Minyak: Bala pengurusan negara tidak ikut Islam

Ahmad Hakimi Othman | .

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) amat tidak mengalu-alukan tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang yang menaikkan harga minyak kenderaan sebanyak 15 sen dan menaikkan harga minyak masak mencecah kenaikan 60%. Tindakan ini menggambarkan ketidakupayaan kerajaan sekarang mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat secara mapan.

Penyelewengan yang tidak diatasi

DPPNS melihat tindakan menaikkan harga minyak ini sebagai langkah mudah kerajaan mengambil duit rakyat untuk menutup kelemahan mengawal kebocoran hasil daripada penyelewengan. Rasuah dan salah urus.

Kegagalan mengurus hasil negara

Keadaan yang berlaku ini, bukti kegagalan mengurus hasil mahsul negeri seperti petroleum dan produk kelapa sawit. Sedangkan dua barang ini antara eksport besar negara. Namun hasil daripada dua rezeki Allah ini tidak membantu mengukuhkam nilai matawang Ringgit dan kewangan negara.

Kejatuhan ringgit yang disebabkan kegagalan ekonomi kendiri

Kejatuhan Ringgit dijadikan alasan bahawa kos pengurusan perbendaharaan negara meningkat. Walaupun harga minyak mentah dunia turun. Menunjukkan bahawa dengan keuntungan sebelum ini, pengurusan ekonomi negara tidak bersedia membangunkan kemandirian ekonomi negara yang boleh mengukuhkan Ringgit. Atas kealpaan ini, semua rakyat menanggung.

Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru kepada seluruh rakyat supaya sedar kepada hakikat hakikat kelemahan yang disengajakan ini. Negara kita pasti akan hancur jika berterusan begini dan rakyat akan terus diperkotakkatikkan sebagai penyelamat negara sedangkan pemimpin pemimpin BN dan kerajaan masih sengaja mengurus negara dengan cara mudah tanpa ambil kira rakyat dan kewajipan kembali kepada cara yang terbaik.

Bagi kami, cukuplah diberi peluang kepada BN mengurus negara dengan cara sedemikian. Marilah bersama sama PAS untuk membina negara dengan Islam. Kita tidak menjanjikan kejayaan tiba-tiba, namun sekurang kurang mengajak semua untuk hidup sama tinggi dan rendah antara kerajaan dan rakyat dengan meninggalkan penyelewengan dan salah urus tadbir.

Ahmad Hakimi Othman
Pengarah Jabatan Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor
1 November 2016 / 1 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 1/11/2016

Share on Myspace