Taaruf menyatukan manusia

TUAN GURU HASHIM JASIN | .

MANUSIA telah diakui oleh para sarjana, merupakan makhluk yang sentiasa bersosial atau bergaul antara satu sama lain. Inilah fitrah kejadian manusia yang diiktiraf oleh Islam sebagai satu cara hidup terbaik.

Al-Quran menjelaskan kepada kita isu tentang kejadian manusia dalam keadaan tolak-menolak, yang menunjukkan kecenderung manusia adalah untuk bermusuh, bertelagah, bergeser dan akhirnya berpecah.

Di sebalik kecenderungan manusia untuk bertelagah, Allah telah menjadi manusia secara fitrah, tidak dapat hidup secara bersendirian, bahkan sentiasa memerlukan teman-teman untuk memeriahkan hidupnya.

Penciptaan Hawa pada kala Nabi Adam kesunyian di syurga adalah gambaran bagaimana setiap manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Fitrah ini tidak terhad kepada orang beriman sahaja atau orang Melayu sahaja, tetapi menjadi fitrah bagi setiap manusia.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (al-Hujuraat: 13).

Allah SWT telah menyebutkan tentang tujuan kejadian manusia untuk berkenalan (li taarafu). Ertinya, manusia perlu hidup dalam suasana harmoni, penuh kasih sayang, tolong-menolong dan bertimbang rasa.

Mana mungkin manusia yang hidup dalam keadaan bencimembenci, bermusuhan dan bercakaran atas apa jua sentimen boleh berkenalan atau bertaaruf.

Taaruf hanya dapat dibina dengan perasaan kemanusiaan yang mendalam, sehingga kita merasakan semua manusia adalah saudara kita.

Saya masih teringat pesanan bekas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sangat menekankan soal persaudaraan manusia.Bahawa kita semua adalah anakcucu kepada datuk dan nenek yang sama Adam dan Hawa.

Bangsa apa pun kita, baik Melayu, Cina, India, hatta Jepun, Eropah dan Afrika sekalipun, hakikatnya kita adalah adik-beradik.Atas asas itu, kita perlu terbuka untuk sentiasa bertaaruf dan menghulurkan perkenalan sehingga terbina kasih sayang dan kemanusiaan.

Siapakah yang mengiktiraf seluruh kepelbagaian manusia ini sebagai punca perpaduan dan kasih sayang? Hanya Islam! Islam tidak membawa agenda kaum, bangsa dan puak. Islam hanya membawa agenda ketaatan kepada Sang Pencipta, yakni Allah.

Islam tidak mempedulikan dari bangsa apa kita dilahirkan atau di negeri mana darah kita ditumpahkan, tetapi Islam memberati tentang darjah taqwa yang ada di hati kita. Semangat berpuak atau berbangsa yang sempit itulah kemudiannya membawa kepada permusuhan dan pertumpahan darah.

Al-Quran telah memerintahkan manusia supaya berkenalan atau bertaaruf agar manusia dapat menghentikan kebencian, permusuhan dan perpecahan. Fenomena ini berlaku di mana-mana di seluruh dunia hari ini. Kita melihat pertumpahan darah kerana perbezaan kelas ekonomi, perbezaan agama, perbezaan warna kulit, perbezaan geografi dan sebagainya.

Di negara kita sendiri, keadaan ini telah terbina oleh dasar pecah dan perintah penjajah dahulu. Antara kita dibezakan oleh budaya, bahasa, agama dan bangsa. Hingga kini kita masih saling mencurigai.

Kita hanya ada satu pilihan untuk menamatkan bencana ini, iaitu kita kembali kepada Islam. Ketika Islam berkembang pada awal sejarah tamadunnya, ia menjalar dari Transoxania di Asia Tengah hingga ke Andalusia di barat Eropah.

Berbagai-bagai bangsa dan budaya bersatu di bawah payung Islam, kemudian orang bukan Islam menumpang tuah keamanannya. Sehingga kini, dunia mengakui bahawa zaman Islam itulah “The Golden Ages” zaman keemasan bagi kemanusiaan.

Ketika dunia dalam keadaan teraba-raba mencari formula, bagaimana seluruh krisis kemanusiaan ini hendak dihentikan, maka kita mesti menampilkan Islam untuk memimpin perubahan atas semangat “li taarafu” yang diperintahkan oleh Allah.

Para pejuangan Islam seperti PAS, walaupun kita bersaiz kecil di mata manusia, tetapi kita mesti menjadikan Islam sebagai pemimpin untuk menyatukan semula manusia walau di ceruk mana mereka berada.

Jika PAS dapat membentuk kesedaran global, bahawa kita sesama manusia perlu berkenalan dalam erti membina kasih sayang, melahirkan mawaddah dan membangunkan kemanusiaan, ertinya PAS telah berjaya membawa satu agenda al-Quran untuk menjadikan manusia sentiasa berkenalan di kalangan mereka ke arah kebaikan dan perpaduan.

Memimpin manusia menuju penyatuan adalah langkah besar yang tidak mempedulikan perbezaan, yang akhirnya akan menatijah perakuan manusia terhadap ketuhanan Allah, Tuhan sekalian alam. Islam pernah melakukannya, tinggal lagi untuk kita mengulanginya!

Share on Myspace