Minda Al-Mursyidul Am PAS (2)

IZWAN ABDUL HALIM | .

AL-MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin pertama kali menemui media selepas perlantikannya adalah pada 13 Oktober lalu. Banyak perkara dijawabnya dari soalan-soalan dikemukakan. Ikuti Bahagian Akhir butiran penting pada temubual tersebut yang disunting semula oleh Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM.

Tiga Gagasan Pendekatan PAS

Menurut Tuan Guru Hashim, pelbagai tuduhan diterima PAS yang dikatakan bersama Umno, sedangkan PAS mengambil pendekatan berdasarkan sirah Rasulullah SAW.

Pertama, Baginda ada tahaluf, pakatan politik. (Bersama) Semangat 46, dengan Umno-BN satu ketika, dengan Pakatan Rakyat. Semua kita buat tahaluf, tapi ada syarat-syarat dia. Sebab Nabi pernah tahaluf dengan Bani Khuza’ah.

“Waktu itu selepas Perjanjian Hudaibiyyah. Kuasa untuk Nabi dan Quraisy tak berperang dan berdamai selama 10 tahun. Dalam masa 10 tahun siapa nak masuk sebelah Rasulullah boleh, sebelah Quraish pun boleh. Kebetulan Bani Khuza’ah, dia bukan Islam tapi dia bersama Rasulullah.

“Bani Bakar dia bersama dengan Quraisy dalam perjanjian tu. Kalau Bani Bakar berkelahi dengan Bani Khuza’ah, Rasulullah tak boleh tolong dan Quraisy tak boleh tolong. Walaupun dia berlindung bawah Islam dan Quraisy.

“Kemudian Quraisy mungkir janji apabila Bani Bakar serang Khuza’ah waktu malam. Quraisy sokong dan pergi sama (menyerang),” ceritanya menjelaskan ikatan dan pembatalan tahaluf.

Nabi juga terang beliau, melakukan ta’awun iaitu saling bertolongan sebagaimana perintah berkaitannya ke atas usaha kebajikan dan takwa serta larangan bertolongan dalam perkara dosa dan permusuhan.

Tegas beliau, PAS tidak menyokong sesuatu yang bercanggah dengan hukum Islam dalam perkara dosa dan melanggar perintah al-Quran yang dibuat kerajaan, di mana jika sebaliknya barulah patut PAS dikatakan tidak betul.

“(Isu) 1MDB, PAS (didakwa) tak sebut apa. Itu tak ada suatu yang lengkap, yang menunjukkan betul (dakwaan itu), sekarang ini masih teraba-raba lagi. Dalam perkara ini, kita tak boleh terlibat,” terang beliau mengenai perlunya saksi untuk pembuktian bagi mensabit pertuduhan.

Katanya, hukum Allah tidak sewenang-wenangnya menghukum tetapi mengadili walaupun kepada bukan Islam kerana turut melibatkan maruah individu dan keluarga.

Perkara itu hurainya, sebagaimana seruan Nabi supaya membantu saudara yang melakukan kezaliman dengan merujuk kepada usaha menghalang atau mencegah, serta ke atas pihak kena zalim.
 
Menurutnya, perkara itu juga sepertimana Almarhum Datuk Dr Haron diputuskan supaya menerima pelantikan sebagai Kluster Dakwah oleh pihak kerajaan.

Tindakan itu katanya, bukan bererti masuk Umno, tetapi menuruti perintah Quran iaitu memberi pertolongan dalam perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Beliau menasihati semua pihak agar tidak menanggapi sesuatu yang dilihat itu dengan terus membuat tuduhan tanpa dibuat selidikan kerana fitnah akan dipersoal di hadapan Allah.

“Satu lagi gagasan ini sebagai satu kerjasama adalah isti'anah ertinya minta tolong. Boleh kita orang Islam minta tolong kepada orang yang bukan Islam. Dibolehkan. Nabi pun minta tolong, pernah dia pinjam baju perang daripada orang Yahudi.

“Pinjam senjata daripada orang Yahudi nak pergi perang. Apa kita minta tolong dari yang dipinjam ini kita sempurnakan balik, janji-janjinya. Jadi kerana itu, maka PAS juga apabila kita diberi ruang untuk minta tolong, kita terbuka, kita pergi,” jelasnya.
 
PAS Kini Lemah?
 
Menyangkal dakwaan PAS kini lemah setelah 18 pimpinannya lalu dari kalangan progresif keluar menubuhkan parti baharu.

Akuinya tidak mudah mendapat 18 profesional menyertai PAS, tetapi dengan keluarnya mereka, ada 180 profesional lain pula menyertai PAS.

“Yang keluar ini, saya minta maaflah, kawan-kawan saya semua. Dia kata, mereka tidak membantu Presiden, menjadi anai-anai, dia korek, maka tak ada sebab dengan berlakunya krisislah, kalau boleh kata krisis kepimpinan pada ketika itu, (bermakna) Allah bersihkan jemaah ini sekarang ini. Yang jadi, saya duduk nampak tiada asap,” ujarnya.
 
