Dua dekad PAS Sarawak memberdaya ruang dakwah dan siasah

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

MEGAH berkibar bendera PAS di sekitar Taman Matang Jaya menyambut acara Karnival sempena 20 Tahun PAS Sarawak pada 29 Oktober. Pelbagai acara dirancang panitia sangat meriah, apatah lagi dengan kehadiran Tuan Guru Presiden yang menganggap PAS Sarawak adalah anak angkat beliau. Sebahagian peserta karnival dua dasawarsa ini adalah anak-anak muda dengan guratan wajah bersih. Semenjak pagi hari, lokasi karnival menjadi tumpuan masyarakat dan ahli-ahli PAS daripada seluruh Sarawak, hingar bingar anak-anak kecil yang turut hadir berada dibawah khemah gergasi yang disediakan penganjur.

Gerai-gerai jualan, pelbagai pertandingan diadakan, diselit dengan forum pada sebelah pagi, bersambung dengan acara kesenian Islam oleh kumpulan Shoutul Amal. Pada malamnya, slot ceramah perdana telah menyebabkan tempat duduk sesak dengan audien. Mengimbau kembali bagaimana tanah Kenyalang ini menerima kemunculan PAS pada tahun 1996 dengan bantuan pendokong-pendokong PAS dari tanah Semenanjung seperti Allahyarham Ustaz Mansor Din, Haji Hasan Salleh, Ustaz Mohamad Zain dan lain-lain lagi.

Harakatul Ummah ini terus membina kefahaman masyarakat dengan Islam yang syumul, walaupun kewujudan PAS hanya dipandang sebelah mata pada asalnya oleh BN di Sarawak. Tak terbayang betapa sukarnya gerakerja awal untuk memahamkan masyarakat Sarawak dengan perjuangan Islam, apatah lagi dengan segelintir rakyat yang agak skeptikal dengan parti -parti yang berasal daripada Semenanjung. Sarawak bumi kenyalang dengan beragam etnik dan agama, maka politik negeri ini juga sangat rencam dengan pelbagai warna.

PAS menyertai pilihan raya Sarawak semenjak tahun 2001 dan mula membina pertapakan di negeri populasi muslimnya sekitar 31 peratus. Bermula dengan bertanding di tiga Dun, kini gerakan tertua tanah air ini meletakkan calonnya di 11 kerusi Dun.

Aktivis PAS Sarawak terus membina kekuatan jamaah dengan meluaskan usaha mendekati rakyat dan memperkenalkan Islam yang syumul kepada masyarakat yang rata-rata masih rendah tahap kefahaman Islam.

Antara program tersusun yang digerakkan ialah pembinaan surau-surau, menubuhkan Pasti, sekolah rendah Islam, mewujudkan markas tarbiah dipelbagai tempat. Aktivis PAS antara paling kehadapan melakukan misi dakwah ke pedalaman Sarawak sehingga menimbulkan bantahan gerakan misionari kristian.

PAS beruntung kerana mempunyai ramai kader terlatih di bidang dakwah dan tarbiah sehingga kehadiran mereka di Sarawak disukai masyarakat tempatan. Tokoh-tokoh PAS tempatan memimpin masyarakat dalam program keagamaan, menjadi imam, mengadakan majlis ilmu, menyuburkan program kebajikan untuk masyarakat pedalaman Sarawak dan menjadi pendakwah serba boleh.

PAS Sarawak juga beruntung kerana kepelbagaian latarbelakang kepimpinan mereka. Gabungan profesional, asatizah dan aktivis serta dokongan anak tempatan bersama penghijrah dari Semenanjung.

Bakat serta ilmu yang dimiliki oleh aktivis ini merancakkan pelbagai program dan memancing sokongan masyarakat. Bukan mudah untuk berkubu di bumi kenyalang dengan kerencaman masyarakat serta tapisan maklumat yang ketat di pedalaman. Intimidasi kepada penjawat awam serta kekangan kepada aktivis PAS tidak menyurutkan mereka daripada berjuang.

Usai program sambutan dua dekad PAS Sarawak dengan doa yang disempurnakan oleh Presiden PAS, saya melihat wajah-wajah gembira aktivis PAS Sarawak. Mengunyah dan menghadam ucapan Tuan Guru yang menegaskan bahawa peranan gerakan Islam dalam memperjuangkan syariat Islam dan beristiqomah dengan gerakerja dakwah. Tiada jalan mudah untuk meraih mardhotillah, melainkan dengan kucuran keringat dan sebanjaran gunung kesabaran. Kualiti ini memang dimiliki oleh teman-teman aktivis PAS Sarawak. – HARAKAHDAILY 30/10/2016

Share on Myspace