Sawah, durian dan lembu

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Alhamdulillah jam 3.45 petang, 10 November 2016, Khamis sempat bahas Rang Undang-undang Perbekalan 2017

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

Isu pertama

Butiran 010400 Industri padi dan beras
Peruntukan 2017 RM71,908,800

Kerajaan berhasrat untuk mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras tempatan disasarkan pada kadar 85% menjelang tahun 2020.

Persoalannya sejauh mana pencapaian dari setahun ke setahun untuk mencapai target ini.

Minta kementerian boleh berikan dengan fakta keluasan tanah dalam masa tahun 2010-2015 tanah yang telah dijadikan untuk tanam padi.
 
Saya musykil kerana realiti kita lihat banyak tanah sawah yang telah bertukar menjadi kawasan perumahan.

Sepatutnya mesti ada kerjasama dengan pihak negeri untuk pastikan supaya kawasan tanah sawah diperluaskan.

Sekarang kita ada 120,000 hektar tanah terbiar. Bukankah Malaysia ada kepakaran yang hebat untuk menukar tanah ini untuk tanaman padi.

Isu Kedua

070000 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
Peruntukan 2017 RM174,000,000

Objektif FAMA antaranya meningkatkan peluasan saiz pasaran domestik dan eksport, meningkatkan pendapatan usahawan, pemasar bimbingan FAMA.

Objektif bagus. Tapi jika kita ke peringkat bawah. Masalah pasaran di kalangan usahawan pertanian masih berlaku. Contohnya apabila petani tanam serai, kunyit, sayur-sayuran secara komersial tapi gagal untuk dipasar sedangkan pasaran sebenar tidak cukup.

Sekarang kunyit sudah ada penemuan untuk dijadikan bahan untuk merawat beberapa penyakit. Apabila tanam secara kormersial, masalah pasaran.

Begitu juga pasaran durian kampung. Walaupun selalunya menteri jawab supaya tukar durian musang king dan sebagainya. Sekarang kita kena cari formula supaya harga durian dapat dijaga untuk bela orang kampung. Selalunya harga dimain oleh orang tengah.

Durian di kampung dibeli dengan harga RM1 sekilo. Tapi di Kuala Lumpur masih lagi RM5 hingga RM7.

Saya ucap terima kasih kepada menteri Datuk Seri Ismail Yaakob dahulu ketika menjadi Menteri Pertanian telah menetapkan harga lantai RM1 sekilo. Saya harap menteri baru ini boleh tetapkan harga lantai RM2 sekilo.

Memandangkan durian kampung tidak tahan lama, maka kementerian kena mencari jalan melalui kepakaran kita di MARDI kena membuat penyelidikan supaya durian ada nilai tambah.

Antaranya kena perbanyak pusat belian oleh FAMA setiap daerah. Kemudian diproses isi durian dan dibekukan dan boleh diguna sepanjang tahun dan menjadi nilai tambah.

Kebetulan MARDI dapat peruntukan RM207,836,000 bolehlah buat penyelidikan. Secara tidak langsung akan menstabilkan harga. Yang pelik tempat saya ada pihak swasta dari Pahang yang buka kilang pemprosesan isi durian. Modalnya tidak banyak RM100k. Sedangkan dalam masa yang sama pada waktu itu Lembaga Pertubuhan Peladang Bukit Gantang masih pakai cara manual.

Isu Ketiga

030600PembangunanKomoditi Ternakan
Peruntukan 2017 RM19,100,000

Pelik negara kita luas, rumput menghijau, tapi lembu, kerbau, kambing tidak cukup. Di Sabah dan Sarawak lagi pelik. Tanah yang subur dengan rumput yang hijau. Malangnya lembu berharga RM5,000 hingga RM6,000 seekor.

Negara Holland sebesar negeri Pahang. Boleh keluar produk tenusu. Kenapa tidak di Malaysia? Tidak perlu fikir tanah besar untuk buat ladang. Banyak sangat masalah seperti kes NFC, lingkup RM250 juta.

Saya cadang dipawah kepada orang kampung. Kemudian pegawai pertanian akan pergi tengok lembu itu dijaga atau tidak supaya mereka tidak jual lembu tersebut. Apabila lembu sudah beranak, beri kepada penjaga lembu anak tersebut. - HARAKAHDAILY 11/11/2016

Ustaz Idris Ahmad ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Naib Presiden PAS.

Share on Myspace