Menjaga Maslahat 'Al-Dharuriyyat'

Imran al-Malizi | .

Pengenalan Ilmu Maqasid al-Syari`ah (Siri 5):
Menjaga Maslahat “Al-Dharuriyyat” - Bhg 1

Matlamat-matlamat pelaksanaan syari’at kepada manusia tertumpu kepada menjaga maslahat kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Menurut Al-Imam Syamsudin Muhammad bin Abu Bakr yang dikenali sebagai Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah (751H):

فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلىَ الحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ ، فِي المَعَاشِ وَالمَعَادِ

“Sesungguhnya syariat itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan maslahat (kebaikan) untuk manusia di dunia dan akhirat."

[Ibn al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, Dar al-Ghad al-Jadid, Kaherah-Mansourah, cet.pertama 1437H / 2016M (Jil.3, hal. 14)]

Para ulama membahagikan topik ini kepada 3 peringkat maslahat yang dikenali sebagai al-Qawaid al-Kuliyyah. Pembahagian ini berdasarkan kepada keutamaan dan konsekuensinya:

1. Al-Dharuriyyat (الضروريات) ertinya sesuatu yang diperlukan sampai ke peringkat darurat demi kemaslahatan manusia, jika tidak ada akan menimbulkan kerosakan.

2. Al-Hajiyyat (الحاجيات) ertinya sesuatu yang diperlukan oleh manusia untuk memenuhi keperluannya dan tidak sampai ke peringkat darurat.

3. Al-Tahsiniyyat (التحسينيات) ertinya sesuatu yang diambil untuk kebaikan kehidupan dan memperelokkannya secara kebiasaannya, namun tidak sampai ke peringkat keperluan.

Pada tulisan kali ini, kita akan membicarakan dahulu tentang al-Dharuriyyat daripada ketiga-tiga al-Qawaid al-Kuliyyah di atas.

1. Al-Dharuriyyat

Menurut Al-Imam Jalaluddin al-Mahalli al-Syafi`e (864H) menyatakan dalam kitabnya Syarhu Jam’il-Jawami’ bahawa Dharuriyyat itu adalah:

هِيَ مَا تَصِلُ الحَاجَةُ إِلَيْهِ إِلَى حَدِّ الضَّرُورَةِ

“Sesuatu yang sangat diperlukan sehingga ke tahap terdesak”.

[Lihat: Dr.’Alauddin Za’tari, Qiraah fi ‘Ilm al-Maqasid as-Syar’iyyah al-Islamiyyah (Jil.1 hal.7)]

Manakala Al-Imam Muhammad al-Thahir bin `Asyur (1393H) pula mengatakan:

هِيَ التِّي تَكُونُ الأُمَّةُ بِمَجْمُوعِهَا وَآحَادِهَا فِي ضَرُوْرَةٍ إِلَى تَحْصِيْلِهَا بِحَيْثُ لَا يَستَقِيمُ النِّظَامُ بِاخْتِلاَلِهَا
بِحَيْثُ إِذَا انْخَرَمَتْ تَؤُولُ حَالَةُ الأُمَّةِ إِلَى فَسَادٍ وَتَلاَشٍ.

“Sesuatu yang umat ini secara perkumpulan dan perseorangan berada dalam keadaan darurat untuk mendapatkannya, di mana peraturan hidup tidak akan menjadi lurus dengan kepincangannya dan sekiranya ianya lenyap maka keadaan umat akan kembali menjadi rosak dan binasa”.

[Muhammad al-Thahir Ibn `Asyur; Maqasid al-Syariah al-Islamiyah, Darul Salam, Kaherah – cetakan ke-6 1435H/2014M (hal.87)]

Maka itu, al-Dharuriyyat dalam syariat Islam adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang tidak boleh diabaikan bahkan mendapatkannya dan memeliharanya adalah satu kewajipan. Hal ini merangkumi lima perkara yang disebut sebagai al-Kulliyyat al-Khamsah iaitu:

i- Menjaga agama (حفظ الدين)
ii- Menjaga jiwa/nyawa (حفظ النفس)
iii- Menjaga akal (حفظ العقل)
iv- Menjaga keturunan (حفظ النسل)
v- Menjaga harta (حفظ المال)

Menurut Hujjatul-Islam al-Imam al-Ghazali (505H) kelima-lima perkara di atas adalah tujuan diturunkan syariat kepada manusia:

ومقْصُودُ الشَّرْعِ مِنَ الخَلْقِ خَمْسَةٌ : وَهُوَ أَن يُحْفَظَ عليهِم دينُهُم ، ونفسُهُم ، وعقْلُهُم ، ونَسَلُهُم ، ومَالُهُم ، فكُلُّ مَا يَتَضَمَّنُ حِفْظُ هَذِهِ الأُصُولِ الخَمْسَةِ فَهُوَ مَصْلَحَةٌ ، وكُلُّ مَا يُفَوِّتُ هَذِهِ الأُصُولَ فَهُوَ مَفْسَدَةٌ ، وَدَفْعُهَا مَصْلَحَةٌ.

“Matlamat hukum syarak (Maqasid Syari`ah) bagi makhluk (manusia) ada lima perkara iaitu supaya terpelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Segala perkara yang merangkumi pemeliharaan kelima-lima prinsip ini adalah maslahat (kebaikan) dan segala perkara yang melenyapkannya adalah mafsadah (kerosakan), menolak kerosakan adalah maslahat.”

[Abu Hamid al-Ghazali, Al-Mustashfa min ‘Ilm al-Usul, Al-Muassasah al-Risalah, Beirut-Lubnan, cetakan pertama 1436H / 2015M (Jil.1, hal.417)]

Manakala Al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi (790H) pula mengatakan:

فقد اتَّفَقَتِ الأُمَّةُ ، بَلْ سَائِرُ المِلَلِ عَلىَ أَنَّ الشَّرِيعَةَ وُضِعَتْ لِلْمُحَافَظَةِ على الضَّرُورِيَّاتِ الخَمْسِ، وَهِيَ: الدٍّينُ ، وَالنَّفْسُ ، والنَّسَلُ ، والماَلُ ، والعَقْلُ ، وَعِلْمُهَا عِنْدَ الأُمَّةِ كَالضَّرُورِيّ.

“Sesungguhnya umat ini bahkan semua millah (agama samawi) telah bersepakat bahawa syariat itu dijadikan untuk memelihara lima perkara dharuriyyat iaitu: agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Pengetahuan mengenainya di sisi umat adalah suatu kemestian.”

[Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Syatibi, Al-Muwafaqat Fi Usul Al-Syari`ah, Darul Hadith, Kaherah – cetakan pertama 1427H/2006M (Juz.1 hal.27)]

Maqasid as-Syari`ah atau matlamat pelaksanaan hukum-hukum syarak ini hanya akan tercapai dengan pemeliharaan kelima-lima perkara yang telah disebutkan di atas.

Disediakan oleh: Imran al-Malizi (AJK PENERANGAN DUPNS)

Share on Myspace