Tiada yang menakutkan PAS

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

PAS bukan setahun dua menyertai pilihan raya. Boleh dikatakan pimpinan awal penubuhan PAS semua telah meninggal dunia. Mereka telah melakar sejarah perjuangan PAS dengan tinta berdakwatkan peluh dan darah.

Fitnah, keji dari musuhnya tak pernah sesaat pun berhenti, PAS juga melalui zaman terpaksa membayar harga perjuangannya dengan semburan darah ketika zaman Tun Mahathir, pemusuh PAS sehingga kini.

PAS melalui zaman menang dan kalah terutama di Negeri Pantai Timur, termasuk di zaman kerajaan campuran, PAS di Kelantan jatuh hasil perpecahan kepimpinan sehingga berlakunya penubuhan Berjasa, lalu PAS di Kelantan jatuh dan meninggalkan jolokan batu nisan apabila hanya mampu pertahankan dua kerusi sahaja di Kelantan.

PAS juga melalui paduan kekuatan dengan gabungan-gabungan bersama parti lain yang pernah menghasilkan APU, BA, PR dan kini Gagasan Sejahtera. Gabungan ini ada manisnya, tidak kurang juga pahitnya bukan setakat mengerutkan muka malahan berpulas perut.

Dasar PAS adalah tempat jatuh punca kebencian musuhnya. Matlamat perjuangan PAS menjadi kebencian, ketegasan PAS dalam mempertahankan prinsipnya menjadi ketegangan, bergabung dan berpecah PAS adalah dengan prinsipnya. Bergabung selagi orang menerimanya berpecah di kala orang menentangnya.

PAS dituduh punca perpecahan, PAS diugut akan kalah jika berpecah, walaupun punca berpecah bukan dengan satu sebab. Kaca akan pecah kalau jatuh ke batu. Pecahnya itu mungkin sebab kaca yang rapuh atau kerana batu yang keras.

PAS telah mentarbiyyah ahli-ahlinya, jika kerana Islam, apapun takpe, bukan setakat berpecah, tapi Islam mengajarkan kita sehingga sanggup mati kerananya. Kalau setakat diugut, diejek, difitnah itu dah menjadi lauk pauk PAS sejak dulu, tak jadi apa-apa.

Yang PAS dan ahlinya nak ialah setiap pengorbanannya mendapat keredhaan dan pahala di sisi Allah. Maka tiada suatu yang diredhai Allah kecuali Islam, dan tiada balasan pahala dari yang dilakukan oleh manusia melainkan dilaksanakan bersesuaian dengan Islam.

Jika nak suruh PAS buang prinsip Islamnya, memang PAS tak nak. Sebab berjuang ni penat, ahli PAS tak nak penatnya menjadi sia-sia, dari muda sampai tua, dari kaya sampai miskin, dari sihat sampai sakit, dari tegak sampai bongkok berjuang, tiba-tiba jadi sia-sia kerana buang perjuangan demi Islam.

PAS pertahankan prinsip Islamnya bukan sebab PAS ekstrem, tapi sebab PAS yakin ini adalah dasar yang akan memberikan keadilan kepada semua kaum dan agama. Itu jaminan Allah SWT, tiada sebab untuk PAS buang dasarnya kerana Islam adalah terbaik demi keadilan dan keamanan seluruh rakyat Malaysia.

Ugut PAS akan kalah, fitnah, caci maki dan sejarah kelam PAS, tak pernah menakutkan PAS untuk istiqamah dengan prinsipnya. Biar kita hilang sesuatu kerana Islam jangan kita kehilangan Islam kerana sesuatu. - HARAKAHDAILY 25/10/2016

Share on Myspace