Hilangnya sebutir kejora

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

WAJAHNYA bersih dan redup, memandangnya seperti berada di bawah teduhan, tenang dan nyaman, usia rakus memamah kulitnya, namun wajah tenangnya sangat menyenangkan mata memandang, mungkin dia sang 'kejora' waktu mudanya.

Saya mengenalinya dalam suatu program kuliah muslimat, mata saya tertumpu padanya, entahlah, hati saya rasa tenang memandangnya, dari ratusan muslimat dialah rasanya yang paling tua, masa itu rasanya dalam sekitar 65 tahun.

Kedatangan kali kedua ke Markas PAS di cawangannya, dia menjemput saya ke rumahnya untuk makan tengahari sebelum kuliah pada sebelah petangnya. Di sana sarat dilambakkan kepada saya nasihat-nasihat perjuangan.

Masa itu saya awal 40-an, dia nasihatkan saya "Perjuangan ini mesti ikhlas dan untuk ikhlas mestilah dilakukan semua apa yang kita buat bertepatan dengan agama," dia bacakan beberapa ayat Al-Qur'an, jarang-jarang seorang perempuan menasihati saya, tapi dia tidak begitu kerana katanya "saya lihat Ustaz macam anak-anak saya," anak dia pun susia saya, tapi semuanya perempuan.

"PAS kuat kerana Islam, bukan kerana harta, harta banyak macamana pun, akan hilang, tapi Islam sampai bila-bila pun takkan hancur," katanya. Bahasanya menarik kerana dia seorang Ustazah yang selalu berkuliah ke sana ke mari.

Namun dia membahasakan dirinya dengan panggilan Mok Cik, biasalah orang Terengganu. "Orang yang berjuang kerana Islam, Insya-Allah akan kekal bersama PAS, kalau ada niat lain selain Allah, orang macam ni boleh keluar bila-bila masa bila apa yang dihajati tidak kesampaian," katanya.

Dia tidak terkenal, hanya ketua muslimat PAS cawangan kerana tidak mampu untuk ke sana ke mari lantaran menjaga anak OKUnya. Sementelah suaminya telah meninggal dunia ketika usianya sekitar 55 tahun, anak-anaknya 6 orang, yang 5 orang lagi semuanya berjaya dalam bidang pelajaran.

Menziarahinya kali terakhir dua tahun lepas, pada waktu uzurnya, "Mok Cik nak ke Sabah minggu depan ni, anak nak mari ambil, nak duduk rumah anak kat sana, Mok Cik dah tak larat nak berjalan, lagi pun anak hok ni (OKU) Mok Cik dah tak larat nak jaga, kakak-kakak dia akan jaga," katanya.

Itulah kali terakhir berjumpa dengannya, satu bungkusan kecil kertas putih sebesar ibu jari kaki dihulurkan kepada saya "Ambiklah ni, buatlah apa yang patut, Ustaz jangan berhenti berjuang sampai mati, Ustaz doalah biar saya pergi dalam keadaan husnul khatimah, rasanya saya pun dah tak lama ni," katanya.

Saya membuka pemberiannya di dalam kereta di perjalanan pulang, sebentuk cincin dan seutas rantai usang, saya tukarkan di Kedai Emas Sri Kuantan, nilaiannya lebih 2k, segera saya belikan beras dan makanan untuk disedekahkan.

Dapat maklumat dari anaknya melalui mesenger FB pagi ini, dia telah kembali ke Rahmatullah sebulan yang lalu, hasrat anaknya nak balik ke semenanjung dan berjumpa dengan saya.

"Arwah mak ada pesan barang sikit kat Ustaz, bulan 12 nanti saya balik dan ke rumah Ustaz," kata anaknya.

Tersentuh hati dipagi ini, apabila dapat berita pemergiannya, kata anaknya, bahawa adiknya yang OKU juga dalam kritikal, selepas ibunya meninggal dunia, adiknya tidak mahu makan dan minum, sehingga kurus kering dan paru-paru berair, kini hidup dengan bantuan mesin. Mungkin dia rindu sangat kat mak, maaf sebab lambat maklum kat Ustaz, kata anaknya.

Sedih rasanya, apapun saya doakan roh insan yang pernah berjasa kepada Islam, PAS dan saya, sekaligus berjasa kepada DUN Tanjung Lumpur melalui sumbangan keewangannya, moga ditempatkan oleh Allah SWT bersama para anbiya, solihin dan sidiqqin. Ameen. – HARAKAHDAILY 10/11/2016

Share on Myspace