Nabi pun berperang sesama arab

ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS - siri 1

PILIHAN raya ke-7 pada tahun 1986, seingat saya inilah pilihan raya yang saya terlibat sepenuhnya sebagai amilin parti membantu PAS dalam pilihan raya. Pada usia 19 tahun, pastinya tugas saya ialah menampal poster, naik pokok turun pokok, cat hijau dan putih dibimbit di kiri dan kanan dengan sebatang roller dan berus cat.

Tidak ramai yang membantu, adalah seorang dua, di kampung yang menjadi sarang Umno ini, berapa keratlah sangat orang yang nak bersama PAS. Petandanya mudah, kalau kosong Masjid dan Surau di suatu tempat, tambahan pula ia tidak dimakmurkan dengan majlis ilmu, maka biasanya di situ susah nak cari amilin PAS.

Masjid dan Surau yang makmur dengan majlis ilmu adalah pusat melahirkan mereka yang berjiwa Islam dan mereka yang berjiwa Islam ini lah yang membantu PAS. Saya pun begitu juga, pada zaman rugged, manalah tahu fasal Jihad, hudud, siasah, cuma dengar otai-otai PAS menyebutnya, tapi apa pun tak tahu, "gelap". Saya anggap parti politik semua sama je, bekerja semata untuk dapatkan kuasa.

Saya pernah tengok orang PAS dan Umno bergaduh, masa tu saya masih bersekolah menengah, saya dengar pertengkaran mereka. Tapi saya pun terikut juga dengan golongan 'atas pagar', dengar komen mereka "apa lah puak-puak ni, kerana politik pun sanggup bergaduh sesama Melayu, sesama Islam". Akal cetek saya masa itu membenarkan pendapat 'insan atas pagar" ni.

Saya anggap semua pergaduhan adalah jahat, apatah lagi kalau sesama Melayu, saya ni bermulut 'becok', suka bertanya, pernah saya tanya dan suarakan pada seorang otai PAS, "kenapa bergaduh sesama Melayu"? Jawapnya "Nabi pun berperang sesama arab", jawapannya sempoi tapi cukup untuk membatalkan anggapan bahawa semua pergaduhan itu buruk. – HARAKAHDAILY 15/11/2016

Share on Myspace