Nasihat tarbawi buat pemuda PAS (2)

IZWAN ABDUL HALIM | .

KULIAH Subuh pada Ijtimak Tarbawi 5.0 yang disampaikan Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim sarat dengan suntikan tarbawi buat para peserta. Alirkan titipan butiran disampaikannya pada Bahagian Akhir yang disunting semula oleh Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari kuliah Ustaz Hishamuddin di Balai Islam Pernu, Telok Mas Melaka pada 16 Oktober 2016 baru-baru ini.

Kerja Jamaah, Bukan Tonjol Peribadi

Lanjutnya, beliau memetik kata-kata Abu Bakar As-Siddiq kepada Khalid Ibnul Walid saat tokoh wira pejuang yang sentiasa mencapai kemenangan pulang dari satu perjuangan di Iraq.
 
“Berawas kamu wahai Abu Sulaiman. Untuk kamu luruskan niat kamu dan untuk mencapai kedudukan yang tinggi, sempurnakanlah oleh kamu, nescaya Allah akan menyempurnakan kerja-kerja kamu, laksanakan kerja dengan baik.”

Demikian itu seru Ustaz Hishamuddin, para Pemuda PAS jangan berhenti setakat Ijtimak Tarbawi tetapi pulang ke negeri masing-masing menyempurnakan kerja dan gerak kerja anak-anak muda.
 
“Allah akan tolong menyempurnakan. Dalam suasana kita takut, (kita dipinggir, tidak dapat pilihan rakyat, saudara laksanakan kerja). Allah akan sempurnakan kurniakan kemenangan kepada kamu. Jangan sekali-kali kamu masukkan perasaan ujub dalam diri kamu.
 
“Awas, pelihara perkara ini. (Saya memberikan pesanan kepada diri sendiri sebagaimana pesanan ini dipanjangkan kepada seluruh saudara-saudara sekalian, berawas daripada kita memasukkan perasaan ujub di dalam diri kita.)
 
“Kamu akan rugi dan kamu akan berdepan dengan penuh kehinaan di hadapan Allah. (Betul, di hadapan manusia kita dijulang, tetapi apa nasib berdepan dengan Allah dalam keadaan seluruh amalan kita telah dihapus kira oleh Allah SWT. Oleh kerana itu, berawas dengan perkara ini.) Awas, jangan pula kamu menunjuk-nunjukkan kerja kamu.”
 
Terang beliau, kerja dilakukan mesti tunjuk sebagai kerja jamaah dan bukan kerja peribadi kita, di mana mesti berawas dari menunjuk-nunjuk.
 
“Sesungguhnya Allah itulah yang Maha Memberi anugerah dan Dia-lah yang akan memberikan pembalasan kepada kamu.”

Menerap Kesinambungan

Pesanan Abu Bakar As-Siddiq yang diberikan kepada tokoh sahabat Khalid Ibnul Walid dan diamalkannya iaitu tidak suka menonjol diri, telah diwarisi oleh Imam Ahmad Bin Hanbal. Disebut oleh seorang rakan Ahmad Bin Hanbal, ahlil hadis iaitu Ibrahim Al-Harbi menceritakan sifat Imam Ahmad Bin Hanbal:
 
Kata Ibrahim Al-Harb, “Aku sudah berkawan dengan dia 20 tahun, waktu musim panas, waktu musim sejuk, siang malam, aku terus tiap-tiap hari bersama dengan Imam Ahmad Bin Hanbal. Aku tidak pernah bertemu dengan dia pada hari-hari yang aku lalui, melainkan aku akan dapat lihat hari yang dilalui olehnya pada setiap yang bertambah ini, mesti bertambah dengan perkara-perkara yang baru dilakukan oleh beliau.”
 
Maka seru Ustaz Hishamuddin, Pemuda PAS perlu lahirkan amalan baru, sifat baru, akhlak baru, sebagaimana nasihat Abu Bakar As-Siddiq yang kemudian diwarisi perkara itu oleh Imam Ahmad Bin Hanbal.

Tiap-tiap hari yang dilalui oleh Pemuda PAS katanya, akan dibuat perkara yang terbaik dan akan pastikan hidup sentiasa cemerlang, serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
 
“Kalaulah himpunan kita pada hari ini disaksikan oleh Almarhum Tuan Guru-Tuan Guru kita, mereka tentu kembali dalam keadaan yang segar menyaksikan keadaan kita, dalam keadaan melihat dengan penuh kebanggaan anak-anak didik PAS. Berhimpun seawal pagi, berkekalan untuk teruskan agenda tarbawi, menggalas tanggungjawab perjuangan Islam ini.
 
“Kita telah kehilangan Almarhum tokoh murabbi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kita kehilangan Almarhum Tuan Guru Murabbi, Tuan Guru Ustaz Harun Taib yang sangat akrab dalam dunia tarbiyah untuk kita. Kita telah kehilangan Tuan Guru Ustaz Yahya Othman yang juga merupakan tokoh Murabbi di dalam Ijtimak Tarbawi kita yang pertama di Masjid Rusila, suatu ketika dahulu. Kita juga telah kehilangan Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik yang sangat akrab dengan seluruh penglibatan anak-anak muda dalam Malaysia ini.

“Demikian juga kita kehilangan Ustaz Azizan Abdul Razak yang merupakan di antara tokoh pintar yang memiliki keupayaan untuk membawa signal politik yang cukup jelas di dalam negara ini,” ujarnya mengimbau.

Tokoh-tokoh itu katanya, sebati dengan Pemuda PAS dan akan terus kekal dengan Pemuda PAS serta mewarnai kehidupan anak-anak muda untuk dipacu perjuangan pada hari yang akan datang.

Terbaharu ungkapnya, PAS kehilangan Almarhum Tuan Guru Ustaz Haron Din yang cukup memberikan ilmu yang besar kepada ummah.
 
Seluruh kehilangan itu katanya, disambut dengan tangisan dan penuh rasa dukacita atas kehilangan tokoh-tokoh tersebut.

Istiqamah Melangsung Perjuangan

“Tetapi hebatnya kita ini yang telah dididik oleh Abu Bakar As-Siddiq, kita tidak berpaling dan kita tidak berpatah untuk meneruskan kerja-kerja Islam, seperti yang telah digambarkan melalui ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sehingga menyebabkan seluruh Sahabat berada dalam keadaan yang terhenti dan mendiamkan diri menghayati tutur bicara Saidina Abu Bakar As-Siddiq setelah memastikan kewafatan Nabi SAW.”
 
Kata Abu Bakar As-Sidddiq; “Barangsesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad telah wafat, sesiapa yang menyembah Allah, Allah itu kekal hidup, tidak akan mati, tidak adalah Muhammad itu melainkan seorang Rasul yang telah didahului sebelum daripadanya oleh Rasul-Rasul yang lain, apakah kerana sebab kematian atau kerana terbunuh, kamu berpaling daripada tapak-tapak kaki kamu? Apakah patut perkara ini berlaku?” ujarnya memetik ucapan masyhur itu.
 
Jelas Ustaz Hisham, Saidina Umar Al-Khattab memberikan ancaman untuk memenggal leher sesiapa yang menyatakan Nabi wafat kerana kasih sayang kepada Nabi.

Terangnya, Pemuda PAS juga melalui rasa kasih sayang yang sama, walaupun tidak menatap Nabi, tetapi telah meletakkan ketinggian cinta kita pada Nabi.

Kehilangan Nabi SAW ujarnya, satu kehilangan yang besar untuk ummah di mana walaupun tidak mendapat sentuhan tarbiyah Nabi, serta tidak dipegang dan tidak bergaul dengan Nabi, tetapi menjadi pewaris-pewaris Nabi.

Pun begitu menurutnya, pewaris-pewaris Nabi ini daripada semasa ke semasa terus menghilangkan diri, dijemput oleh Allah SWT.

“Kita telah kehilangan seluruh almarhum yang telah dinyatakan sebentar tadi. Apa yang perlu dilakukan oleh kita, apakah kita hanya ingin menyambut kehilangan Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din dengan hanya tangisan dan berduka cita? Apakah kita hanya ingin menyambut kehilangan seluruh Almarhum Tuan Guru kita ini dengan tangisan dan air mata, dalam keadaan kita berpeluk tubuh, tidak melakukan sesuatu tindakan untuk menyambung perjuangan seluruh almarhum yang telah meninggalkan perjuangan kita ini?
 
“Saya tinggalkan kuliah Subuh ini untuk dijawab oleh kita semua supaya kita meletakkan kedudukan diri kita yang sebenar untuk menjadi penggalang ganti kepada perjuangan Islam ini sehingga Allah kurniakan kemenangan atau kita dipilih oleh Allah, Istiqamah mati dalam perjuangan ini,” ujarnya diakhiri laungan takbir. – HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace