Mesti adil dan nampak adil

AHMAD HAKIMI OTHMAN | .

MESTI ADIL DAN NAMPAK ADIL: KELIRU CAGARAN YANG DIIMPORT DARI PEMIKIRAN LUAR ISLAM
 
Melihat kepada banyak salah faham yang berkali kali disebut oleh beberapa tokoh agama negara ini, ada baik untuk kita bedah dan mencari pencerahan asal muasal pernyataan yang cuba dipakai kepada undang-undang Islam. “Hukuman yang adil dan mesti nampak adil”. Oleh kerana ia datang dari tokoh agama, yang hampir semua berpangkat Doktor PhD, seolah-olah ia dilihat prinsip tersebut benar benar wujud dalam fiqh dan syariat islam dalam memahami perlaksanaan undang-undang Islam. Pertanyaan ini juga dikongsi kepada sahabat sahabat di medan media social facebook ini, dan Alhamdulillah beberapa sahabat memberi input di mana asal kenyataan atau paksi yang begitu dipakai apabila mengkritik usaha perlaksanaan undang-undang yang berteraskan Islam. Lebih mengujakan, sekiranya didapati tokoh-tokoh ini seolah olah dalam satu circle dan kumpulan. Maka, tidak sukar mencari kesamaan dan hubungan dalam mengutarakan benda yang sama berkali kali.
 
Kenapa perlu didedahkan kebenaran dari mana asas ini?
 
Hal yang sebegini dalam masyarakat boleh menjurus kepada kekeliruan yang teruk dan boleh membawa kepada salah faham agama yang fatal kerana diutarakan oleh tokoh tokoh agama yang terkenal dan pernah menjabat jabatan mufti negeri. Akibatnya, kebiasaan orang awam tidak menyemaknya adakah ia betul atau tidak kerana ia datang dari tokoh agama yang terkenal. Maka perlu dijelaskan supaya kekeliruan tidak berpanjangan yang akan menyebabkan persepsi negatif terhadap usaha memartabatkan undang-undang Islam dihalang oleh kekeliruan yang disebarkan oleh sebahagian tokohnya.
 
Syariat Islam pasti adil.
Hukuman manusia belum tentu adil.
 
Perlu ditanam dalam pemikiran umat Islam, apa yang datang dari ALLAH Rabbul Jalil pasti akan sesuai dengan fitrah dan kejadian manusia. Sekiranya manusia mengambil syariat ALLAH, pasti akan memperolehi keadilan dan kebebasan yang diinginkan. Namun, kebanyakan manusia yang hidup hari ini tidak berhukum dengan syariat ALLAH, maka tidak hairan jika didapati kezaliman dan penindasan di merata rata. Ketidakadilan yang berlaku adalah kerana tangan-tangan manusia yang tidak berhukum dengan syariat ALLAH.
 
Maqasid syariah adalah keadilan. Ilmu yang dizalimi penggunaannya.
 
Sering disalahfaham oleh mereka yang mengkritik usaha usaha pembaikan syariat Islam dalam suasana semasa ini mereka menggunakan hujah maqasid syariaah iatu objektif yang diinginkan dari syariah. Namun malangnya, mereka cuba menuai objektif sebelum melaksanakan syariah. Sesuatu yang bertentangan dengan akal tentang melaksanakan syariat. Maka, atas salah faham ini, kemungkinan sandaran Adil dan mesti Nampak adil cuba disesuaikan dengan kefahaman maqasid syariah yang terpesong ini. Hujah ini sering dikongsi oleh mereka yang datang dari parti blok pembangkang yang memang menentang usaha pembaikan syariat Islam ini. Diutarakan oleh pemimpin islam DAP yang berpangkalan di Penang, disebut oleh setiausaha pakatan rakyat dalam sinar harian dan diutarakan oleh sebuah pertubuhan Islam yang menaja Konvesyen Maqasid Syariah pada tahun lepas. Hujah mereka selari dan susah untuk dipisahkan dengan tindakan mereka menolak usaha-usaha atas nama menolak ijtihad bukan menolak syariat Islam. Memang munasabah, pengakuan terus terang tidak akan dilafazkan kerana menolak syariat akan jatuh akidah, tetapi tentunya lapik dengan alasan yang lain yang munasabah adalah tujuan berpolitik tanpa membawa syariat Islam dalam perjuangan.
 
Justice must be done, seen to be done.
 
Ungkapan yang berakar umbi dari satu kes mahkamah di England pada tahun 1924 sehingga diungkapkan oleh Ketua Hakim ketika itu, Lord Hewart sebagai sebuah kenyataan yang diangkat dalam prinsip prosedur sistem kehakiman aliran naturalis atau common law. Maka, kata kata “ Hukum Mesti Adil dan Dilihat Adil” ternyata amat rapat dengan pernyataan yang berasal dari sistem perundangan barat ini. Pastinya kalau ini dikahwinkan dengan prinsip dan dasar syariat, ia akan mendatang kekeliruan kepada usaha usaha memartabatkan syiar islam. Bagaimana mahu melihat hukum Islam adil dan dilihat adil? Sedangkan ruang untuk dilaksanakan sedikit demi sedikit pun tidak dibuka. Menghukum sebelum berlaku, itulah pemikiran yang sesuai diklasifikasikan kepada mereka yang berfikiran begini.
 
Kenapa pemikiran barat ini boleh dibawa masuk ke dalam sistem syariah Islam?
 
Jika kita berani meredah pertembungan pemikiran yang ada hari ini, kita boleh melihat bahawa kebiasaaan tokoh tokoh yang ada tidak mengambil berat soal penjajahan pemikiran dan hanya tertumpu kepada skop kecil tentang perspektif agama. Gagal membuka tasawwur Islam yang lebih luas atau worldview islam yang lebih mencakupi tentang kesyumulan Islam. Apatah lagi, tidak mengambil berat ketika ditawarkan dengan pertukaran dengan ilmuan ilmuan barat tanpa melihat ada objektif yang cuba disemai oleh institusi institusi barat kepada tokoh-tokoh yang diberi keistimewaan oleh mereka. Institusi seperti Oxford, Harvard, Princeton, atau Cambridge University terkenal dengan usaha usaha mereka membentuk pemikiran baru di kalangan anak-anak muslim yang digolong sebagai intelek. Akhirnya, anak didik mereka atau buah pemikiran mereka kadang-kadang dibawa pulang tanpa sedar oleh tokoh-tokoh yang dimuliakan ini.
 
Maka, perlu kita benar benar yakin bahawa Islam yang dibawa hari ini untuk dimuliakan tiada cacat cela. Kita mengaku, sebagai manusia ada kelemahan. Namun Islam yang cuba kita perjuangkan ini adalah suci dan mulia untuk disanggah dengan pemikiran pemikiran yang datang dari luar. Kalaupun kita lemah dalam membawa, sepatutnya tokoh-tokoh ini membantu. Bukan menjadi duri dalam daging, api dalam sekam, muka memberi senyum dengan kata kata memuliakan agama. Namun tindakan tidak menggambarkan kesungguhan membantu memuliakan Islam untuk menjadi Syariat yang diangkat mengganti syariat taghut yang selama ini mencengkam umat Islam.

Ahmad Hakimi Othman
Pengarah Jabatan Penerangan
Dewan Pemuda PAS Selangor
24 Oktober 2016 / 23 Muharam 1438 - HARAKAHDAILY 24/10/2016

Share on Myspace