Tuan Guru Hashim melahirkan rasa optimis dengan gandingan ulama dan profesional yang menerajui PAS kini di mana rata-rata profesional juga adalah kalangan sangat berpotensi.
 
Hubungan Dengan DAP

“Kalau dengan DAP tu, saya rasa saya boleh jawab lah.  Makna putus! Yang memutuskan itu dimulai oleh DAP, mereka tidak mahu kerjasama dengan TG Haji Hadi. Dia potong kepala (ketua) PAS, tak kan hidup PAS. Jadi, itu tindakan tegas PAS, kami juga tidak akan kerjasama dengan DAP.

“Nak jadi tiga penjuru, jadilah. Kita tidak kisah. Kita akan bertanding di mana DAP bertanding. Kalah? Kalah bagi kita biasa. Tapi imej tandingan itu kepada mereka. Dia ingat dia saja tolong kita menang, tapi dia kena sedar juga bahawa kita orang PAS juga buat kerja memenangkan DAP.

“Sebab itu perjanjian yang perlu kita ikut masa Pakatan Rakyat. Tapi sekarang dah keluar, kita tak terikat lagi dah. Siapa yang mungkir? Teringat saya kepada Nabi yang buat perjanjian dengan Quraisy. Siapa mula?” ujarnya membidas DAP.

Memahami Perubahan Semasa

Ditanya lagi mengenai perubahan sikap PAS terhadap Umno, Tuan Guru Hashim memetik kisah Khalifah Umar al-Khattab menangkap rakyatnya yang minum arak.

Di mana ceritanya, Umar r.a terlebih dahulu mengintip, sebelum masuk menerusi tingkap tanpa memberi salam hingga lelaki itu mendakwa Umar telah melakukan tiga kesalahan yang dilarang al-Quran sedangkan dia hanya melakukan satu kesalahan.

Suasana itu jelas beliau, tentulah pendekatannya tidak dapat dilaksanakan pada penguatkuasaan dalam realiti kerencaman jenayah hari ini.

Maka terangnya, seperti itulah PAS menanggapi pertembungannya dengan merujuk panduan Allah SWT hingga lahirlah pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Menurutnya, situasi tekanan politik ke atas PAS sejak tahun 1960-an telahpun berubah kini yang menuntut juga kepada perubahan pendekatan itu.

Ketegasan dan Pendirian

Hal itu juga terang beliau sudah berbeza di mana dahulunya PAS mengepalai terutama Bersih 1 dan 2, tetapi dengan pendekatan kini PAS melihat desakan mengubah sistem berbanding menjatuhkan diri pemimpin.

“Sekarang kita ada cara kita. Ini yang nak tunjuk kematangan berpolitik ni. Tengok waktu Presiden Obama lawan nak dapat calon Demokrat, menang. Hillary Clinton tu dia lawan. Lawan, lawan menang Obama. Jadi Presiden (tapi) lawannya itu dia lantik jadi bersama orang Nombor 2 di Amerika.

“Kita tak amal macam tu. Berpolitik kerana cari makan. Cari makan berpolitik. Dan PAS elak daripada kita masuk politik kerana cari makan. Tapi kalau dah dapat menang, orang bagi elaun kita makan la. Jangan pulak tak mau,” ujarnya menjelaskan betapa PAS tidak kemaruk jawatan.

Menjawab musuh-musuh politik yang akan PAS hadapi, beliau bertegas menyatakan putus dan berpatah arang dengan PAN dan DAP.

Katanya, mereka itu selalu memujuk PAS dan menghitung kemenangan dalam pilihan raya, namun PAS berpegang kepada peringatan Rasulullah bahawa orang mukmin tidak dipatuk dua kali di lubang sama.

Tegas beliau, mereka itu telah melakukan perkara melebihi had sepatutnya hingga memerlukan hubungan diputuskan bermula dari tindakan mereka itu sendiri dan hingga kini berterusan menyerang terutama Presiden PAS di media sosial khususnya.

“Manusia ni dia selalu bukanlah kata buat semua betul. Kadang-kadang kita salah. Kesalahan yang kita buat tu waimma kita sengaja ataupun tak sengaja. Tapi kita kena ingat dalam Quran sebut Allah terima taubat orang yang kembali balik ke pangkal jalan.

“Saya berani nak isytihar sini, kalau ada sahabat-sahabat kita yang dulu sepak kita, terajang kita kembali  balik. Kalau orang Islam pergi bertaubatlah, jangan ulangilah perkara seperti itu. Ini kita berpandu berdasarkan ‘Hablillah’ bukan berdasarkan nasab,” ujarnya memaklumkan kajian terperinci hukum sedang dibuat dalam konteks hubungan dengan pihak yang bersama DAP dan PAN. – HARAKAHDAILY 22/10/2016

Share on Myspace