Memahami Maqasid al-Mukallaf

IMRAN AL-MALIZI | .

Pengenalan Ilmu Maqasid al-Syari`ah (Siri 3):
Memahami Maqasid al-Mukallaf

Dalam tulisan sebelum ini, kita telah mengetahui pembahagian Maqasid kepada dua bahagian iaitu Maqasid al-Syari’ dan Maqasid al-Mukallaf. Pembahagian ini disebut oleh Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (790H) di awal perbahasan Kitab Al-Maqasid dalam karangannya Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari`ah.

[Lihat: Al Imam Abu Ishaq Al-Syatibi, Al-Muwafaqat Fi Usul Al-Syari`ah, Darul Hadith, Kaherah – cetakan pertama 1427H/2006M (Juz.2 hal.261)]

Kita telah pun membicarakan tentang Maqasid al-Syari’ pada tulisan yang lalu. Pada kali ini kita akan menghuraikan pula berkenaan Maqasid al-Mukallaf di mana seseorang mukallaf iaitu; seorang berakal dan cukup umur (akil dan baligh) serta menerima seruan Islam dan menganutnya tanpa paksaan mestilah mempunyai kehendak dan tujuan melakukan sesuatu amalan hati, percakapan dan perbuatan anggota tubuhnya bertepatan dengan kehendak Allah yang menurunkan syariat Islam ini.

Maqasid al-Mukallaf (مقاصد المكلَّف)

Al-Imam Al-Syatibi membahaskan Maqasid al-Mukallaf secara terperinci dalam 12 prinsip. Di sini saya hanya memilih 3 daripadanya dan akan meringkaskannya agar tidak terlalu panjang serta mengolahnya tersebut supaya lebih mudah untuk difahami. Bagi yang berminat untuk mendalami lebih lanjut bolehlah merujuk kitab beliau Al-Muwafaqat.

[Ibid. Lihat: ( القسم الثاني من الكتاب فيما يرجع إلى مقاصد المكلف في التكليف ; Juz.2 hal.489-532)]

Pertama: Amalan Mukallaf mestilah disertai dengan niat

Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat dan tujuan yang bertepatan dengan syarak (المقاصد المعتبرة) dalam segala urusan mukallaf sama ada perkara ibadat dan adat. Niat inilah yang membezakan seseorang itu melakukan ibadat atau adat. Niat jugalah yang membezakan amalan itu wajib atau sunat atau berkaitan hukum-hukum yang lain.

Dalam perkara adat, niat berperanan untuk mengubah sesuatu perkara yang harus menjadi wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Dalam muamalat, niat juga menentukan sesuatu urusan itu sah atau batal.

Jika sesuatu amalan itu dilakukan oleh seorang mukallaf dengan maksud atau kehendak untuk memenuhi perintah Allah, maka amalan itu bertukar menjadi ibadat selagi mana tidak melanggar sempadan syariat. Contohnya, mengawal makan dan minum agar menjaga kesihatan dan memudahkan untuk beribadat, bekerja untuk memberi nafkah kepada keluarga dan seumpamanya.

Jika dia melakukannya tanpa niat untuk memenuhi tuntutan syariat, maka ianya hanyalah adat atau keperluan semula jadi manusia, seperti perbuatan orang yang tidur, berehat daripada keletihan bekerja dan bersiar-siar mencari ketenangan.

Dalil-dalil Al-Quran dan Al-Sunnah tentang pentingnya niat dalam segala urusan.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, ”
[Al-Bayyinah: 5]

فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

“..oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.”
[Al-Zumar: 2]

Allah menerangkan sifat golongan yang ditolak amalan mereka:

وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَى وَلَا يُنْفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ

“..dan (kerana) mereka tidak mengerjakan solat melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.” [Al-Taubah: 54]

Manakala dalam Al-Sunnah, kita semua mengetahui hadis Rasulullah s.a.w yang masyhur diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

“Sesungguhnya segala amalan itu dikira berdasarkan niat. Hanya sesungguhnya bagi setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya kerana (mematuhi perintah) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya menuju kepada (keredaan) Allah dan RasulNya. Sesiapa yang hijrahnya kepada kehidupan dunia yang diingininya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan dikira) berdasarkan kepada apa yang dia berhijrah (iaitu diniatkannya).”

[Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’I al-Wahyi, Bab Kaifa Kana Bad’u al-Wahyi, (hadis no. 1), Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Qaulihi <Innamal-A’mal bin-Niyyah>, (hadis no.5036)]

Dari hadis inilah datangnya kaedah fiqh:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

“Segala urusan itu tertakluk kepada matlamat-matlamatnya (maqasid)”

Dalam hadis yang lain, Abu Musa al-Asy`ari r.a meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan kepentingan niat dalam amalan berperang pada jalan Allah:

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِىَ الْعُلْيَا فَهْوَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ

"Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad wal-Siyar, Bab <Man Qatala Litakuna Kalimatullah Hiyal-`Ulya>, (hadis no. 2810), Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, Bab <Man Qatala Li takuna Kalimatullah Hiyal-`Ulya>, (hadis no.5029)]

Al-Imam Al-Syatibi juga menyebutkan bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana Allah adalah syirik berdasarkan kepada nas Hadis al-Qudsi seperti berikut:

قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيهِ مَعِي غَيْرِي تَرَكْتُهُ وَشِرْكَهُ

“Firman Allah : Aku Tuhan Yang Maha Kaya mengatasi segala sekutu-sekutu daripada kesyirikan. Sesiapa yang beramal suatu amalan dengan mensyirikkan selainKu padanya bersamaKu, maka Aku biarkan dia dan kesyirikannya.”

[Sahih Muslim, Kitab al-Zuhd wal-Raqaiq, Bab <Man Asyraka fi `Amalihi GhairAllahi>, (hadis no.7666)]

Hadis ini menepati firman Allah Ta'ala dalam ayat berikut:

فَمَنْ كَانَ يَرْجُوا لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” [Al-Kahfi: 110]

Kedua: Amalan Mukallaf dan niatnya mestilah menepati kehendak Allah dalam pensyariatan hukum-hakamNya

Kita telah sebutkan bahawa pensyariatan hukum-hakam itu bertujuan untuk maslahat (kebaikan) hamba-hamba Allah secara mutlak dan umum. Oleh itu, seorang mukallaf dituntut agar bertindak selari dengannya dalam amalan-amalan perbuatannya dan tidak menyanggahi apa yang dikehendaki oleh Allah. Ini kerana seorang mukallaf itu dijadikan oleh Allah dengan tujuan ibadat.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
[Al-Zariyat: 56]

Dengan menepati kehendak Allah dalam pelaksanaan syariatNya sahaja akan terhasilnya peribadatan yang melayakkan seorang mukallaf itu mendapat ganjaran di dunia dan akhirat.

Antara lain, inilah juga matlamat Allah (maqasid) menjadikan kita sebagai khalifah di atas muka bumi.

Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. [Al-Baqarah: 30]

وَيَسْتَخْلِفَكُمْ فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

“..dan (Tuhan kamu) menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?” [Al-A’raf: 129]

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آَتَاكُمْ

“Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu.” [Al-An’am: 165]

Perintah Allah agar kita menjadi khalifah ini adalah bagi menegakkan maslahat dengan kadar kekuatan, kemampuan dan peluang yang ada. Paling kurang menjadi khalifah pada diri sendiri, ahli keluarga dan seterusnya masyarakat.

Kerana itulah Rasulullah s.a.w bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَةٌ وَهْيَ مَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ فِي مَالِ سَيِّدِهِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan ditanya terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin bagi rakyatnya dan dia akan ditanya terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan ia akan ditanya terhadap mereka. Seorang wanita (isteri) adalah penjaga bagi rumah tangga suaminya dan ia akan ditanya terhadap apa yang dijaganya. Seorang khadam adalah penjaga bagi harta tuannya dan dia juga akan ditanya terhadap apa yang dijaganya.”

