SRITI: Lengkapkan sistem pendidikan PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

MEMPERSIAPKAN generasi masa hadapan sebagai umat Rasulullah SAW yang bertakwa menjadi taklifan terpikul ke atas setiap orang beriman. Atas tuntutan itulah, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengorak langkah padu khususnya di bidang pendidikan dengan menubuhkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) yang dioperasikan bermula sesi 2016.

Penubuhannya menjadi kesinambungan kepada pra sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), sekali gus melengkapkan rangkaian sistem pendidikan PAS yang telah pun bertapak kukuh dengan mempunyai juga pendidikan peringkat menengah dan pengajian tinggi. Malah, turut disokong juga oleh pusat jagaan bayi dan kanak-kanak Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI) yang baharu ditubuhkan di bawah Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Cetusan Penubuhan

Usaha PAS untuk membangunkan sekolah rendahnya sendiri telah lama diusahakan, tetapi terhalang oleh pelbagai birokrasi dan kekurangan pada aspek pengurusan. Maka, sekolah-sekolah rendah Islam di bawah pentadbiran entiti atau PAS wujud secara berterabur dengan corak pentadbiran pelbagai.

Namun, pelbagai perkembangan dan perubahan serta kepincangan yang berlaku kepada pendidikan negara telah membibitkan kecenderungan awam terhadap aliran pendidikan Islam. Oleh sebab kewujudannya amat terhad, akhirnya lahirlah desakan agar perhatian serius diberikan untuk memenuhi tuntutan tersebut.

Lantas, tindakan segera dilakukan oleh pasukan baharu yang diketuai Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz setelah mengambil alih kepimpinan Pemuda PAS pada Jun 2015. Tanggungjawab diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Sekolah Rendah (JPSR), Ustaz Mohamad Ismail yang berpengalaman dalam hal ehwal tersebut.

Bermula Ogos 2015, Ustaz Mohamad menghidup dan mengembleng seluruh angkatan jabatannya menyusun agenda penubuhan SRITI dengan kerjasama dan penglibatan individu-individu dalam PAS yang berkepakaran.

Akui Ustaz Nik Abduh, SRITI lahir di atas tekanan dan permintaan tinggi sejak sekian lama oleh masyarakat awam yang mahukan kelangsungan terhadap kejayaan PASTI. Manakala Ustaz Mohamad pula berkata, SRITI bukan sekadar untuk pendidikan dan dakwah, tetapi juga mahu melebarkan kebajikan dan kemudahan kepada ibu bapa menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu dunia dan akhirat.

Keistimewaan Kurikulum

Permulaan SRITI terhasil dari usaha membentuk jaringan pendidikan dengan semua sekolah rendah Islam persendirian yang ditubuhkan oleh tenaga atau aktivis PAS di seluruh negara. Ia disatukan menerusi program kurikulum dan kokurikulum yang diseragamkan bagi menyemarakkan pembangunan pendidikan di bawah SRITI.

Silibus SRITI digubal oleh pakar-pakar pendidikan Islam yang menjadikannya berbeza dari sekolah-sekolah rendah lain. Ia mengintegrasikan elemen pendidikan arus perdana, agama dan tahfiz al-Quran iaitu:
•Kurikulum Fardu Ain dan Fardu Kifayah (KAFFAH);
•Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR);
•Kurikulum Diniah; dan
•Kurikulum Tahfiz.

Istimewanya KAFFAH ia silibus akademik yang berteraskan wahyu dengan memberi penekanan kepada peneguhan tauhid kepada Allah.

“Contoh subjek Matematik, dikaitkan dengan perihal angka-angka atau bilangan yang Allah sebut dalam al-Quran. Belajar subjek Sains, (pelajar) didedahkan dengan hal-hal pada tubuh badan serta dengan dinyatakan sama ayat Quran berkaitannya.

“Semua itu dihalakan kepada kebesaran Allah agar terpasak kukuh tauhid dalam diri pelajar,” hurai Ustaz Mohamad menjelaskan mengenai kurikulum tersebut.

Usaha Naik Taraf

Ledakan penerimaan masyarakat terhadap SRITI telah mempengaruhi sekolah-sekolah rendah Islam swasta lainnya untuk turut menjalin kerjasama pintar dengan menggunakan silibus SRITI hingga membolehkan 30 SRITI diwujudkan tahun ini.

Atas keperluan semakin meningkat, pihak JPSR juga memperkemaskan kompetensi dengan memastikan seluruh aspek pengurusan dan pentadbiran, pembelajaran dan pengajaran dipertingkatkan. Sehubungan itu, beberapa sesi kursus intensif dan jalinan kerjasama diteruskan dengan pihak-pihak berkaitan.

