna berada di dalam saf kalaulah mengkhianati perjuangan.
 
Lantaran itu saudara, saya meneruskan beberapa nasihat yang lain yang dibawa oleh tokoh sahabat, supaya ia menjadi tekad di dalam diri kita.

Kerja Jamaah, Bukan Tonjol Peribadi

Lanjutnya, beliau memetik kata-kata Abu Bakar As-Siddiq kepada Khalid Ibnul Walid saat tokoh wira pejuang yang sentiasa mencapai kemenangan pulang dari satu perjuangan di Iraq.
 
“Berawas kamu wahai Abu Sulaiman. Untuk kamu luruskan niat kamu dan untuk mencapai kedudukan yang tinggi, sempurnakanlah oleh kamu, nescaya Allah akan menyempurnakan kerja-kerja kamu, laksanakan kerja dengan baik.”

Demikian itu seru Ustaz Hishamuddin, para Pemuda PAS jangan berhenti setakat Ijtimak Tarbawi tetapi pulang ke negeri masing-masing menyempurnakan kerja dan gerak kerja anak-anak muda.
 
“Allah akan tolong menyempurnakan. Dalam suasana kita takut, (kita dipinggir, tidak dapat pilihan rakyat, saudara laksanakan kerja). Allah akan sempurnakan kurniakan kemenangan kepada kamu. Jangan sekali-kali kamu masukkan perasaan ujub dalam diri kamu.
 
“Awas, pelihara perkara ini. (Saya memberikan pesanan kepada diri sendiri sebagaimana pesanan ini dipanjangkan kepada seluruh saudara-saudara sekalian, berawas daripada kita memasukkan perasaan ujub di dalam diri kita.)
 
“Kamu akan rugi dan kamu akan berdepan dengan penuh kehinaan di hadapan Allah. (Betul, di hadapan manusia kita dijulang, tetapi apa nasib berdepan dengan Allah dalam keadaan seluruh amalan kita telah dihapus kira oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, berawas dengan perkara ini.) Awas, jangan pula kamu menunjuk-nunjukkan kerja kamu.”
 
Terang beliau, kerja dilakukan mesti tunjuk sebagai kerja jamaah dan bukan kerja peribadi kita, di mana mesti berawas dari menunjuk-nunjuk.
 
“Sesungguhnya Allah itulah yang Maha Memberi anugerah dan Dia-lah yang akan memberikan pembalasan kepada kamu.” – HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace