Ukhuwah Islamiah, penguat langkah

Syazwani Saibe | .

Hijrah merupakan satu permulaan besar dalam sejarah umat Islam. Langit sejarah merakam bagaimana kepayahan dan keperitan yang ditanggung Nabi SAW bersama golongan muhajirin untuk meninggalkan keluarga, harta, dan tanah air demi agama. Namun begitu, semua itu terubat dengan sikap golongan Ansar yang mengalu-alukan kedatangan mereka dengan penuh meriah.

Golongan Muhajirin diberikan layanan sebaiknya sebagai saudara melebihi pertalian darah. Ukhuwah yang dibina kerana agama benar-benar menjadikan mereka saudara. Benarlah ayat Al-Quran yang menjadikan setiap mukmin itu bersaudara sebagaimana firman yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Sirah inilah sebenarnya yang perlu diteladani dan ditekuni oleh semua ‘abnaul harakah’ yang menyasarkan Islam sebagai prinsip perjuangan. Pertalian yang dibina di antara Muslim merupakan satu anugerah Ilahi yang diberikan kepada mereka-mereka yang ikhlas dan bertakwa di atas jalan Allah. Ia juga merupakan satu ikatan keimanan yang akhirnya melahirkan perasaan kasih sayang, sikap saling menghormati dan melengkapi antara satu sama lain.

Nabi SAW juga telah meletakkan ukhuwah Islamiah sebagai salah satu syarat kepada muslim untuk merasai kemanisan iman yang sebenar dengan mencintai saudaranya melebihi diri mereka sendiri.

Rukun baiah yang telah disusun oleh Imam Hassan Al-Banna turut meletakkan ukhuwah sebagai batu asas yang perlu dipegang kukuh bagi memastikan setiap penggerak dalam medan dakwah terus istiqamah sehingga ke akhirnya. Perlu diakui sebagai manusia biasa, kita kadang kala akan menjadikan sahabat sebagai penguat dalam menghadapi badai juang yang menggila. Melihat ketekunan saudara kita berkorban, kesungguhannya bergerak tanpa lelah sedikit sebanyak akan mengubat hati kita yang hampir putus asa.

Ukhuwah yang dibina kerana cinta kepada agama akan menatijahkan sahabat yang saling mengingati antara satu sama lain, saling menguatkan, sedia berkorban dan menghulurkan apa jua bentuk bantuan dan pertolongan buat temannya. Mereka inilah golongan yang dijanjikan Allah diampunkan dosanya, disebut oleh baginda bercahaya wajahnya dan dianugerahkan buat mereka syurga.

Sahabat yang sentiasa mengingatkan kita kepada Tuhan adalah satu keperluan yang tidak boleh dinafikan. Tersilap memilih teman juga boleh menyebabkan kita tersasar dari landasan kebenaran. Ukhuwah Islamiah merupakan satu nikmat yang tidak boleh dijual beli dari orang mukmin yang bertakwa. Mereka sentiasa berusaha untuk mencari teman yang baik bagi menjadi aset mereka ke syurga Ilahi.

Mereka yang bergerak di atas jalan dakwah ini akan sentiasa dibantu oleh Allah SWT. Begitu juga mereka yang ikhlas membina tali silaturrahim di atas nama dakwah dan agama. Hati-hati mereka akan disatukan walaupun semasa jahiliah mereka adalah dua golongan yang saling bertelagah sebagaimana Aus dan Khazraj yang disatukan kerana hidayah dan ketakwaan .

Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal, ayat 63)

Maka, berbahagialah kalian yang punya teman dan bersahabat kerana Tuhan. (ulamasedunia)

Share on Myspace