Ubah cara kepada hidup beriman

Ustaz Muhammad Najhan Halim | .

KAJIAN KESIHATAN DAN MORBIDITI KEBANGSAAN (MASALAH MENTAL): UBAH CARA HIDUP MATERIALISME KEPADA HIDUP BERIMAN (Bahagian 1)

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah ar Ra'd ayat 28-29: "..(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya..."

Pendedahan Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam baru-baru ini yang menyebut tentang dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bahawa seramai 30 peratus atau 4.2 juta rakyat negara ini mengalami masalah kesihatan mental amat mengejutkan.

Ini secara nisbahnya bahawa satu daripada tiga orang dalam negara ini mengalami masalah mental dan tambahanlagi sekiranya kajian dilihat mengikut ukuran umur, usia 16 sehingga 19 tahun antara yang paling ramai mengalami masalah ini. Pendedahan ini juga mendapati beberapa faktor sebagai punca utama antaranya krisis kewangan, tiada pekerjaan, tertekan kerana pekerjaan, isu dan masalah keluarga.

KEHIDUPAN MATERIALISTIK

Di antara penyakit kronik yang dihadapi oleh negara-negara maju dan membangun adalah penyakit yang disebut sebagai sindrom atau penyakit kebendaan. Iaitu satu trend atau sikap masyarakat dalam suasana mengejar kesenangan dalam kehidupan. Namun penyakit materialistik atau kebendaan ini apabila sudah menjadi sebati dan dianuti sebagai cara hidup,  ia berubah menjadi sesuatu penyakit jiwa yang merbahaya dan kronik.

Penyakit kebendaan atau materialistik ini adalah membawa maksud satu budaya dan cara hidup yang menjadi matlamat kebendaan seperti wang, kemewahan, kedudukan dan keglamoran, dan segala yang berbentuk cita-cita untuk memenuhi citarasa nafsu sebagai tujuan kehidupan.

Kemuncak kepada kehidupan materialistik ini apabila seseorang itu menjadikan kebendaan ini sebagai pegangannya dan tanda sebenar ukuran kejayaan dengan menolak sebarang bentuk pencapaian dalam bentuk holistik dan keagamaan.  

Masyarakat yang berfikiran materialistik ini terlalu mementingkan dan mengutamakan perkara yang hanya dirasai oleh pancaindera samada melalui penglihatan, pendengaran, dan deria rasa yang lain dan tidak menerima aspek kerohanian serta janji Tuhan.

Mereka melihat bahawa unsur agama yang menjanjikan dapatan menerusi aspek kerohanian tidak diperlukan dalam kehidupan dunia dan dianggap seolah-olah tidak langsung mempunyai kaitan dalam memberikan input dan impak dalam kehidupan.

Oleh kerana itu, golongan berfikiran materialistik atau materialisme ini meyakini bahawa kejayaan sebenar dan pencapaian sepatutnya hanyalah apabila seseorang itu memiliki segala bentuk kemewahan dan keperluan duniawi sahaja. Adapun pencapaian agama atau aspek kerohanian itu bukan tanda kejayaan dan keuntungan.

Penyakit ini menjadi faktor terbesar kepada keruntuhan nilai jatidiri manusia yang sedang melanda masyarakat sesebuah negara dimana rakyatnya sedang melalui kejutan budaya arus pembangunan material dan ekonomi. Masyarakat materialistik ini menghabiskan segenap sisa kehidupan mereka semata-mata untuk mencapai hasrat kemewahan dan kedudukan malah  lebih teruk lagi apabila nilai-nilai agama dipandang sepi.

Mereka tidak lagi mempedulikan tentang dosa pahala, syurga neraka, kehidupan di alam barzakh dan akhirat serta hukum dan peraturan agama. Asalkan matlamat untuk mencapai kejayaan material dan kebendaan mereka tercapai, iaitu menjadi kaya, mengumpul harta sebanyaknya, terkenal dan glamor,  pekerjaan yang selesa dan apa sahaja untuk merasa mewah. Penyakit ini tidak hanya dilanda terhadap golongan yang kaya malah turut kepada golongan sederhana dan miskin.

Hasilnya golongan yang mengalami rasukan penyakit materialistik ini mengkesampingkan aspek iman dan agama dalam kehidupan mereka. Agama adalah dianggap oleh mereka sebagai batu penghalang untuk mencapai cita-cita mereka untuk menikmati kemewahan dan kesenangan. Halal dan haram, syurga neraka,  hukum agama semuanya ditolak dan tidak lagi menjadi panduan hidup. Mereka ingin bebas daripada kongkongan agama dan batas syarak. Mereka hidup tidak berpedoman dan hilang arah dalam mengejar apa yang dihajati.

HIDUP BERIMAN SOLUSI AMPUH

Islam mengemukakan konsep dan pandangan yang berbeza berkait soal kehidupan dunia supaya manusia tidak hilang arah sebenar.  

Kehidupan dunia menurut pandangan Islam adalah lokasi transit manusia untuk menuju ke alam akhirat. Ia bukanlah destinasi utamanya dan bukan akhirnya.  

Kehidupan dunia dijadikan oleh Allah s. w. t. sebagai tempat berbekalkan amal soleh sebanyak-banyaknya oleh hambaNya untuk dihitung di akhirat dan dibalas dengan ganjaran setimpal seadilnya. Kehidupan dunia diisi dengan serba perhiasan oleh Allah buat hambaNya untuk diambil manfaat sewajarnya menurut perintah Allah.

Tugas manusia di muka bumi dan mengeksploitasikan isinya menuruti apa yang dipandu dan diajar oleh wahyu al Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. bagi mencapai maksud  Khalifah iaitu bagi menjana konsep dan perlaksanaan Menegakkan tanggungjawab Agama Kehidupan Dunia dan Menguruskan Dunia dengan Agama.

Merujuk kepada pendedahan dapatan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa punca masalah mental adalah disebabkan faktor kekangan kewangan, masalah rumahtangga dan masalah dalam pekerjaan yang dilihat mempunyai kaitan signifikan dengan hidup.

Cara hidup yang bercorakkan materialistik dan mengutamakan aspek kebendaan wajib diteliti secara holistik supaya dapat mengatasi masalah yang timbul.  

Wallahua'alam

Al Faqir Ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan
Lajnah Penerangan DUPP
24 November 16 / 24 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 24/11/2016

Share on Myspace