Islam bukan penumpang

Ustaz Abdul Karim Sidek | .

Ramai yang berbelas tahun bersekolah agama tetapi tidak ramai yang mahu turun ke gelanggang perjuangan Islam. Ramai yang semacam berpuas hati sudah dengan apa adanya. Apa yang dimahukan lagi? Kita bebas solat dan menunaikan ibadat. Kita dipimpin oleh orang Islam. Apa yang tak kena lagi?

Begitulah jawapan kebanyakan sebahagian besar bekas bekas pelajar agama yang tidak pernah menjenguk keluar dari kurikulum yang mereka pelajari dulu. Mereka rupanya masih terperangkap dalam fahaman sempit warisan zaman penjajah. Beragama apa adanya, asal boleh beribadat dan asal kehidupan peribadinya tidak diganggu, beres.

Dulu, sayapun begitu. Saya bingung mengapa PAS menentang asobiyyah qaumiyyah?. Tidak ada apa bahayanya berjuang atas nama bangsa kata akal saya. Soal arak, judi, maksiat, itu pilihan peribadi masing masing. Anda beriman, anda sendiri jauhi. Nak memerintah masuk sajalah pilihan raya, tak perlu gunakan nama Islam.

Macam-macam lagilah yang menghairankan saya. Akal seorang pelajar agama yang terasuh menghafal teks, tidak mampu mencari jawapan dan membuat kesimpulan. Malah ada kalanya, terasa marah dan memandang bodoh kepada perjuangan PAS yang nampaknya semacam tidak mendatangkan apa apa kesan. "Sia-sia berhabis duit, tenaga dan masa." Itulah tanggapan saya waktu itu.

Mujurnya, sejak ke universiti. Saya diajar supaya meluaskan bacaan dan pandangan. Ditarik ke dalam usrah dan mula berkenalan dengan karya-karya Imam Hasan Al Banna, Al Maududi, Syed Qutb, Muhammad Qutb, Ramadhan Al Buthi, al Qardhawi, Fathi Yakan, Said Hawwa, dan lain-lain ulama haraki. Barulah saya faham betapa Islam itu bukanlah agama yang sekadar menumpang di kaki-kaki lima kehidupan.

Islam bukan agama yang mengharap belas ehsan dari mana-mana sistem pemerintahan, akan tetapi Islam itu sendiri adalah agama revolusi. Ia tidak didatangkan untuk sekadar membaiki kerosakan-kerosakan yang ditinggalkan oleh sekular. Malah ia datang untuk meroboh semua sistem jahiliyyah hingga ke akar umbinya, lalu membina di atasnya binaan Islam yang baru.

Ia datang untuk memerintah, menentukan hala tuju kehidupan dan mencoraknya mengikut acuan Islam yang tersendiri. Islam tidak boleh berpuas hati menjadi pak turut kepada mana-mana sistem ciptaan manusia. Ia selamanya mesti di atas dan tidak ada yang mengatasinya.

Islam mesti memegang teraju yang menghitamputihkan kehidupan. Hanya Islam yang berhak menghukum, menghalal dan mengharam, membenar dan melarang, mengarah dan menyekat bukan sebaliknya.

Selagi Islam tidak menikmati kedudukan itu kewajipan ummah adalah berjuang sepanjang hayat. Tidak peduli selama mana, generasi berganti generasi hingga kiamat. Hingga bila? Ya, sehingga terjunjungnya firman Allah di dalam al-Quran. [Surah Al-Baqarah: 193]

"Sehingga tiada lagi sebarang fitnah, tiada lagi ketakutan untuk menjalankan perintah agama ini di mana mana bahagian permukaan bumi. Sehingga seluruh kesyirikan ditundukkan, penderhakaan dipandang jijik dan dimusnahkan."

Selagi itu tidak terlaksana, kita hanyalah penumpang yang menyebabkan agama ini terhina disebabkan oleh pengikutnya yang tunduk kepada musuh-musuhnya. - HARAKAHDAILY 9/11/2016

Penulis ialah AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang.

Share on Myspace