Di sebalik Banjaran Crocker

Abdul Hisham Othman | .

Di Sebalik Banjaran Crocker - Institusi Pendidikan Menyambung Perjuangan

Kata bidalan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak merupakan amanah kepada kita. Merekalah yang akan menyambung perjuangan yang bakal kita tinggalkan. Kegemilangan sesebuah tamadun bangsa dan negara akan dicorakkan oleh generasi yang mempunyai ilmu dan didikan yang sempurna. Ilmu itu sendiri pula berkait rapat dengan disiplin yang tinggi dan akhlak yang mulia.

Sekolah merupakan institusi awal selain keluarga untuk mendidik anak-anak. Banyak wang dan masa yang diperlukan untuk melahirkan seorang insan yang berilmu serta berakhlak mulia. Ibu bapa semestinya mahu melihat kejayaan anak-anak mereka. Namun berjaya di bidang akademik sahaja tidak mencukupi jika anak-anak kita buruk akhlaknya. Mereka berjaya menamatkan pendidikan di universiti, menjawat pekerjaan yang baik tetapi mereka tidak menghormati ibu bapa,  pecah amanah, rasuah dan berbagai salah laku yang lain.

Untuk itu kerajaan telah melatih ribuan guru untuk mengambil tanggungjawab bagi mendidik anak-anak kita agar bijak dan berakhlak mulia. Namun kini suasana pembelajaran di sekolah sangat berbeza. Suasana pergaulan antara rakan juga mula longgar. Sekolah berjaya menghasilkan ramai pelajar yang cemerlang akademiknya tetapi ramai juga di antara mereka yang cemerlang ini terlibat dengan pelbagai salah laku bila tamat pelajarannya.

Tugas para guru makin mencabar.  Disiplin di sekolah mula terabai. Dulu jika anak-anak melakukan kesalahan ibu bapa yang akan menyuruh guru menghukum mereka tetapi kini jika anak mereka dihukum kerana melakukan kesalahan ibu bapa akan menyalahkan para guru. Ada ketikanya sekolah dan jabatan pelajaran juga tidak memberikan pembelaan yang sewajarnya terhadap guru-guru terbabit.

Akhirnya guru-guru mengambil sikap tidak peduli kepada akhlak buruk yang ditunjukkan oleh pelajar yang bermasalah tadi. Maka sekolah yang sepatutnya menjadi institusi untuk mendidik akhlak hanya mampu menjadi tempat mencetak manusia robot. Memiliki kepandaian tetapi kehilangan akhlak dan iman.

PIBG juga seharusnya mampu berperanan membantu pihak sekolah dan guru-guru menangani masalah akhlak dan disiplin yang berlaku sekarang ini. Bukan pula menyalahkan pihak sekolah jika seseorang pelajar yang bermasalah itu di hukum. Semua pihak sewajarnya peka dan berusaha  membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin yang kian buruk sekarang.

Hukuman rotan wajar dibenar untuk dilaksanakan semula di sekolah. Kaedah merotan dan jenis-jenis kesalahan yang boleh dihukum dengan rotan harus diperincikan oleh kementerian dengan kerjasama kesatuan guru dan PIBG.  Para pelajar mesti dibentuk untuk berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga mampu menjadi hamba yang beriman kepada Allah SWT.

Kementerian Pendidikan harus menggubal satu akta yang boleh melindungi para guru semasa  mereka bertugas di sekolah. Dalam masa yang sama mengambil kira kebajikan pelajar serta  tanggungjawab ibu bapa terhadap anak mereka semasa di sekolah.

"Sabah Sejahtera"
"Inilah Penyelesaian Kita"

Abdul Hisham Othman
Ketua Penerangan PAS Sabah
Keningau, Sabah
10 Nov 2016 - HARAKAHDAILY 10/11/2016

Share on Myspace