Akhlak pemangkin dakwah

TUAN GURU HASHIM JASIN | .

NABI Muhammad SAW telah dibangkitkan oleh Allah SWT sebagai pembentuk akhlak mulia di kalangan manusia. Baginda telah dilahirkan dalam masyarakat yang mengalami keruntuhan moral, kehilangan nilai kemanusiaan dan memiliki akhlak sangat buruk. Inilah realiti orang Arab Jahiliyah ketika bangkitnya nabi akhir zaman.

Bagaimana Nabi SAW mendepani mereka? Akhlak Baginda yang agung itulah telah mengubah orang Arab menjadi ‘khir ummah’ kemudiannya. Baginda SAW dengan membawa contoh-contoh akhlak terpuji telah menggagalkan usaha-usaha jahat yang dibuat oleh musuh-musuh untuk menuduh Nabi SAW dengan tuduhan-tuduhan liar. Yang terlekat di hati orang Mekah ialah kemuliaan akhlak Baginda, sehingga terkenal dengan gelaran al-Amin.

Akhlak adalah sifat fitrah atau semula jadi manusia yang sukakan kebenaran. Secara falsafah, akhlaklah yang menghubung antara Khaliq dengan makhluk. Allah SWT telah menjadikan manusia secara semula jadi berpihak dan cenderung kepada kebenaran. Kemungkaran yang dilakukan oleh manusia bukan kerana fitrahnya, tetapi ditaja oleh hawa nafsunya.

Kerana itulah apabila Nabi SAW dibangkitkan dengan akhlak yang mulia seperti firman Allah dalam ayat 4 surah al-Qalam yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang agung,” Baginda dapat mengatasi pengaruh politik dan kekayaan pembesar Mekah. Keburukan akhlak orang Arab Jahiliyah tidak dapat mengatasi kemuliaan akhlak Nabi SAW walaupun Baginda adalah seorang anak yatim yang miskin lagi buta huruf. Ini disebabkan oleh fitrah manusia yang sukakan kebenaran.

Dalam sejarah dakwah di negara kita sendiri, telah dicatatkan bahawa antara faktor yang mendorong seluruh orang-orang Melayu meninggalkan agama datuk nenek mereka ialah kerana akhlak pendakwahnya. Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha selama ratusan tahun dengan mudah sahaja meninggalkan agama tersebut dan beralih kepada Islam, setelah melihat, kagum dan terpesona dengan akhlak para pendakwah.

Tentu aneh untuk kita fikirkan bagaimana orang Melayu boleh menerima Islam dengan hati yang terbuka. Tiada catatan yang menunjukkan mereka di-Islamkan dengan pedang atau paksaan, bahkan tiada setitik darahpun yang tumpah dalam perkembangan dakwah Islam. Hanya dengan akhlak mulia yang dipamerkan oleh para pendakwah, Islam telah tersebar luas di Alam Melayu sehingga tiada lagi orang Melayu, melain mereka beriman kepada Allah SWT.

Saya cuba menunjukkan contoh yang dekat dengan kita sesudah contoh terbesar ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Supaya setiap daripada kita, ahli-ahli PAS yang menjadi penggerak Islam yang berada di medan dakwah, sedar tentang pentingnya akhlak dalam perjuangan. Akhlak adalah paparan imej yang pertama dilihat oleh mad’u sebelum mereka menerima apa yang kita ajakkan. Kita menawarkan Islam yang begitu tinggi nilainya, tetapi apakah kita sendiri telah berakhlak dengan akhlak Islam?

Kalau Nabi SAW dibinakan oleh Allah sebagai seorang pendakwah dengan akhlaknya, lalu Baginda berjaya menawan hati mad’unya, lalu kita berada di mana sekarang? Perjuangan Islam memerlukan akhlak yang mulia para pejuangannya. Mungkin kita tidak dapat menawarkan projek-projek, saham-saham dan mata dunia yang lain kepada mereka. Tetapi sekiranya ahli-ahli PAS memiliki akhlak yang mulia, kita pasti dapat mengatasi kekuatan pengaruh kebendaan yang ada.

Manusia yang hidup tanpa pengaruh agama telah mengalami kekosongan jiwa. Mereka mungkin menyangka bahawa kebahagian dapat dicapai dengan harta benda dan anak-pinak yang banyak. Hari ini, semangat maddiyah (kebendaan) begitu tebal di hati mereka. Tetapi ternyata hati mereka merasa kosong dan tercari-cari alternatif sebagai ‘ubat penenangnya.’ Hiburan, hedonisme, arak, dadah dan seumpanya telah menjadi alternatif yang tidak menyelesaikan masalah!

Kenapa mereka tidak mencari Islam? Sedangkan di situlah mereka akan menemui penawar yang paling mujarab. Antara sebabnya kerana mereka tidak melihat akhlak kita para pendakwah sebagai contoh tauladan, lalu Islam tidak menjadi pilihan. Bukanlah saya bermaksud akhlak kita sangat buruk, tetapi kualiti akhlak kita belum memadai untuk menjadi daya penarik kepada mereka.

Saya sangat yakin jika para pimpinan dan ahli-ahli PAS terus memperbaiki akhlak mereka dan mempamerkan akhlak mulia seperti yang dicontohi oleh Nabi SAW, pasti berbondong-bondong manusia akan datang kepada Islam dan memilih Islam sebagai cara hidup mereka. Manusia akan meninggalkan budaya hidup tanpa hala tuju sekarang ini, kepada hidup yang bermatlamat kejayaan dunia dan akhirat, dengan kekuatan akhlak kita sebagai para pendakwah! - HARAKAHDAILY 26/11/2016

Share on Myspace