Besar pahala orang berjuang mengubah sistem

HARAKAHDAILY | .

Mengubah sistem politik dan pemerintahan sehingga manusia mengikut sistem Islam adalah satu bentuk jhad yang besar. Demikian ditegaskan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS dalam kuliah Maghrib di Surau Kampung Jaya, Chukai, Kemaman pada hari Khamis malam Jumaat, 27 Oktober 2016 baru-baru ini dalam siri lawatannya ke Kemaman, meliputi pelancaran jentera pilihan raya Dewan Muslimat PAS pada petangnya, kuliah Maghrib dan ceramah umum pada malamnya.

Beliau membacakan firman Allah dari surah at-Taubah yang mengingatkan orang beriman agar sedia untuk berangka ke medan perjuangan sama ada ketika ringan ataupun berat. Ayat ini menjadi peringatan buat orang yang tidak ingin berjuang dan sengaja mencari alasan untuk mengelak. Jihad menegakkan agama adalah sesuatu yang besar. Allah perintah supaya berkorban dengan harta dan nyawa. Orang yang sanggup korbankan sesuatu ialah kerana sayangkan sesuatu. Orang yang tahu nilai sesuatu, dia akan pertahankannya. Maka, pengorbanan akan berlaku apabila kita tahu nilai sesuatu.

Beliau juga menekankan bahawa tahap pengorbanan bergantung dengan sifat yakin. Sifat yakin pula bergantung dengan iman. Iman paling hebat berada di zaman Nabi SAW. Kurun terbaik ialah kurun Nabi, kemudian selepasnya dan kemudian berlaku pembohongan. Dalam surah al-Waqiah, Allah sifatkan golongan almuqarrabun (yang hampir dengan Allah), tetapi mereka ramai dari kalangan terdahulu, dan sedikit dari kalangan orang kemudian. Para sahabat berebut mencari kebaikan, sama ada dalam ibadat, jihad, sumbangan duit, harta-benda dan sebagainya.

Datuk Tuan juga menyebut bahawa Islam datang dengan mesej rahmat. Tetapi kenapa Islam diperangi? Nabi adalah orang paling baik atas dunia. Logiknya beliau tidak ada musuh. Namun, bukan sahaja Baginda SAW, bahkan semua Nabi didustakan oleh kaum masing-masing.

PAS nak bawa Islam. Ia datang dari keyakinan. Keyakinan tentang tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Nabi. Ia ditanam oleh Nabi dalam diri sahabat.

Justeru, jadilah petugas Islam untuk mengubah sistem. Pahalanya sangat besar. Nabi sebut para sahabat yang masuk syurga: Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, Talhah dan lain-lain. Semua mereka adalah sama ada khalifah atau menjadi gabenor di zaman kemudiannya. Kesemua mereka ahli politik. Politik yang tiada Tuhan, kotor. Ekonomi pun begitu. Politik Islam berteras kepada ketuhanan. Masih ada yang masuk masjid tapi tidak terima politik Islam. Tok Guru Nik Abdul Aziz pernah sebut: ‘Terimakasih kepada pengundi PAS, kerana PAS Kelantan dapat laksana hukum syarak. Besar pahala orang yang mengundi PAS hingga Islam dapat dilaksanakan dalam bentuk sistem pemerintahan’. Oleh itu mengubah sistem hingga manusia ikut Islam adalah bentuk jihad yang besar.

Allah juga tidak akan biarkan gerakan Islam begitu sahaja. Dalam sirah, Aisyah pernah difitnah, tersebar berita palsu. Allah turunkan ayat bersihkan Aisyah selepas lebih 40 hari. Kenapa Allah tidak turunkan ayat dengan segera? Ia berlaku dengan penuh hikmah, agar boleh dikenal mana munafiq dan mana mukmin. Begitu juga supaya mukmin tolak segera berita palsu. Hari ini berita palsu tersebar terhadap Presiden PAS. Tolaklah berita palsu itu, termasuk kononnya PAS terima wang dari pihak lain.

Timbalan Presiden PAS itu juga menasihatkan agar penyokong perjuangan Islam mesti ada ciri-ciri khusus yang terbeza dari orang lain: Allah sayang dia, dia sayang Allah, rendah hina terhadap mukmin, tegas terhadap kafir yang menentang, jihad di jalan Allah, tidak takut celaan orang yang mencela.

Kita jangan tengok sahaja orang lain buat kerja Islam. Kita kena rasa sedih kerana tidak buat kerja untuk menangkan Islam. Keputusan sudah ada di Lauh Mahfuz, tetapi kita diperintah untuk berusaha dan berikhtiar. Usaha dengan tenaga, ikhtiar dengan idea, doa, serah kepada Allah. Contoh, Tok Guru Presiden PAS bawa usul pindaan RUU355, kita hanya berusaha, cari redha Allah, serah kepada Allah. Jangan hiraukan pelbagai komen negatif.

Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
Timbalan YDP PAS Kemaman

Share on Myspace