Mengintai kejerihan umat Islam Syria di perbatasan Jordan

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

KRISIS kemanusiaan pasca Arab Spring semakin memburuk di khemah pelarian Syria di sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak lima tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.

Kemuncak musim sejuk dengan suhu mencecah minus belasan sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian. Data kematian akan meningkat setiap hari terutama kanak-kanak, bayi dan warga emas, malah kelaparan luar biasa yang dialami sehingga ada yang terpaksa memakan tikus dan kucing!

Kerajaan Jordan tidak mampu menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelarian kerana jumlah pelarian yang meningkat jutaan orang malah merasakan pengungsian sebagai liabiliti kepada negara kerana meningkatkan kos negara daripada sudut keselamatan dan lain-lain lagi.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan Pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Regim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campurtangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Saya berpeluang lagi kali ini untuk mengikuti program misi bantuan kemanusiaan pelarian Syria di sempadan Jordan. Bersama tim Muslim Care yang diketuai oleh Presidennya, Haji Zulkifli Wahijan yang membawa sumbangan rakyat Malaysia sempena musim sejuk yang menggigit tulang. Misi kali ini seramai 23 orang, termasuk dua selebriti anak seni iaitu Ali XPDC dan Izo XPDC. Anggota misi telah mengadakan bantuan ke khemah Zulaij dimana keadaan mereka sangat dhaif dan memerlukan perhatian.

Dibantu oleh teman-teman relawan Muslim Care di Jordan, antara program-program yang dilaksanakan ialah seperti membeli-belah pakaian keperluan bersama anak-anak yatim pelarian, majlis serahan bantuan musim sejuk kepada 300 keluarga, menyantuni pelarian  di khemah pelarian Zulail yang tidak mendapat bantuan daripada pihak luar.

Berada di khemah pelarian sangat menginsafkan, dengan suhu belasan darjah celcius dan dijangka suhu diparas minus apabila kemuncak musim sejuk. Khemah pelarian tanpa kemudahan yang lengkap, bahkan mereka bekerja di kebun tanaman rakyat tempatan Jordan semata-mata  untuk mendapatkan bekalan eletrik dan juga air.

Rombongan Muslim Care berjaya memberikan senyuman untuk anak-anak pelarian apabila agihan makanan ringan serta menyantuni mereka dengan bernasyid. Jelas tergambar riak gembira pada guratan wajah pelarian apabila menerima barang keperluan musim sejuk. Setiap tahun apabila musim sejuk menjelang, maka berita kematian seolah menjadi perkara rutin, terutama anak-anak kecil pelarian.

Muslim Care Malaysia menggalang pelbagai misi untuk misi membantu pelarian Syria termasuk yang terlantar dipelbagai negara Eropah serta mempunyai enam buah sekolah pelarian Syria di negara Turki. Semua misi membantu ini mendapat dokongan rakyat Malaysia yang berkongsi kesedihan dan menggalang kebersamaan. Misi membantu pelarian Syria juga dibantu oleh NGO tempatan Jordan yang diketuai oleh Dr Solah Fauzan yang turut mempunyai sekolah pelarian Syria serta jaringan yang baik dengan pelbagai pihak. Cakna dan peduli adalah sikap orang beriman, maka berbahagilah kemakmuran kita dengan muslim yang lain. – HARAKAHDAILY 26/11/2016

(Penulis ialah Pengarah Penerangan Muslim Care Malaysia)

Share on Myspace