PAS bukan bagi duit kat dia

ROSLI ABDUL JABAR | .

AKU AMILIN PAS - siri 4

SAYA di dalam kereta pada ketika ini, membelah malam balik ke rumah, sejak jumaat berada di Sepang, reaktik PAS Pusat. Selain berbincang untuk mengatur strategi politik, dapat juga mendengar taujihad daripada pimpinan tertinggi.

Melihat semangat Tuan Guru Mursyidul Am yang telah dimamah usia sanggup hadir, membongkarkan semangat saya yang kadang kala lemah meruntun dek sebab keletihan. Mendengar taujihadnya yang begitu terkesan, memahat jiwa untuk terus berjuang dan melupakan segala bentuk kepenatan.

Masa remaja dulu saya pun tertanya-tanya juga, apa sebenarnya perjuangan PAS sehingga sanggup bersusah payah, berpenat lelah dan ada yang menghabiskan harta. Yang saya tahu, saya tak pernah dapat upah, hanya sekadar dibelanja makan.

Lebih kurang lima tahun dulu seorang guru berbangsa India beragama hindu, dia datang ke rumah dan bertanya kenapa PAS menentang Umno yang sesama Islam. "Saya ramai kenal ramai orang PAS, termasuk kawan-kawan di Sekolah" katanya.

Dia banyak bertanya fasal PAS, yang menghairankan dia, kenapa kawan-kawan PAS dia bersusah payah bantu PAS walaupun ada yang dipanggil oleh guru besar dan pihak kementerian, diugut dan diberi amaran, ada yang beberapa kali ditukar, tapi masih juga tetap membantu PAS.

Dia cerita, ada kawan dia seorang cikgu yang memang kuat PAS, selalu ditukar dan selalu dipanggil kerana selalu dapat aduan kerana kuat PAS, "Yang saya hairan, dia langsung tak takut, sedangkan saya tahu PAS bukan bagi duit kat dia, tidak ada sebab untuk dia bantu PAS hingga sanggup susah." katanya.

Terpaksalah panjang lebar nak jelas kat dia, lebih kurang dua bulan selepas itu ditakdirkan Allah, dia memeluk Islam, selepas enam bulan memeluk Islam, dia datang lagi ke rumah. Dia datang dengan cikgu PAS yang menjadi kawannya, "Nak gi Kemaman ni, ada ceramah TGHH," katanya.

"Sekarang saya dah faham," katanya sambil senyum "Apabila saya duduk dalam PAS, baru saya faham, cuma saya hairan kenapa orang Islam sendiri tak berapa yàkin dengan Islam, tak yakin dengan hukum Allah dan tak yakin untuk berjuang Islam, sedangkan rezeki kita Allah yang bagi," katanya.

Begitulah juga taujihad Tuan Guru Mursyidul Am, "Islam adalah Rahmat, ia adalah kebaikan kepada manusia, tiada seorang pun yang perjuangkannya mendapat keburukan, pasti Allah akan berikan kebaikan."

Saya merasainya. – HARAKAHDAILY 21/11/2016

Share on Myspace