Usaha martabat Bahasa Melayu kurang memberangsangkan

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Saya hendak berbahas berkenaan dengan Butiran 090200 – Martabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Saya hendak menyentuh berkenaan dengan program DLP iaitu tujuan DLP ini ialah untuk hendak meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam 14 subjek dan juga di bidang teknologi, kejuruteraan, Matematik dan STEM. Memang dia bermula dengan 300 buah sekolah dan akan meningkat dijangkakan dengan 1,000 sekolah. Perkara yang berlaku walaupun di sana letaknya antara ialah kehendak sekolah, PIBG, guru-guru tetapi rungutan juga timbul kerana di sana timbulnya soal sukarela dan paksa rela yang memerlukan sekolah itu buat.

Ini kerana terdapat rungutan di kalangan guru-guru terutamanya persiapan mereka kerana mereka tidak diberikan latihan yang sebenar-benarnya. Malahan kadang-kadang kita tengok lebih dahsyat lagi daripada pelaksanaan PPSMI. Malahan buku rujukan pun masih lagi mengguna pakai buku daripada projek PPSMI dahulu. Ini kerana kita lihat PPSMI yang telah pun mengorbankan hampir tiga juta pelajar yang menyebabkan RM5.2 bilion wang negara hangus begitu sahaja.

Sedangkan satu kajian yang dibuat oleh pembina yang diketuai oleh Profesor Dr Sahandri Hamzah daripada UPSI pada ketika itu bersama dengan 53 orang pensyarah daripada lapan buah universiti. Respondennya terdiri dari kalangan 15,089 orang murid yang saya difahamkan, bajet yang diberikan ketika itu oleh Yang Amat Berhormat Pekan pada waktu itu. Responden yang begitu banyak, saya rasa ini satu penyelidikan yang agak menyeluruh yang menyebabkan pelajar-pelajar di FELDA, pelajar-pelajar di pulau, Orang Asli, MRSM, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah teknik.

Kajian yang dibuat oleh pembina ini, mereka lihat bagaimana peningkatan pelajar-pelajar bandar sahaja hanya 3.8 peratus sahaja dalam penguasaan mereka di dalam bahasa Inggeris. Itu kita bayangkan berkenaan dengan pelajar-pelajar yang berada di bandar.

Tadi dirungut oleh Sabah dan juga oleh sahabat kita daripada Sabak Bernam yang juga bekas seorang guru, mereka mengetahui bagaimana kemampuan guru-guru dalam konteks untuk menjayakan benda ini.

Jadi, perkara ini perlu difikirkan kembali oleh pihak kementerian terutamanya apabila pandangan-pandangan daripada mereka yang menjadi pejuang bahasa daripada kalangan Dewan Bahasa dan Pustaka, badan-badan NGO, kesatuan guru seperti mana Gapena, PIBG dan mereka ini telah pun memberikan pandangan-pandangan yang risau dengan program DLP ini. Ini bukan bererti kita merupakan orang yang anti kepada bahasa Inggeris. Malahan, saya juga hendak bertanya berkenaan dengan menyentuh usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu yang dilihat kurang memberangsangkan dan ini dirungut oleh pejuang-pejuang bahasa pada ketika ini.

Hal yang kedua ialah berkenaan dengan Projek Penutur Jati Bahasa Inggeris (PPJBI) yang dilaksanakan mulai pada tahun 2010 di 1,800 buah sekolah rendah seluruh negara. Persoalan saya ialah setakat mana pencapaian yang mana guru-guru yang kita import dari negara-negara luar untuk melatih atau meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru-guru sebagai TOT dan juga mereka ini akan mengajar anak-anak murid kita di seluruh negara? Persoalan saya, sejauh manakah kejayaan tadi?

Begitu juga dengan penguasaan Program Pengambilan Guru Penutur Jati Bahasa Arab untuk memantapkan bahasa Arab dan tempoh cadangannya ialah pada tahun 2016 hingga 2020. Soalan saya ialah daripada negeri mana guru-guru ini diambil, tenaga-tenaga ini diambil untuk mengajar di dalam program tersebut?

Butiran 050200 – Teknologi Maklumat. Apakah masih berjalan konsep pembelajaran menggunakan perkakasan chrome book yang dibekalkan sebagai peranti sokongan untuk akses bahan pengajaran dan pembelajaran melalui internet dengan menggunakan virtual learning environment (VLE) iaitu menggunakan perkakasan notebook dengan sistem operasinya Google Chrome?

Pelaksanaan projek yang berjalan sejak daripada tahun 2012 secara berperingkat-peringkat di semua sekolah dengan harapan untuk mencapai pencapaian internet pada tahun 2013. Ini soal pencapaian internet sedangkan rungutan yang ditimbulkan oleh guru-guru di sana ialah walaupun sekolah di tengah bandar sekalipun, kadang-kadang kelajuan internetnya agak menyedihkan. Macam mana dalam soal penggunaan chrome book ini?

Hari ini pun kita lihat guru-guru sendiri dekat sekolah kadang-kadang tidak boleh memakai internet yang dipasang di sekolah. Mereka terpaksa menggunakan data sendiri, telahan lagilah di Sabah dan di Sarawak. Sebab itu saya hendak bertanya berkenaan dengan hal ini. Berapakah kementerian sudah habiskan wang dalam projek untuk chrome book ini? - HARAKAHDAILY 23/11/2016

Ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 Kementerian Pendidikan berkaitan memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris pada persidangan Dewan Rakyat, 22 November 2016.

Share on Myspace