[Sahih al-Bukhari , Kitab al-`Itq, Bab al-`Abd Ra`i fi Mal Sayyidihi, (hadis no. 2558), Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, Bab Fadhilat al-Imam al-`Adil wa `Uqubah al-Ja’ir, (hadis no.4828)]

Ketiga: Setiap Mukallaf yang mencari perkara yang lain dalam menilai hukum syariat adalah dikira merosakkan syariat

Hal ini penting untuk difahami kerana sesuatu perkara itu jika dilihat baik dari perspektif perintah syarak, namun berkemungkinan terdapat seseorang yang berpendapat hal itu tidak baik. Manakala jika syarak memandang sesuatu itu tidak baik, boleh jadi pula bagi dirinya adalah baik.

Oleh itu penilaian peribadi seseorang mukallaf terhadap hikmah pensyariatan tidak boleh mengatasi hukum-hakam syariat itu sendiri sama ada berbentuk perintah atau tegahan (wajib atau haram).
Sesungguhnya perkara-perkara yang telah disyariatkan itu mengandungi tujuan atau bermatlamat mencapai kebaikan-kebaikan (جلب المصالح) untuk hamba-hamba Allah dan menolak kemudaratan dan kerosakan daripada menimpa mereka (درء المفاسد).

Firman Allah Ta'ala:

مَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali..” [Al-Nisa': 115]

Kerana itu Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

قَالَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ : سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَوُلاةُ الأَمْرِ مِنْ بَعْدِهِ سُنُنًا ، الأَخْذُ بِهَا تَصْدِيقٌ لِكِتَابِ اللَّهِ ، وَاسْتِكَمْالٌ لِطَاعَةِ اللَّهِ ، وَقُوَّةٌ عَلَى دِينِ اللَّهِ ، وَمَنْ عَمِلَ بِهَا مُهْتَدٍ ، وَمَنْ اسْتَنْصَرَ بِهَا مَنْصُورٌ ، وَمَنْ خَالَفَهَا اتَّبَعَ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ ، وَوَلاهُ اللَّهُ مَا تَوَلَّى "

“Rasulullah s.a.w dan para pemimpin selepasnya (Khulafa al-Rasyidin) telah meletakkan suatu sunnah, iaitu jika berpegang dengannya adalah termasuk membenarkan (beriman dengan) Kitab Allah (Al-Quran), menyempurnakan ketaatan kepada Allah serta kekuatan pada agama Allah. Sesiapa yang beramal dengannya, dia akan mendapat petunjuk, sesiapa yang mengharapkan pertolongan dengannya pasti akan dibantu dan sesiapa menyanggahinya maka dia telah mengikut selain jalan orang-orang yang beriman dan Allah akan membiarkan dia untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya.”

[Lihat: Abu Bakar bin Al-Khallal (311H); As-Sunnah, Bab as-Solah Khalf al-Murji’ah, (hadis no.1348). Riwayat ini terputus pada Al-Imam Malik bin Anas]

Bagi golongan yang menzahirkan amalan dalam Islam seperti yang diperintahkan Allah, namun dia tidak bermaksud untuk mencapai tujuan dan matlamat pensyariatannya, Al-Imam Al-Syatibi juga menyamakan mereka ini dengan golongan munafik yang mempersendakan ayat-ayat Allah.

[Lihat: Al-Muwafaqat Fi Usul Al-Syari`ah, (Juz.2 hal.497)]

Firman Allah Ta'ala:

وَلَا تَتَّخِذُوا آَيَاتِ اللَّهِ هُزُوًا

“..dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan).” [Al-Baqarah: 231]

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآَيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” [Al-Taubah: 65]

Penutup

Sesungguhnya seorang mukallaf itu hanya ditaklifkan dengan segala amalan perbuatan berpaksikan kepada tujuan menunaikan kehendak Allah pada perintahNya dan laranganNya.

Apabila seseorang mukallaf itu bermaksud untuk mencapai tujuan selain itu dan memilih jalan-jalan selain syariat yang diturunkan Allah, maka itu dia bukan lagi berjalan di atas Maqasid al-Syari`ah. Walaupun dia berusaha menghiasinya dengan istilah-istilah syarak. Itulah yang dilakukan oleh golongan liberal pada masa ini.

Disediakan oleh:
Imran Al-Malizi
Ahli Jawatankuasa Penerangan DUPNS
Irbid, Jordan
20 Muharram 1438H / 21 Okt 2016

Share on Myspace