Pembangkang baru masih diulit mimpi

M FAQIH | .

BANYAK pihak marah kerana PAS tidak menyertai himpunan Bersih 5.0 Sabtu ini. Lebih meletihkan lagi ada pemimpin parti serpihan mengeluarkan ‘fatwa’ lama kononnya arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz minta hadir himpunan itu.

Macam-macam modal dicari bagi menghalalkan cara. Begitu juga parti pembangkang lain, tidak serik menyergah PAS kerana berada di luar Pakatan Harapan (PH).

Ada juga anak muda marah kerana PAS masih liat bersama PH. Ketika semua pihak melihat PAS di sisi orang salah, tiba-tiba Bersatu yang baharu ditubuh pula menangguh menandatangani perjanjian kerjasama dengan PH.

Sepatutnya majlis bersejarah itu ditandatangani ketika konvensyen PH Sabtu lepas. Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan meminta penangguhan dibuat.

Kata Muhyiddin, masa diperlukan untuk mereka meneliti keseluruhan perjanjian berkenaan. "Minta maaf, perjanjian ditangguhkan hari ini," katanya di Konvensyen PH di Shah Alam.

Ketika DAP mengharap dokongan pemimpin Melayu bagi memperkukuh kubunya, tiba-tiba seorang perwakilan Konvensyen DAP Pulau Pinang dilapor membantah kerjasama dengan Bersatu.

Menurut akhbar, perwakilan dari Taman Chai Leng, Shamsher Singh Thind memberitahu DAP tidak seharusnya bekerjasama dengan mana-mana individu yang pernah menjadi musuh parti itu.

Lebih teruk lagi disamakan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti “bapa ayam” dan “ular”.

PKR biarpun tali persahabatan lama dengan PAS belum terelai, namun kenyataan pemimpin dan minda akhbar Suara Keadilan sudah lama seperti memalu gendang perang.

Isu pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 dipersembah di luar konteks.

Begitu juga isu sekumpulan Orang Asal menghalang laluan lori balak di Gua Musang dipapar dengan gambaran seperti laporan media tajaan Umno.

Mungkinkah PKR lupa keutuhan kerajaan Pakatan Rakyat masih dipertahankan pemimpin PAS di Kelantan. Adun Guchil Ruslan Puteh masih berada dalam saf penyokong kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 16/11/2016

(Ikuti analisis lanjut dalam Harakah versi cetak keluaran depan)

Share on Myspace