Malah, perbincangan khusus untuk menaiktaraf segera semua keupayaan SRITI turut dilaksanakan menerusi penganjuran MyHackathon 2.0 hasil kolaborasi antara Jabatan Profesional Muda, JPSR dan Jabatan PASTI Dewan Pemuda PAS Malaysia di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Ustaz Mohamad, selain rancak menggubal KAFFAH untuk peringkat berikutnya iaitu bagi tahun 4, 5 dan 6, pihaknya juga sedang menggubal modul tahfiz berasaskan tema. Antaranya jelas beliau, ialah tema akidah, fekah, sains dan kisah-kisah dalam al-Quran.

“Tema ini adalah selari dengan hasrat SRITI bagi melahirkan huffaz yang bersifat syumul dan mengetahui isi kandungan al-Quran dan matlamat KAFFAH bagi memenuhi tarbiyah Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS,” terangnya mensasarkan penambahan 50 SRITI lagi pada sesi akademik 2017.

Melahirkan Masa Depan

Beliau komited menjadikan SRITI sebagai model pendidikan yang akan melandakan arus perubahan kepada sistem pendidikan negara dengan menyediakan pilihan terbaik untuk masyarakat. Oleh itu, kerja keras dan sistematika dilaksanakan pihaknya kini giat diperluaskan kepada kewujudan SRITI di setiap Parlimen dalam Malaysia.

Katanya, perubahan menerusi pendidikan antara paling kukuh dan penting di mana SRITI telah meletakkan fungsi kewujudannya untuk melahirkan huffaz dan du’at berkemahiran dalam bidang al-Quran, berwibawa dan berketerampilan.

Menurut beliau, program tahfiz al-Quran dan sains yang disepadukan itu adalah rangka membina ummah berkualiti dengan menterjemahkan ilmu tersebut dalam realiti kehidupan, seterusnya mencorak masa hadapan itu sendiri.

Untuk itu, penekanan diberi kepada penghayatan isi kandungan al-Quran, di samping penguasaan ilmu syarie dan waqie, serta mempunyai sahsiah terpuji disamping kecerdasan mental dan kecergasan fizikal.

Harapan

Dengan wujudnya SRITI bermakna asas di PASTI yang minimumnya menerapkan penguasaan 20 ayat al-Quran, 20 hadis dan 20 doa diharap terpelihara dalam diri pelajar untuk diupayakan lagi menerusi lanjutan di SRITI.

Seterusnya, dimanfaatkan pula bagi pembelajaran peringkat menengah di rangkaian sekolah-sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi PAS yang ada di seluruh negara.

Pendekatan
i.Talaqqi
ii.Tasmi’
iii.Muraja’ah
iv.Tajwid

Tahfiz 1: Iqra’ & Juzuk 30
Tahfiz 2: Surah Pilihan
Tahfiz 3: Juz 1
Tahfiz 4: Juz 2
Tahfiz 5: Juz 3
Tahfiz 6: Juz 4

Sehari Dalam Kehidupan Pelajar Asrama SRITI

5:00 pagi    : Bangun dan kendiri
6:00 pagi    : Solat Subuh berjamaah dan bacaan al-Mathurat
7:00 pagi    : Sarapan pagi
7:30 pagi    : Bacaan surah pilihan dan solat Dhuha
8:30 pagi    : Hafazan al-Quran (halaqah)
10:00 pagi    : Rehat
10:30 pagi    : Kelas akademik
12:30 tengahari    : Qailullah
1:00 petang    : Makan tengahari dan solat Zohor berjamaah
2.00 petang    : Kelas akademik
2:30 petang    : Hafazan al-Quran (halaqah)
4:00 petang    : Kendiri
4:30 petang    : Solat Asar berjamaah
5:00 petang    : Riadah
6:00 petang    : Kendiri
6:30 petang    : Makan malam dan bacaan al-Mathurat
7:30 petang    : Solat Maghrib berjamaah
8:00 malam    : Hafazan al-Quran
9:00 malam    : Ulangkaji pelajaran
9:30 malam    : Solat Isyak berjamaah dan bacaan surah al-Mulk
10:30 malam    : Tidur

(*pelajar berulang berada di sekolah dari jam 7:30 pagi hingga 4:00 petang sahaja)

Sumbangan dan wakaf kepada SRITI amat dialu-alukan melalui akaun BIMB 12-225-01-001-386-6 atas nama “Sek Ren Integrasi Teras Islam”.

Sebarang pertanyaan hubungi talian telefon atau faks: 05 – 448 3687 atau menerusi email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. HARAKAHDAILY 28/10/2016

Share on Myspace