Apa erti kembali kepada hukum syariah?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Usaha PAS untuk mengusulkan pindaan Akta 355 yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara telah menarik minat banyak pihak dan menghangatkan dunia ilmiah dan juga politik.

Walaupun pada zahirnya ia dilihat kurang baik akibat serangan-serangan keras terhadap Islam dan perundangannya, tetapi sebenarnya itulah hakikat ugama Islam. Islam adalah ugama yang mesti diluncurkan ke medan perbahasan dan persaingan. Di situlah Islam menyerlahkan kebenaran dan kekuatannya sebagai satu-satunya ugama yang diredhai Allah untuk hambaNya di muka bumi.

Kerana itu anda akan melihat seorang muslim yang sebenar bukahlah seorang yang pasif dan mundur dalam hidupnya. Dia akan hidup dengan akalnya yang sentiasa berfikir mencari hakikat dan kebenaran. Anggota tubuhnya pula akan sentiasa dicergaskan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam masyarakat dan kebal mendepani kejahatan dan keburukan yang mesti dipadamkan olehnya.

Sepanjang perbahasan mengenai kewajiban umat Islam menyokong pindaan akta 355 ini, beberapa persoalan penting ditimbulkan dan sememangnya memerlukan jawaban yang menjernihkan kekusutan dan mencerahkan kekaburan.

Saya sertakan di sini beberapa soalan dan jawaban yang ringkas. Semoga bermanfaat.

1) Apa keperluan hidup bersyariat?

Jawaban: Di antara matlamat besar Allah mewajibkan syariatnya ke atas kita adalah agar ia dapat mengikat seseorang hamba dengan tali-tali ugama yang akan memeliharanya daripada tersadung dan tersasar daripada jalanNya yang lurus.

Asal ugama adalah akidah, kepercayaan dan amalan hati. Tetapi hubungannya dengan anggota tubuh zahir mestilah selari dan saling menguatkan. Perbezaan akan mendorong kepada nifak dan kefasikan. Sudah pasti ia merosakkan hati dan kepercayaan di dalam diri seterusnya merosakkan ugama.

Disyariatkan kewajiban solat 5 kali sehari adalah agar ia bertindak sebagai tali paling kukuh yang mengikat muslim dengan Islam. Muslim yang tidak solat disifatkan oleh Rasulullah sebagai seorang yang meruntuhkan ugamaNya.

Begitulah, semakin seseorang muslim itu melaksanakan kewajiban ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat, haji, membaca al Quran, zikir dan menuntut ilmu ugama, maka semakin mengukuhlah iman dengan tali-tali yang mengikatnya agar istiqamah dan tidak tergelincir di perjalanan dunia yang sukar ini.

Apabila anda memahami ini, maka begitulah halnya dengan perundangan ugama yang disyariatkan oleh Allah di dalam kehidupan. Bermula daripada undang-undang kekeluargaan sehinggalah undang-undang jihad dan hubungan diplomatik antarabangsa, semakin umat Islam melaksanakannya, maka semakin kukuhnya umat Islam dengan ugama Islam, bertambahlah istiqamahnya dan semakin sukarlah musuh ugama untuk menarik mereka kepada keruntuhan dan kehancuran hidup tanpa ugama Islam yang benar.

Cuba anda bayangkan Malaysia tanpa Mahkamah Syariah dan hanya berpada dengan mahkamah sivil sekular. Sudah pasti urusan rumah tangga muslim yang bermula daripada akad nikah yang sah akan kacau bilau dan semakin menjauhkan keluarga muslim itu daripada tanggung jawab kekeluargaan Islam yang sebenar.

Cuba bayangkan pula Mahkamah Syariah wujud, tetapi hanya untuk skop nikah dan cerai serta tanpa undang-undang jenayah ugama seperti zina, arak dan judi. Tidakkah mudah untuk kita gambarkan bagaimana sukarnya membendung anasir-anasir buruk tersebut merosakkan kehidupan muslim?

Oleh kerana kewujudan mahkamah syariah dan undang-undangnya masih lagi tidak menepati hukuman syariah yang sebenar, maka sudah pasti mengusahakan penambaikan yang selari dengan hukuman syariah adalah amat wajar dan perlu agar hukuman itu terus menjadi tali-tali yang mengukuhkan kehidupan umat Islam di atas jalan yang benar.

2) Tidakkah usaha meminda undang-undang jenayah ugama ini adalah satu langkah terburu-buru, tidak menepati fiqh awlawiyat (keutamaan) dan maqasid syariah (matlamat pensyariatan) yang menyarankan agar diperkasakan dahulu persekitaran Islami yang lebih kondusif seperti memperjuangkan keadilan, menentang rasuah dan meluaskan program kebajikan rakyat?

Jawaban: Beberapa perkara perlu difahami dengan baik.

Pertama, maqasid syariah, fiqh awlawiyat dan segala cabang ilmu ugama yang lahir adalah terhasil daripada pemerhatian terhadap syariah Islam yang telah diwajibkan oleh Allah di dalam al Quran dan Sunnah Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang mengandungi matlamat dan hikmat yang nyata ke arah kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Maka sebarang penggunaan ilmu-ilmu tersebut mestilah tidak bertentangan dan tidak membawa kepada terbantutnya usaha melaksanakan hukum dan syariah yang telah diputuskan oleh ugama.

Kedua, perlaksanaan fiqh awlawiyat dan maqasid syariat hendaklah dalam kerangka besar perlaksanaan Islam yang menyeluruh. Adalah sukar untuk dipadankan perlaksanaannya jika pemerintah adalah bermazhab sekular dan masih terumbang-ambing di dalam memahami tuntutan ugama. Justeru adalah penting di dalam negara kita misalnya untuk melihat kepada hikmat dakwah yang lebih luas agar perlaksanaan syariah Islam adalah usaha yang selari di antara mengikat umat dengan ugama dan mendorong pemerintah agar melihat ugama sebagai penyelesaian yang terbaik untuk negara.

Ketiga, negara kita adalah sebuah negara umat Islam yang bercampur baur di antara kesolehan dan kefasikan yang dibenarkan oleh undang-undang. Negara yang soleh sudah pasti akan berusaha merancakkan usaha kebaikan (makruf) dan mencegah sebarang kejahatan (munkar). Maka konsep taghyir (perubahan), tajdid (pembaharuan) dan islah (pembaikan) hendak menjadi tunggak dalam hikmah dakwah yang bertujuan mengukuhkan kesolehan dan mengurangkan kerosakan dan kejahatan di dalam negara.

Keempat, oleh kerana kebaikan dan kerosakan di dalam negara wujud di dalam semua sektor, maka gerakan islah dan pembaharuan tersebut mestilah bersifat menyeluruh dan saling membantu.

Gerakan menyebarkan ilmu dan mengukuhkan akidah mestilah digerakkan tanpa mengabaikan, bahkan mestilah bersekali dengan gerakan islah dan tajdid di dalam sektor-sektor lain seperti politik, sosial, kebajikan, kesihatan, undang-undang dan sebagainya.

Sudah pasti, di dalam sebuah negara yang fasik sifatnya (bercampur-baur antara baik dan buruk), hasil usaha dakwah adalah berbeza-beza. Justeru di ruang mana perlaksanaan Islam dibuka dan dibenarkan, maka ia hendaklah diisi, dikembangkan dan dijadikan pemangkin kepada pembukaan Islam di dalam semua sektor kehidupan yang lain.

Kelima, Kelantan adalah satu-satunya negeri dalam negara yang berakidah dengan kewajiban melaksanakan Islam secara menyeluruh dan berusaha melaksanakannya dalam skop kuasa yang dibenarkan. Dalam tempoh 26 tahun pemerintahan parti PAS, sudah terpancar kebenaran perlaksanaan Islam oleh PAS. Kritikan terhadap PAS Kelantan hanyalah bersifat kecacatan yang perlu ditambah baik, bukan pada keengganan untuk melaksanakan makruf dan membiarkan kemungkaran berleluasa tanpa sekatan.

Kemiskinan bukanlah penghalang kepada perlaksanaan syariah sebagaimana difahami sesetengah pihak. Islam adalah ugama yang benar dan cemerlang pada masa kaya dan miskin, senang dan susah dan juga semasa dalam aman dan jihad.

Walaupun Kelantan bukan sebuah negeri yang kaya, tetapi tempoh 26 tahun telah membuktikan usaha-usaha Islami melalui perlaksanaan dasar-dasar negeri yang berpandukan syariah telah menobatkan Kelantan dengan kejayaan yang belum diperolehi oleh negeri-negeri lain.

Kelantan kekal dengan rekod pemerintahan tanpa rasuah, pentadbiran yang cemerlang, sistem pendidikan sekolahnya yang menghasilkan kecemerlangan akademik dan akhlak, sentuhan-sentuhan kebajikan yang melebar di kalangan rakyat yang susah selain keharmonian kaum yang cukup mendamaikan.

Justeru Kelantan adalah sebaik-baik negeri untuk berada di depan di dalam perlaksanaan sistem Islam yang lebih menyeluruh termasuklah di dalam memperkasakan mahkamah syariah yang bertujuan sama dengan tujuan pensyariatan syariah Islam oleh Allah Rabbul Jalil.

Apabila anda memahami fiqh ugama dan hikmahnya yang lebih luas, maka beralasankan fiqh awlawiyat dan maqasid syariat untuk menidakkan kebenaran dan kewajaran pindaan akta 355 adalah satu hujah yang lemah dan tersasar sama sekali.

*Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace