Tiga tokoh istiqamah Sarawak

MUHTAR SUHAILI | .

PAS Sarawak Anugerahkan 3 Tokoh, Anugerah Tokoh Istiqamah Sempena Sambutan 20 Tahun

SEMPENA Sambutan 20 Tahun Penubuhan PAS Sarawak pada 29 Oktober 2016 bersamaan 28 Muharram 1438H yang lepas, PAS Sarawak telah menganugerahkan kepada 3 tokoh Anugerah Tokoh Istiqamah.

Presiden PAS, YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan diiringi oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee telah menyampaikan anugerah khas tersebut.

Tiga tokoh tersebut adalah seperti berikut:

1. Allahyarham Tuan Haji Adam Ahid

Beliau merupakan mantan Pesuruhjaya PAS Sarawak yang paling lama berkhidmat dan terus istiqamah bersama PAS sehingga akhir hayat beliau. Beliau telah diamanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak dari 2003-2009 dan dari 2010 sehingga beliau meninggal dunia pada Ogos 2015 iaitu selama 12 tahun.

Beliau juga pernah diberi kepercayaan bertanding mewakili PAS dalam beberapa pilihan raya termasuk di kerusi N.18 Sadong Jaya (Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-8, 2001), P.200 Batang Sadong (Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia Ke-11, 2004) dan N.22 Sebuyau (PRN Sarawak Ke-10, 2011).

Temubual terakhir bersama beliau ada dimuat-naik di laman web rasmi pas.org.my dan Allahyarham Haji Adam antaranya menyebut "Tidak Menang Di Dunia, Janji Menang Di Akhirat"! Boleh baca lanjut di sini: http://www.pas.org.my/kenyataan-pesuruhjaya-pas-sarawak/5375-tidak-menang-di-dunia-janji-menang-di-akhirat.

2. Cikgu Mohamad Shokri Ahmad Fauzi

Beliau merupakan salah seorang daripada 4 Tokoh yang telah menerima Anugerah Tokoh Istiqamah sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-62 di PUTIK, Kelantan Darul Naim. Beliau mula terlibat dengan PAS sejak tahun 1990. Antara jawatan yang pernah disandang dalam PAS Sarawak termasuklah Ketua Pemuda Protem PAS Sarawak, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Petra Jaya dan merupakan Pesuruhjaya PAS Sarawak pertama yang dilantik pada 22 September 1996 dan berkhidmat sehingga tahun 2003.

Sementara itu, dari segi pengalaman dalam politik dan pilihan raya, beliau mewarisi arwah ayah beliau yang merupakan pengasas Parti Anak Jati Rakyat Sarawak (PAJAR) sebelum menyertai PAS. Beliau juga pernah diamanahkan menjadi Calon PAS pada PRN Sarawak Ke-8 pada tahun 2001 di DUN N.07 Samariang. Meskipun kini terpaksa bertongkat selepas terlibat dengan kemalangan suatu masa dahulu, beliau terus istiqamah dan aktif menghadiri program-program PAS yang dianjurkan.
 
3. Tuan Haji Alem Din

Beliau merupakan antara pengasas PAS Kawasan Batang Lupar dan terus beristiqamah bersama PAS meskipun beberapa kali dipujuk oleh sebuah parti untuk meninggalkan PAS. Menjelang PRN Sarawak ke-9 pada tahun 2006, PAS telah membuat keputusan untuk bertanding dan memfokuskan hanya satu kerusi DUN sahaja iaitu di DUN N.24 Beting Maro.

Alhamdulillah, penyertaan kali ini membuktikan PAS semakin diterima di Bumi Kenyalang. Calon PAS Tuan Haji Alem Din berjaya mendapat 40.47% undi menentang calon BN dari PBB yang merupakan penyandang iaitu Bolhassan Di @ Ahmad Di (sekarang Datuk). Keputusan calon PAS di Beting Maro yang hanya tewas dengan majoriti 895 undi sahaja mengejutkan banyak pihak berhubung  dengan kemampuan PAS di Sarawak.

Selain itu, satu lagi anugerah yang telah disampaikan sempena Sambutan 20 Tahun PAS Sarawak ini ialah kepada PAS Kawasan dengan Ahli PAS teramai. Anugerah ini telah dimenangi oleh PAS Kawasan Batang Lupar dan Ustaz Wan Abdillah Ahmad, Pemangku YDP PAS Kawasan Batang Lupar telah hadir bagi menerima anugerah tersebut.

Ayuh, marilah kita terus istiqamah bersama perjuangan Islam. Allah SWT banyak memberi motivasi dan berita gembira kepada mereka yang istiqamah pada jalanNya melalui firmanNya di dalam Kitab Suci Al-Qur'an.

Allah Ta'ala berfirman:

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” (Surah Hud, ayat 112).

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) Syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”” (Surah Fushshilat, ayat 30).

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berdukacita. Mereka itulah penghuni-penghuni Syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan” (Surah Al-Ahqaf, ayat 13-14).

Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan kerana Allah! – HARAKAHDAILY 3/11/2016

Share on Myspace