Tampal poster Umno dapat upah

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS -siri 3

PADA PRU7 saya mula membantu menampal poster PAS apabila diajak oleh jiran saya. Kawan-kawan saya ramai juga yang menampal poster BN, mereka dapat upah RM10 setiap malam. Saya pula hanya dapat makan, sekali sekala dibawa ke kedai, belanja makan, paling mewah yang saya ingat, saya dibawa makan satay.

Pernah ada orang Umno kata saya 'bodoh' sebab kerja tak dapat upah, "sia-sia", katanya.

"Takpe, bila kita buat kerja Islam, bila kita tolong agama Allah SWT, Allah akan balas dengan lebih banyak dari yang mereka dapat," begitulah kata ayah-ayah PAS saya, bila saya mengadu kat dia orang, selepas orang Umno kata saya bodoh kerana PAS tak bagi upah. Saya angguk je, bukan faham sangat masa tu.

Tapi saya dan kawan-kawan yang menampal poster BN tak pernah bergaduh, kadang kala minum sekali, bila berjumpa tak pernah sembang fasal politik, saya tak tahu apa sangat mereka pun sama, mereka tampal poster BN kerana nak cari duit, saya pulak nampal poster PAS sebab tolong jiran saya. Bila jumpa, sembang kami, fasal motor, wayang, fasal .........., maklum orang muda.

Berbeza pada PRU8, masa itu saya bekerja dengan kefahaman saya terhadap perjuangan PAS. PAS telah mula menjadi sebahagian daripada kehidupan saya, walaupun masih juga belum cukup umur. Masa itu saya dah mula marah kalau orang kutuk PAS dan agak agresif dalam tindak tanduk serta gerak kerja. Mungkin juga kerana pembawaan orang-orang di sekeliling saya.

Pernah orang Umno ugut nak buat laporan polis sebab saya bawah umur, apabila saya mengadu, seorang otai PAS yang memang dikenali sebagai orang 'gedebe' mengamuk dan hingga tercetus pergaduhan, polis datang untuk leraikan pergaduhan. Dia antara orang-orang PAS masa itu yang masih hidup kini, umur dah 80.

Orang Umno memang gitu, macam bumi ni, Allah buat untuk dia sahaja, kalau PAS semua tak boleh, kalau dia semua boleh, sedangkan budak-budak bawah umur ramai yang menampal poster BN, ada sorang tu, dia ambil upah tampal poster, dibawanya anak-anaknya yang sekolah rendah dan bininya menampal sekali, tak pernah pulak kami lapor polis.

Poster PAS pulak selalu sangat dicantas, hingga pernah saya mengendap nak tahu siapa yang buat kerja jahat, akhirnya dapat juga, berlaku lagi pergaduhan di kedai kopi esok paginya, sekali lagi polis datang. Saya tidak ada masa tu. Yang saya dengar polis bawa orang PAS yang menampar pencantas bendera PAS ke balai polis, katanya kes itu selesai apabila kedua pihak setuju untuk bermaafan.

Sejak peristiwa itu tiada lagi yang berani nak lapor melapor, saya menampal poster dalam keadaan aman tenteram dan bendera PAS pun tiada lagi yang dicantas, berkibarlah bendera PAS dengan lenggang lenggok mengikut tiupan angin tanpa sebarang gangguan sehingga tamat PRU8.

Peristiwa ini semakin mematangkan saya untuk terus mencurahkan bakti kepada parti kesayangan saya. Peristiwa ini juga memahamkan saya secara praktikal serta meyakinkan saya bahawa kebaikan itu tidak hanya datang bila kita sentiasa beralah dan mengalah, tetapi mesti juga dengan 'melawan'. – HARAKAHDAILY 18/11/2016

Share on Myspace