Kerana ustazah sayangkan kamu

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS - siri 2

WATAK para Sahabat Nabi SAW adalah kesempurnaan bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam. Ustazah Fatimah Abdul Rahman, salah seorang guru saya di SMKAA, saya menyukainya walaupun saya tergolong dari kalangan murid yang agak nakal, saya pernah dirotan kerana ponteng kelas, namun rotan tidak sedikitpun membekaskan dendam, hormat pada guru tidak pernah berkurang sedikit pun.

Dia bagitau, dia rotan saya kerana "kerana Ustazah sayangkan kamu", nilai kasih sayang pada seorang guru tidak terletak kepada pengorbanannya sahaja malahan juga pada hukumannya. Saya tidak pasti dia PAS atau tidak, saya pun remaja lagi yang tak berapa nak pandai beza antara orang PAS dan Umno, saya pasti dia bertudung labuh dan berwajah jernih dan sangat baik terhadap murid-muridnya.

Sewaktu beliau mengajar bab sirah, antara peristiwa yang terkandung dalam bab tersebut ialah perang Badar, perang Uhud, perjanjian Hudaibiyah dan lain-lain, tak banyak, tapi sedikit sebanyak, dapatlah juga pengetahuan tentang perjalanan perjuangan Rasulullah SAW. Di sana saya dapat pengetahuan bahawa Nabi SAW juga berperang dengan musuhnya.

Tujuan peperangan ialah untuk menyekat musuh daripada menguasai kita dan tujuannya juga untuk mengalahkan musuh, jika kita tidak bersedia berperang, maka musuh akan menang percuma. Sebagaimana rotan, tujuannya untuk mencegah kejahatan dari terus menerus menguasai diri, bukan semua kekerasan boleh dihapuskan dengan kelembutan ada juga hanya boleh dihapuskan dengan kekerasan yang lebih keras.

Kali pertama saya dibawa ke Usrah PAS, dengar Naqib menyebut, Allah SWT datangkan pejuang Islam dengan pelbagai watak, ada watak Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Ali dan Osman dan lain-lain. Musuh Islam juga pelbagai watak ada yang terlalu keras permusuhannya, ada yang sedikit lembut dan ada juga golongan munafiq, pembenci Islam yang melakonkan watak Islam. Di sana saya memahami, kekasaran itu ada kalanya wajib.

"Nak luruskan besi yang bengkok, tak boleh pakai daun kelapa, tapi kena pakai tukul, lagi besar besi, lagi besarlah tukulnya," kata Pak Ngah, otai PAS kampung saya. Watak-watak otai PAS di kampung saya juga pelbagai, ada yang keras dan ada yang lembut, saya lihat keduanya mempunyai pengaruh, yang lembut disenangi dan yang keras ditakuti.

Samalah dengan orang Umno, ada yang sangat keras keumnoannya, macam bumi ni Allah SWT buatkan semata-mata untuk Umno, tak boleh nampak bendera PAS langsung, sikit-sikit nak tebang, tak boleh ada ceramah PAS, sikit-sikit nak suruh polis sekat, namun ada yang lunak, boleh berbincang, maka PAS pun mesti ada juga watak yang sepadan seperti "buku dengan ruas" untuk berhadapan dengan watak penentangnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

Share on Myspace