Pesan buat para penuntut ilmu

Nurul Atiqah Ibrahim | .

Firman Allah yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Al-Mujadalah, ayat 11)

Memetik ayat Al-Quran yang tersebut tadi, cukup menghiburkan hati kita sebagai seorang muslim dan mukmin. Malah Allah menjanjikan darjat yang tinggi bagi mereka yang berilmu.

Justeru, merasai peluang untuk melanjutkan pelajaran merupakan suatu kurniaan Allah yang tidak terhitung nikmatnya.

Menuntut ilmu merupakan suatu tuntutan fardu ain kepada setiap muslim. Ia perlu disertakan dengan niat yang suci untuk mendapatkan keredaan Allah. Segala-galanya perlu dikembalikan kepada Allah, apa yang kita niatkan mestilah semata-mata kerana-Nya.

Biarpun ada kepentingan lain untuk keperluan duniawi, akan tetapi niat utama haruslah kerana Allah. Guru saya pernah berpesan: “Belajarlah, tetapi janganlah kerana semata-mata hendak memuaskan diri sendiri. Ini kerana, kepuasan itu tidak akan pernah hadir, kerana illmu Allah terlalu luas.”

Tidak dinafikan, kepentingan menuntut ilmu itu menjanjikan rezeki kerjaya dan sebagainya. Itu keperluan manusiawi selagi mereka hidup dia atas muka bumi ini. Tidak salah, namun Islam lebih menggalakkan untuk kita bekerja keras dalam melakukan sesuatu perkara, tetapi tidaklah sampai tersasar niat dan tujuan. Contohnya, belajar sesuatu ilmu untuk dipandang mulia pada sisi masyarakat. Bukan begitu, Naudzubillahi min zalik!

Belajarlah kerana Allah, untuk memartabatkan agama Islam, memperjuangkan agama Allah. Biar apa pun ilmu itu jika Allah menjadi tujuan dan sandaran utama, akan ada ketenangan dan perjalanan menujunya juga dipermudahkan, Inshaa Allah!

Menurut hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim.” (HR Ibnu Majah)

Jika kita lihat perjuangan para sarjana Islam pada zaman kegemilangan dahulu, mereka bersungguh-sungguh dalam mendalami sesuatu bidang ilmu. Bahkan mereka mendalami lebih dari satu cabang ilmu. Subhanallah!

Kita terlalu beruntung kerana sehingga kini kita merasai nikmat ilmu dengan mereka sebagai wasilah, ilmu itu sampai kepada kita. Alhamdulillah!

Namun kini, ‘keizzahan’ itu semakin sirna; mungkin disebabkan faktor kelalaian dan kelekaan yang sedang melanda umat akhir zaman ini. Tidak sedarkah kita bahawa jalan menuntut ilmu itu adalah jalan sunnah para nabi, sahabat serta tabi’ tabiin? Tidak takutkah kita bahawa ramai para pengkaji barat atau golongan ‘orientalis’ berlumba-lumba untuk mengkaji pelbagai sudut ilmu yang memang asalnya dibawa oleh Islam ini?

Mereka mengkaji Islam, mengkaji hadis. Oleh itu, kita lihat banyak rujukan yang diperoleh adalah bersumberkan dari pengkaji barat ini. Tidak dinafikan, sumbangan mereka banyak memberi manfaat dalam mengembangkan bidang ilmu, namun adakah itu tidak cukup untuk memberi tamparan buat kita sebagai umat Islam?

Mereka (para orientalis) tertarik dengan ilmu yang diwarisi oleh umat Islam. Hakikatnya, kita sebagai umat Islamlah yang perlu menguasai pelbagai bidang ilmu ini. Bukankah hadis nabi pernah menyebut maksudnya: “Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (HR Muslim)

Rebutlah peluang untuk menjadi ‘orang yang asing’ itu dengan menjadi penuntut ilmu.

Menuntut ilmu tidak menjanjikan kesenangan. Jalannya penuh berliku dan cabaran yang kadang-kala menguji keimanan. Namun, semua itu tidak sia-sia, Allah menjanjikan syurga bagi mereka yang menuntut ilmu.

Dari Abu Hurairah RA maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh suatu perjalanan dalam rangka untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” (HR Imam Muslim)

Ini rahmat dari Allah, tidak mahukah kita mengejar ganjaran yang dijanjikan Allah ini? Janji Allah itu pasti!

Dalam menuntut ilmu, perlulah ada kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Ini menunjukkan komitmen kita yang sebenar samada kita benar-benar ikhlas atau tidak. Ujian datang silih berganti, cabaran harus ditempuhi. Hal Ini kerana jika kita membantu agama Allah, pasti Allah akan membantu kita. Kita tidak boleh lari dari masalah, malah menghadapi masalah tersebut akan mematangkan kita. Kita dapat berfikir cara yang terbaik untuk menyelesaikannya. Itu fitrah dalam kehidupan; hidup adalah untuk diuji oleh Allah SWT.

Belajarlah demi agama, keluarkan diri dari kepompong kejahilan. Sentiasa ada keinginan dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu. Ilmu boleh didapati di mana-mana. Samada melalui kaedah ‘bertalaqi’ kitab dengan guru, atau menuntut ilmu di universiti, atau ilmu kehidupan yang didapatkan secara tidak langsung.  Semuanya sama walau kaedahnya berbeza.

Yang perlu dijaga adalah adab bersama guru. Itu kunci kejayaan, tiada guna jika kita memiliki sijil yang banyak, akan tetapi tiada keberkatan dari seorang guru.

Apabila bercakap soal perjuangan menuntut ilmu, pasti ramai yang takut untuk menempuh jalan itu. Bimbang bertemu kesusahan di pertengahan jalan. Ingatlah kembali pesanan seorang ulama nusantara iaitu Allahyarham Profesor Hamka, kata beliau, “Jangan takut jatuh, karena yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, karena yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, karena dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Akhir sekali, sudah sunnatullah, ilmu perlu selari dengan amal. Pepatah arab menyebut: “Ilmu tanpa amal seperti pohon tanpa buah”.

Semoga kita menjadi orang yang mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu tersebut. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace